Saya amat tertarik dengan pendedahan dan penganalisaan berkaitan Kod Toyol yang diutarakan oleh Datuk Ruhanie Ahmad (Ron) dalam blognya Kuda Kepang. Saya memberi sedikit ulasan dan telahpun dijawab oleh Ron. Oh ya, saya menulis dari Ampang, bukan Pulau Pinang, negeri asal saya.
Saya menyatakan rasa kurang yakin terhadap keberanian PM Abdullah Badawi untuk melakukan rombakan besar-besaran Kabinet yang dipimpinnya. Sebenarnya, Kabinet yang ada sekarang adalah kesinambungan Kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pak Lah telah melepaskan peluang keemasan untuk memperkenalkan "muka baru" dalam barisan Kabinetnya apabila dia mengetuai pilihan raya 2004 lalu. Semasa itu, saya masih bertugas di JPM Putrajaya dan Ron beberapa kali mengunjungi pejabat bekas bos saya di Aras 3, Blok Barat, Bangunan Perdana Putra.
Saya katakan Pak Lah melepaskan peluang kerana, saya mendapat tahu daripada sumber-sumber yang bukan toyol atau hantu, bahawa sebelum melepaskan pucuk pimpinan kerajaan dan parti kepada Pak Lah pada hujung Oktober 2003, Tun M telah menasihati Pak Lah untuk "menggugurkan" orang tertentu termasuk beberapa orang menteri dan menteri besar/ketua menteri. Dalam erti kata lain, Pak Lah berpeluang untuk melakukan pembersihan tetapi malang sekali tidak seorangpun yang dibayangkan oleh Tun M telah digugurkan termasuk Rafidah Aziz dan Khir Toyo.
Oleh itu, saya masih ragu-ragu akan "keberanian" Pak Lah untuk melakukan rombakan kabinet secara besar-besaran melainkan dia mendapat ilham dan panduan daripada toyol dan hantu yang masih menjadikan Bangunan Perdana Putra sebagai tempat mereka mengacau dan merasuki makluk yang bernama manusia.
Pak Lah mungkin terpaksa memanggil semula seorang pakar yang juga tokoh agama dari Alor Star, Kedah untuk melakukan pemulihan dan membebaskan Blok Utama, Bangunan Perdana Putra daripada dikuasai oleh makhluk halus.
Menurut sumber bukan hantu, orang yang sering dikaitkan dengan Pak Lah sebagai "kuasa di belakang PM" juga mempercayai dan menggunakan khidmat bomoh dan dukun. Mungkinkah ini yang mendorong kemunculan Kod Toyol?
No comments:
Post a Comment