Wednesday, October 18, 2006

Pertemuan Mahathir-Pak Lah mesti telus dan ikhlas

Saya tidak berkesempatan membuat ulasan lebih awal kerana blog ini telah dicerobohi penggodam. Bagaimanapun, saya kira cukup penting untuk memberi sedikit ulasan. Sedikit sebanyak saya mengenali kedua-dua tokoh berkenaan dan demi masa depan bangsa dan negara, mereka perlu berdamai dalam erti kata sebenarnya.

Dalam beberapa perkara, saya memihak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan dalam perkara lain bersetuju dengan Pak Lah. Tetapi, saya perlu akui bahawa saya agak kecewa dengan apa yang sedang berlaku di bawah kepimpinan Pak Lah yang telah saya huraikan sebelum ini.

Bagaimanapun, sebagai umat Islam dan sebagai orang Melayu, kita seharusnya mendoakan agar Tun Mahathir dan Pak Lah dapat bersemuka dan menyelesaikan segala masalah dan kemusykilan yang tersimpan di dalam hati masing-masing. Kita harap dan berdoa agar pihak ketiga, sama ada yang dikeliling Pak Lah atau yang cuba meraih dividen politik daripada Tun Mahathir, tidak akan mengganggu-gugat dan mengeruhkan keadaan.

Pertemuan empat mata yang dijadualkan sebelum Aidul-Fitri ini diharap menjadi kenyataan. Saya harap ia pertemuan empat mata agar kedua-dua tokoh dapat secara terbuka dan ikhlas meluahkan isi hati masing-masing.

Nabi Besar Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

"Sukakah kamu aku tunjukkan amalan yang lebih tinggi darjatnya dari solat, puasa dan sedekah? Ia adalah memperbaiki hubungan antara dua orang yang berselisih, sesungguhnya kerosakan hubungan itulah yang dinamakan pencukur." (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Kepada Tun dan Pak Lah, carilah jalan sebaik mungkin untuk mengatasi apa saja yang terbuku dalam hati. Kita hanya manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kekhilafan. Kita bukan malaikat atau pun insan kamil. Berdamailah dan eratkan semula ikatan silatur-rahim. Sesungguhnya orang Islam itu bersaudara.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata: "Hamba-hamba Allah yang jahat ialah mereka yang sentiasa membuat fitnah dan memecah-belahkan persaudaraan."

Manakala Imam Muslim pula berpesan: "Setiap orang Islam terhadap Islam yang lain adalah haram darahnya, hartanya dan kehormatannya."

Marilah sama-sama kita doakan semoga pertemuan Tun Mahathir dan Pak Lah akan berhasil dan membuahkan kejayaan untuk bangsa, agama dan negara.

2 comments:

Anonymous said...

Pak Syed,

May I take this opportunity to wish you and family Selamat Hari Raya Aidil Fitri. I look forward to read your commentaries about the former PM and present PM meeting, if they ever meet.

Unknown said...

Thank you, let us hope the meeting materialise. But, I think it is a mistake by a certain daily to print comments by Khairy Jamaluddin. It is premature bearing in mind, he is one of the thorns that pricks the skin. Tun Mahathir will not like it and it is not a good prelude. I hope no comments by Kalimullah Hassan or Brendan Pereira. Media editors must be more sensitive.