Friday, August 25, 2006

Terima kasih AKJ, Ron dan Rocky

Saya cukup menghargai reaksi rakan-rakan "bloggers" yang saya lebih senang menyifatkan sebagai perawi maya, perawi di sini bukan bermaksud orang yang mencatat hadis tetapi orang yang mengarang dan bercerita. Mereka tampil untuk menyangkal dan menepis sangkaan kurang tepat dan kurang bijak mengenai para perawi maya oleh timbalan menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Yang tak betul kita perbetulkan dan yang betul kita iakan. Yang susah hanyalah untuk membetulkan orang yang ingat dia betul walaupun telah diperbetulkan. Cerdik tak suka
ditegur, bodoh tak mahu diajar.

Ketiga-tiga mereka adalah mantan dan rakan sehaluan dalam dunia kewartawanan. Datuk A Kadir Jasin, senior saya dua tahun dalam bidang ini, masih hebat dan aktif selaku pemilik dan ketua pengarang penerbitannya sendiri. Ron atau Datuk Ruhanie Ahmad cukup selesa dalam dunia korporat bersama-sama isteri tersayangnya manakala Rocky atau Ahiruddin Atan bertindak berani meninggalkan kumpulan NST untuk menjadi perunding editorial.

Saya cuma sempat sejenak bersama-sama Datuk AKJ di ibu pejabat Bernama (Wisma Belia, Lornie Road) pada tahun 1971 kerana saya dipindahkan ke Perlis untuk membuka pejabat agensi itu di sana. Dari Perlis saya ke Pulau Pinang, kemudian Kedah, Terengganu, KL, Singapura dan KL semula. Semasa saya di P Pinang, Datuk AKJ telah berhijrah ke NST bersama-sama beberapa orang rakan lain dari Bernama seperti Amin Koboi dan Arifin Omar. Pada waktu itu, NST sedang mencari wartawan Melayu untuk mengisi keperluan semasa dan memenuhi kehendak politik. Malangnya, semua usaha itu kini hancur dan terkulai selepas kemasukan Kalimullah Masheerul Hassan (oleh Pak Lah).

Kali terakhir saya bertemu Rocky ialah pada tahun 1995 di Paris ketika sama-sama membuat liputan PM Mahathir dan Paris Air Show. Oleh kerana saya bukan pengunjung tetap Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) di Jalan Tangsi, maka jarang sekali bersemuka dengan Rocky.

Mengenai Ron, saya acap kali bekerjasama dengannya apabila menjalankan tugas rasmi berkaitan kegiatan dan majlis yang dianjurkan oleh syarikatnya, Jagat. Pada waktu itu, Ron dan Datinnya sering berulang-alik ke JPM Putrajaya dimana saya bertugas. Sebelum itu, saya berurusan dengannya semasa Ron menjadi SU Akhbar Tun Musa.

Zaman telah berubah, peranan pun turut berubah. Masing-masing membawa haluan sendiri tetapi sentuhan naluri dan denyutan nadi dalam jiwa dan badan cukup membara untuk terus menulis. Nak dapat tempat dalam akhbar perdana bukan senang. Saya dah cuba. Oleh itu, jadilah saya perawi maya atau "blogger" di bumi yang bertuah ini.

Seperti saya, pastinya Datuk AKJ mungkin terkenang akan pil-pil MB dan Aspro, yang pada suatu ketika dahulu, cukup mujarab untuk mengubati bermacam-macam penyakit. Apa dah jadi dengan kedua-dua pil itu? Kenapa penawar yang berkesan diketepikan? Dulu kita hanya memerlukan satu atau dua butir pil untuk mengubati penyakit termasuk penyakit kulit. Sekarang kita memerlukan segenggam pil hanya untuk mengebahkan penyakit yang bukanlah serius sangat. Begitulah juga dengan penyakit masyarakat dan penyakit politik semasa. Kenapa?

2 comments:

A Voice said...

Tuan Syed

Teruskan blogging kerana mutu berita tempatan sudah terlalu menurun hingga tidak boleh dipercayai lagi.

Saya sebagai contoh sudah beberapa tahun berhenti membeli suratkhabar dan bergantung kepada berita online, web forum dan blog untuk maklumat2 terkini.

Tak tahulah berapa orang seperti saya sekarang.

Unknown said...

Terima kasih. Percayalah jumlah orang yang sependirian seperti sdr semakin bertambah.