Monday, August 28, 2006

Perang stesen tv - apa nak jadi dengan Malaysia?

Malam ini, tiga buah stesen tv di Malaysia akan terlibat dalam satu peperangan hebat untuk menarik penonton. Peperangan itu juga akan menyaksikan, buat pertama kalinya, dua buah stesen berganding bahu berlawan dengan sebuah stesen lain.

Semuanya berpunca daripada kejayaan TV3 mendapatkan hak siaran ekslusif majlis persandingan Siti Nurhaliza dengan Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang akan dipancarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen KL. Semasa majlis akad nikah pada 21 Ogos lalu di Masjid Wilayah Persekutuan KL, TV3 melarang stesen-stesen lain membuat liputan, walaupun dari bilik khas yang disediakan untuk media.

Majlis akad nikah itu diadakan dalam dewan solat utama masjid berkenaan di Jalan Duta, Kuala Lumpur dan dipenuhi dengan ratusan manusia, lelaki dan perempuan.

Setahu saya yang serba kekurangan dalam ilmu agama, dewan solat adalah untuk umat Islam mengerjakan solat. Keutamaan hendaklah diberi untuk orang bersolat. Jika keseluruhan dewan solat digunakan untuk majlis akad nikah seperti yang berlaku pada 21 Ogos lalu, siapa yang harus dipertanggungjawabkan sekiranya ada orang yang hendak bersolat tetapi tiada ruang di dalam dewan solat untuk dia berbuat demikian?

Persoalan kedua, kita semua tahu bahawa kaum hawa yang cukup umur melalui satu proses semula jadi setiap bulan, iaitu haid. Perempuan yang datang haid dilarang memasuki masjid, apatah lagi dewan solat. Siapa yang menentukan bahawa setiap perempuan yang memasuki masjid pada hari itu benar-benar bersih dan suci daripada haid?

Perkara-perkara sedemikian mungkin telah diketepikan oleh pengurusan Masjid Wilayah termasuk tok-tok imamnya kerana ia melibatkan orang kenamaaan dan penyanyi nombor satu negara dan majlis itu disiarkan pula secara langsung oleh TV3. Tak apalah jika kesucian masjid tercemar, dan tidak mengapalah jika tidak ada tempat dalam dewan solat untuk hamba Allah menunaikan solat, tak kiralah sama ada sunat atau fardu wajib.

Berbalik kepada perang tv malam ini, saya agak ia mungkin kerana perasaan hampa dan marah dengan sikap "tangkai jering" TV3, maka stesen tv milik kerajaan, RTM dan stesen tv berbayar Astro berganding bahu dan bersatu tenaga untuk mencabar TV3. RTM dan Astro menjadikan isu putus tunang juara Akademi Fantasia ke-4 Mawi dengan Diana Kulai sebagai umpan untuk menarik minat penonton. Mawi dan Diana akan dipertemukan buat pertama kali selepas mereka putus tunang.

Semua siaran langsung itu akan bermula pukul 8.45 malam dan ia boleh dianggap sebagai satu pertandingan untuk membuktikan siapa yang lebih popular antara Siti Nurhaliza dan Mawi. Ada pula yang menganggap langkah RTM dan Astro itu sebagai tindakan membalas dendam.

Apa nak jadi dengan kita di Malaysia? Orang lain berlumba-lumba untuk memperbaiki mutu dan taraf hidup, untuk menimba ilmu dan untuk mendapatkan rahmat dan nikmat Allah, tetapi kita berlumba-lumba untuk menambat penonton semata-mata kerana artis, kerana dunia glamor. Apakah kebaikan dan manfaat yang boleh diperolehi daripada perlumbaan atau peperangan itu?

Benar, Siti Nurhaliza adalah penyanyi nombor satu negara dan Mawi pula memiliki aura luar biasa manakala Diana Kulai semakin popular dan dijadikan bahan serta alat untuk melariskan hasil pengeluaran tertentu termasuklah bahan-bahan cetak. Persoalannya apakah peperangan antara stesen-stesen tv berkenaan memberi faedah untuk majoriti rakyat Malaysia?

Rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, telalu kerap dihanyut dan dilalaikan dengan bermacam bentuk hiburan, pesta dan majlis-majlis keramaian. Jom hebohlah, jom makanlah, jom melanconglah, fiesta itulah dan entah apa lagi nama yang diberikan. Maka berduyun-duyunlah orang Melayu membanjirinya.

Oleh kerana anak muda kita telah dan sedang dihanyutkan sedemikian rupa, terutama oleh rancangan-rancangan yang dianjur dan disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen tv, maka mahu tidak mahu berlakulah perang saudara untuk menarik penonton.
Kita tidak boleh mempersalahkan generasi muda sekiranya mereka hanyut jauh dalam lautan yang dipenuhi budaya kurang sihat kerana stesen-stesen tv kita menghidangkan unsur-unsur budaya dan nilai-nilai kehidupan yang menghala ke arah itu.

Saya tidak tahulah sama ada ini merupakan salah satu buah fikiran yang diilhamkan oleh menteri penerangan, Datuk Zainuddin Maidin untuk memperbaiki penarafan atau "rating" RTM berbanding dengan TV3.

Apa nak jadi dengan negara kita?

12 comments:

yanaamsidi said...

Saya amat bersimpati dengan saudara..saya tahu saudara pun tak mahu tulis benda remeh-temeh ni tapi apa boleh buat...terpaksa campur tangan juga. Kalau harapkan surat khabar...Berita Harian atau Utusan Malaysia, semua yang dibuat itu baik segalanya...tak pernah yang tidak baik. Janji ia adalah hiburan untuk rakyat, semuanya dianggap menepati cita rasa, norma dan budaya masyarakat Malaysia. Pada saya Mawi tak ada nilainya..kita boleh cari ratusan, malah ribuan orang macam dia. Bukan bagus sangat tapi disebabkan media yang mempopularkan dia...semuanya terjadi. Bekas tunang dia tu pun, tau apa benda. Siti Nurhaliza pula mungkin agak berbeza sikit...sekali pun dia popular, taklah sampai perkahwinannya perlu dibuat secara live. Tak payah itu semua....ini semua kerja bodoh. Dia nak kahwin, biarkan lah..tak payah lah nak berebut air time pasal dia pula. Saya rasa, media kita termasuk RTM sudah menyimpang jauh...walaupun mereka boleh memberi pelbagai alasan, akhirnya MEDIA PERLU BERTANGGUNGJAWAB dengan apa yang mereka sogokkan. To me, popularity of Mawi, Ina and Siti Nurhaliza not worth a single cent in NATION BUILDING.

Syed Imran said...

Na'am yanaamsidi,
masalahnya perkara yang remeh-temeh seperti ini dijadikan bahan sajian utama secara langsung oleh stesen-stesen tv yang bersifat nasional dan bahan berita muka satu oleh media cetak.
Saya setuju dengan luahan rasa sdr dan saya terpaksa merawikannya dengan harapan sekurang-kurangnya ada orang yang akan ambil tahu.
Alhamdulillah, sdr adalah salah seorang yang prihatin dan ambil tahu. Syukran.

azmanAHMADtermizi said...

Makin lama masyarakat kita makin tidak tahu apa yang perlu dan penting untuk kehidupan hari ini. Apa yang bukan keperluan 10 atau 15 tahun dulu kini dianggap wajib hari ini. Apa yang tiada 10 atau 15 tahun lalu, kini tampil di depan mata tanpa dicari. Dalam proses ini kita tidak sedar nilai kehidupan sebenarnya makin susut dan menipis. Hinggakan kita tidak sedar institusi masjid boleh menyerah kepada kehendak komersil.

Hanturaya said...

Tuan Syed;

Ini mencerminkan minda masyarakat Melayu Malaysia. Mereka lebih suka berhibur daripada berfikir.

Idola mereka adalah artis bukan pemikir. Mereka gemar dikhayalkan baik oleh nyanyi-nyanyian atau ubat-ubatan.

Tanya dari sang ibu ke anak kecil nama siti Nurhaliza atau Mawi pasti ramai yang kenal.

Cuba tanya tentang Tun Sri Lanang atau Munshi Abdullah, jarang sekali yang tahu.

Inilah Melayu. Sebab itu Harian Metro dan Kosmo lebih suka siarkan cerita artis bergomolan dari isu orang Melayu terancam.

Cuba kira berapa kerat anak Melayu yang punya blog untuk berbicara dan berdialog soal keMELAYUannya. Cuba Tuan Syed lawati blog-blog bukan Melayu dan bicara soal Melayu, pasti Tuan Syed dikecam. Bloggers seperti Bus Uncle, Bigjoe atau limpeh akan "mengganyang" bloggers Melayu yang ada serba sedikit keMELAYUannya.

Inilah nasib MELAYU. salamz

sang diva said...

ada pak menteri yang risau kadar pembaca di Malaysia sama seperti 10 tahun dulu.

Tapi bila stesen TV sibuk berperang nak rights for cik siti bersanding, tak cakap apa pun.

heboh bisingkan harga buku di Malaysia mahal. Kalau dah buku yang diimport semuanya tax tinggi, mananya tak mahal. Kedai buku pun nak cari makan jugak, mana mampu nak absorb manjang.

Nak harap buku tempatan, alahai. Buku sasterawan negara semuanya kena pendam. Balik2 rubbish dari penulis muda yang menulis pasal orang melayu kaya, mak datin, puan sri yang bersepah dengan ayat2 kononnya berbahasa inggeris tetapi grammar lintang pukang.

anak muda sekarang dah tau tau apa itu Ranjau Sepanjang Jalan. tapi kalau tanya apa itu Budak Setan, budak darjah 4 pun tau.

Kalau dah memang ada minat membaca, buku mahal mana pun orang sanggup beli. Tapi kalau hiburan saja dilambakkan, jom sana sini, fikir sendiri lah.

rusli ismail said...

jika dilihat dari sudut strategi persaingan perniagaan, program tersebut telah berjaya melahirkan satu pakej produk yang kreatif.

satu produk baru (RTM+Astro=Mawi & Ina) dijelmakan untuk bersaing dgn produk berjenama (TV3=CT & Dtk K) yang sudah tersohor.

pada hemah saya, strategic partnership di antara RTM+Asro telah berjaya melahirkan satu kesan sinergi yang mampu menggerhanakan keegoan TV3.

yang saya kesal sedikit walau apapun teknik2 perniagaan yang digunakan, subject matternya ialah HIBURAN....

yanaamsidi said...

Pagi-pagi ni, 29 ogos, 2006 kira-kira jam 6.30 pagi, buka je radio Era dalam kereta, tak ada cerita lain, cerita Mawi-Ina yang disiarkan secara live sebelah malamnya. Maka, ramailah orang yang menelefon bagi pendapat. Minta maaf, saya tak jadi tutup radio Era sebab nak dengar juga apa orang Malaysia yang BIJAK PANDAI komen mengenai mereka. Malam tadi, jam 8.30 malam dah masuk tidur sebab tidak mahu disogokkan dengan benda karut marut. Sebab keluar masuk kereta, selepas jam 10 pogi tak habis lagi, DJ baru pula sambung topik yang sama. Saya minta maaf pada rakyat Malaysia semua termasuklah stesen tv, radio, penyiar dan pendengar, masyarakat Malaysia tidak akan ke mana kalau terus dibuai dengan cerita begini. Saya rasa masyarakat Tionghua atau India, langsung tak kisah pun benda macam ini. Betullah orang kata, orang Melayu lebih suka melalut dengan benda-benda yang tidak mendatangkan faedah. Masyarakat Melayu memerlukan perubahan..siapa yang nak ubahkan perkara ini, tepuk dada tanya selera.

penganalisis pasaran said...

Ketika orang Melayu bergembira dengan hiburan mereka, harta pesaka dilarikan orang. Lihatlah apa yang telah terjadi kepada Pantai Holdings.
Kerajaan terlelap, harta jatuh ke tangan asing. Sekarang guna wang rakyat (Khazanah Nasional) untuk beli balik.
Fakta dan Persoalan Penyertaan Khazanah Dalam Pantai Holdings
1. Parkway Holdings Ltd membeli 31 peratus saham Pantai Holdings Berhad pada 13 September, 2005 dengan bayaran RM312 juta. Parkway menguasai Lembaga Pengarah dan Pengurusan Pantai;
2. Dalam temu ramah dengan TV3 pada 7 Ogos Perdana Menteri menafikan ada syarikat Malaysia dikuasai oleh pihak asing;
3. Pada 13 Ogos, di Kepala Batas Perdana Menteri mengakui Pantai sudah jatuh ke tangan pihak asing;
4. Pada 28 Ogos Khazanah/Parkway mengumumkan usaha sama untuk memiliki Pantai Holdings;
5. Syarikat usaha sama bernama Pantai Irama Sdn Berhad ditubuhkan. Khazanah memiliki 51 peratus dan Parkway 49 peratus.
(Persoalan: milik asing melebihi 30 peratus. Dasar pemilikan saham – Bumiputera 30 peratus, Bukan Bumiputera 40 peratus, Asing 30 peratus);
6. Pantai Irama membeli saham-saham Pantai milik Parkway pada harga RM2.65 sesaham dengan itu menilai pegangan Parkway dengan jumlah RM394.9 juta.
(Pada teorinya, Parkway telah membuat keuntungan modal – capital gains – sebanyak kira-kira RM83 juta dalam masa tidak sampai setahun).
7. Khazanah telah membelanjakan RM72 juta wang awam untuk membeli 6.6 peratus saham Pantai Holdings;
(Persoalan: Jika benar Khazanah berminat dalam bidang penjagaan kesihatan, mengapa tidak berusaha membeli Pantai Holdings setaun lalu atau membantu PKJ yang pernah membuat tawaran membeli Pantai Holdings?
Mengapa Kementerian Kewangan dan agensi-agensi penguatkuasaan dan pengawalan industri sekuriti gagal mengesan implikasi dan komplikasi penjualan kawalan Pantai Holdings kepada Parkway setahun lalu?
Bagaimana mereka boleh terlupa mengenai komponen penswastaan Pantai Holdings iaitu Fomema dan Pandai Medivest Sdn Bhd?)
Siapa sebenarnya lalai dan alpa?

Anonymous said...

Ini komen Menteri Penerangan, Datuk Zam...apa dah jadi Zam.

Parlimen-RTM
PROGRAM MAWI-INA PUKAU PENONTON - ZAINUDDIN

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Kerjasama RTM dan Astro menyiarkan
program pertemuan juara Akademi Fantasia 3, Mawi dan bekas tunangnya, Ina
amat berkesan dan berjaya memukau penonton dari awal hingga akhir
rancangan, kata Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin.
Beliau berkata rating rasmi rancangan itu belum diketahui.
"Tetapi menurut rating di luar dan sentimen saya saya sendiri, saya
percaya malam tadi sebanyak 99.9 peratus anggota Parlimen menonton RTM,"
katanya semasa menjawab soalan Hashim Jahaya (BN-Kuala Kedah) mengenai
rating program Mawi-Ina yang disiarkan melalui RTM1 dan Astro Ria malam
tadi.
Zainuddin berkata semasa rancangan itu ke udara, RTM tidak lupa
menyelitkan mesej kemerdekaan dan patriotisme tentang wira negara yang
terkorban semasa menentang komunis.
Beliau mengalu-alukan mana-mana stesen televisyen swasta yang berminat
bekerjasama dengan RTM dalam program membangun dan membudayakan masyarakat.(program Mawi-Ina ni membangunkan masyarakat ke?)

sang diva said...

perkahwinan wedding of the year cik siti dan datuk kay tu dikatanya sejarah negara.

alahai kalau setakat dia menyanyi lepas tu buat concert tang ticketnya didermakan seorang hartawan (khabarnya suaminya sendiri) kepada rakyat dan pelajar Malaysia, apa sumbangannya kepada pembangunan Ummah?

Sekarang ni pak menteri sibuk menyebut pasal pembangunan insan (human capital) tapi kalau saban hari kita ni disogok dengan cerita dalam luar kain artis, apa faedahnya.

bila kita cakap macam ni, masalahnya peminat fanatik selalu cakap, ala jealous la tu sebab siti kaya, siti cantik, ko ada apa.

tapi kaya dan kecantikan boleh hilang pada bila masa saja. ilmu pengetahuan dibawa hingga mati.

teringat masa siti dapat result SPM pangkat duanya satu masa dulu. Dia bersyukur sebab dapat kejayaan cemerlang. Cemerlang katanya. Kalau tak percaya p tengok balik rakaman muzik-muzik tahun tu.

Terus berkata pada diri sendiri. Wah kalau SPM pangkat dua katanya cemerlang, so pangkat satu ku itu pastinya gemilang. Ini ke idola yang nak dijadikan ikutan. We settle for second best? Yang tak sedapnya cikgu sekolah pun suka sangat kat idola muda ni. Apa kita nak cakap sebenarnya. Tak pe lah. Janji ko cantik, ko pandai nyanyi, ko pandai bitchy dalam rancangan realiti, ko boleh jadi penyanyi, ko dah boleh jadi kaya.

Tu sebab ramai anak muda (sayangnya Melayu lah pulakkan) suka nak masuk rancangan menyanyi ni semua. Bukan lah cakap tak suka penyanyi atau anti, tapi punya ramai sampai rasanya kalau lempar batu, mesti jatuh atas penyanyi.

kalau tak pandai sekolah semua nak jadi penyanyi. dah tak de dah nak jadi juruteknik ke, jurukimpal ke, nurse ke sebab tak glamour.

yang jawatan profesional jangan cerita lah. MIC sibuk satu keluarga satu profesional. MCA sibuk pendidikan sepanjang hayat. Orang Melayu, melopong depan TV tengok rancangan realiti.

Hanturaya said...

Nampaknya sambutan kemerdekaan di"kabur"kan oleh so called wedding of the year dan kemelut peribadi juara SMS Malaysia!

Jika MIC merancang untuk satu professional satu family, MCA pendidikan sepanjang hayat, UMNO mestila soal "siapa yang nak jadi pendekar belasah DrM".

Org Melayu pulak mcm tak kisah. Lebih suka tgk tv dari berfikir. Nak buat mcmana.

Mungkin suatu hari Melayu jadik mcm RED INDIAN atau orang asli australia.

Salah siapa?

sang diva said...

tu la pasal. yang kelakarnya orang melayu kita yang duduk bertahun kat negara orang, sibuk cari kekayaan, cari kehidupan supaya mereka boleh balik menetap kat Malaysia ni. Tapi jangan nanti bila tiba masanya, nak balik bumi di pijak milik orang.

sebenarnya lagu BTN anak kecil main api tu memang betul. Kita ni alpa. bila tegur sikir pemimpin kita, semua nak melenting. bila tegur dan kutuk artis, jawapannya kita cemburu. entahlah.

orang Melayu terus menerus dibawa arus hiburan. dan 49 tahun merdeka, orang melayu nak masuk belajar tinggi pun masih harap kerajaan. itu pun yang sebenarnya berkobar nak masuk uni tu sebenarnya mak bapak je, yang anak sibuk nak jadi penyanyi. kalau tak betul kenapa banyak sanagt yang sibuk nak masuk AF la, Mentor la. anak bukan melayu tak heran semua tu. sebab dia tau, kalau nak perbaiki hidup adalah pelajaran.

takat mana pun ko nak menyanyi. takat manapun orang nak minat ko. sudahnya jadi macam kak pah, org lama je yang minat. yang muda semua nak tengok cik siti je.

kalau tak de ilmu, apa nak buat kalau peminat dah lari ke penyanyi lebih muda. sudahnya tersadai ke tepi.

contohnya dah ada. pelakon dulu-dulu semua dah beri contoh. berapa kerat je yang hidup senang lenang. kalau tak pun tak merempat menyusahkan orang. yang lain hilang lenyap. bila dah mati baru orang sibuk cari. kesian hidup melarat. tapi takat manapun reporter nak tulis, kalau satu Malaysia dah tak ingat kat awak?