Monday, August 14, 2006

Khairy pintar bersandiwara


Anak muda yang semakin "popular" di kalangan Pergerakan Pemuda Umno semata-mata kerana dia adalah menantu presiden parti merangkap Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin, sebenarnya seorang yang pintar bersandiwara dan beriawara di pentas politik Umno.

Kebijaksanaan dan kepintaran beliau tidak boleh dinafikan. Jika tidak, tak kan bapa mertuanya melantik beliau ke jawatan nombor tiga dalam pentadbiran Pejabat Perdana Menteri pada usia yang masih setahun jagung dalam jurusan pentadbiran tinggi.

Dalam surat pemakluman yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Dato' Mohamad Thajudeen Abdul Wahab bertarikh 26 Disember 2003, nama Khairy Jamaluddin berada pada nombor tiga selaku Timbalan Ketua Setiausaha Sulit II.

Perlantikan Khairy sebenarnya melanggar arahan pekeliling yang diedarkan oleh Perdana Menteri terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melarang anggota pentadbiran (menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen) daripada melantik sanak saudara terdekat, termasuk menantu, mertua dan ipar daripada memegang jawatan bersifat pembantu/pegawai di pejabat masing-masing. Antara jawatan yang disebut dalam pekeliling itu ialah setiausaha sulit, setiausaha akhbar dan pegawai khas.

Amat jelas bahawa perlantikan Khairy oleh Abdullah melanggar arahan. Akhirnya Khairy "terpaksa" melepaskan jawatan itu setelah bapa mertuanya dimaklumkan mengenai risiko yang bakal dihadapi sekiranya "rahsia" itu terbongkar.

Sahabat baik Khairy bernama Kalimullah Masheerul Hassan kemudian melantik Khairy menduduki jawatan penting dalam syarikatnya, ECM Libra dan seperti yang kita sedia maklum, ECM Libra menawarkan sejumlah besar saham kepada Khairy.

Khairy mengaku bahawa beliau "membeli" saham bernilai hampir RM10 juta itu melalui pinjaman oleh ECM Libra. Jika benar, Khairy dan ECM Libra telah melanggar satu peruntukan dibawah Akta Syarikat.

Sebenarnya, saya musykil sama ada Khairy benar-benar meminjam wang ECM Libra untuk membeli saham tersebut. Saya berpendapat, saham berkenaan diberi secara percuma oleh Kalimullah kepada Khairy atas sebab-sebab tertentu termasuk kemungkinan peranan utama Khairy dalam kejayaan penggabungan ECM Libra dengan Avenue, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (Kem Kewangan). Jadi apabila isu ini menjadi perbualan ramai dan penggabungan itu disiasat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Parlimen Malaysia, Khairy secara cepat dan halus melepaskan diri dengan "menjual" semua pegangan sahamnya kepada anak syarikat AMbank. Beliau mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM200,000. Saya tidak nampak dimana kerugian itu sekiranya saham tersebut merupakan anugerah daripada ECM Libra, malah yang diperolehi oleh Khairy ialah sejumlah besar wang tunai.

Ramai orang yang terpengaruh dengan kebijaksanaan Khairy berpidato (bercakap) dalam majlis-majlis yang dihadirinya. Nampaknya Khairy jauh lebih hebat daripada Anwar Ibrahim. Lazimnya, pada suatu masa yang tidak berapa lama dahulu, orang yang pandai bercakap dan mempengaruhi (termasuk memperdaya) orang ramai adalah penjual ubat jalanan. Penjual ubat yang dimaksudkan itu bukan sahaja petah berkata-kata tetapi merupakan pelakon handalan yang menguasai pentas sandiwara jalanan.

Kita tidak seharusnya mudah terpedaya dengan orang politik yang pandai berkata-kata dan beraksi dengan penuh emosi di atas pentas riawara Umno. Tak kiralah sama ada tangan ahli politik berkenaan terseliuh dan "terpaksa" menggunakan "sling" berbulan-bulan lamanya untuk menagih simpati ramai.

1 comment:

matalebam said...

It's just so popular to hate Khairy nowadays isn't it...

Let me remind all of you who aspire a more modern Malaysia that he remains our best bet for the future. Yes he goes on demonstrations, maybe ill advised in hindsight. Yes maybe he should never have put himself in a position where he would so easily be accused of enriching himself (ECM Libra). But to crucify him for the games he has to play is just plain naive. Get a dose of realism would be my suggestion.

WHy dont we all stop and think: what is his end game. I have. And I for one think it could be rosy for Malaysia.