Saturday, August 19, 2006

Isu Melayu Pulau Pinang tak berkesudahan

Musim mesyuarat bahagian Umno di Pulau Pinang mempertontonkan ulang tayang retorik masalah Melayu dan isu ketua menteri. Kali ini pergerakan pemuda Umno mahukan jawatan ketua menteri digilir-gilirkan antara Gerakan dan Umno. Bagaimana pula dengan MCA dan MIC? Tak kan depa tak mau kot?

Sebenarnya isu penggiliran ketua menteri adalah satu perkara yang kurang bijak. Formula itu telah diuji keberkesanannya di Sabah dan ternyata gagal. Status quo yang diperkenalkan oleh almarhum Tun Razak melalui penubuhan kerajaan campuran Gerakan-Umno di Pulau Pinang cukup berjaya. Perlu diingatkan bahawa pada tahun 1969 Gerakan menawan Pulau Pinang setelah menumbangkan kerajaan Perikatan yang diketuai oleh Wong Pow Nee. Selepas pemerintahan Majlis Gerakan Negara (Mageran) tamat, Tun Razak telah berhasil menubuhkan kerajaan campuran itu. Hasil kejayaan kerajaan campuran di Pulau Pinanglah yang melahirkan pakatan Barisan Nasional (BN). Mungkin budak-budak kaniak dalam pemuda Umno di Pulau Pinang buta sejarah dan cuba nak jadi juara dengan membangkitkan isu penggiliran ketua menteri. Percayalah seorang ketua menteri Umno yang mungkin berkuasa dua tahun (kerana terpaksa bergilir jawatan) tak dapat berbuat apa-apa.

Nampaknya isu kedudukan dan nasib orang Melayu Pulau Pinang tidak akan berkesudahan selagi para pemimpin politik khususnya Umno, benar-benar jujur dan ikhlas memperjuangkannya. Malangnya, berapa kerat pemimpin Umno Pulau Pinang yang memiliki sifat sedemikian? Inilah hakikat yang mesti diterima dan orang Melayu Pulau Pinang jangan sering kali menuding jari kepada orang lain atas kelemahan diri sendiri.

Perlu diingatkan bahawa yang berkuasa dan bertanggungjawab bukan ketua menteri seorang tetapi semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) termasuk dari Umno. Tindakan segelintir pemimpin dan bekas pemimpin Umno menuduh ketua menteri gagal membantu orang Melayu adalahsesuatu yang tidak betul dan tidak adil. Semua keputusan berkaitan pembangunan dan pelaksanaan dasar diputuskan oleh Exco, bukan oleh ketua menteri seorang. Jika ia tidak menguntungkan orang Melayu, jangan persalahkan ketua menteri, persalahkan wakil Umno yang berjawatan Exco termasuk timbalan ketua menteri. Ini baru betul.

Saya dapati sejak jawatan timbalan ketua menteri diberi kepada Umno, bermula dengan Dr Ibrahim Saad, tidak ada banyak perubahan yang berlaku ke arah mengubah nasib orang Melayu. Yang nyata ialah kemunculan beberapa kerat orang Melayu yang menjadi kaya melalui pertalian politik. Gandingan Anwar Ibrahim dan Ibrahim Saad telah memunculkan nama-nama seperti Aminuddin Saad, Marzuki Ibrahim, Zahrin Hashim, Ahmad Ismail, Ahmad Ibni Hajar, Ahmad Saad, Ishak Panjang (ex-KFC), Radhi Pachee, Latiff Mirasa dan Rani Ibrahim. Mereka merupakan "tokoh" yang menguasai politik dan dunia perniagaan di Pulau Pinang. Tetapi, pada keseluruhannya, nasib orang Melayu masih dok tang tu jugak. Para pemimpin Umno terus berlumba-lumba bukan untuk memperjuangkan nasib anak bangsa tetapi mencari keselesaan dan kesenangan hidup masing-masing. Perkara ini cukup terang dan nyata jika kita menoleh ke belakang dan melihat taraf hidup dan kedudukan mereka sebelum mereka timbul sebagai pemimpin Umno.

Bagi orang Melayu Pulau Pinang, mereka harus sedar bahawa tidak wujud lampu ajaib Aladdin untuk mengubah taraf hidup mereka. Kejayaan hanya akan dikecapi apabila mereka bekerja keras dan gigih untuk mengubah nasib anak cucu mereka supaya jauh lebih baik daripada nasib mereka. Janganlah selalu mengharapkan bantuan dan pertolongan kerajaan tanpa berusaha sendiri. Lihat sajalah kejayaan orang Cina dan India. Mereka tiada agensi seperti Mara, Perda, PDC, Unit Penyertaan Bumiputra, Pejabat Kemajuan Negeri, Kemas dan sebagainya. Mereka tetap berjaya berkat titik peluk mereka sendiri. Hasil kejayaan mereka adalah pelajaran. Ya, pelajaran adalah jawapan untuk orang Melayu berjaya.

Orang Melayu seharusnyalah menitik beratkan soal pelajaran anak cucu mereka. Kemajuan hidup tidak akan datang bergolek tanpa berusaha dan bekerja kuat. Usahalah dan bekerja kuatlah untuk memberi pelajaran kepada anak cucu kita. Kerajaan menyediakan banyak kemudahan dan pertolongan untuk membolehkan anak bangsa Melayu menimba ilmu sehingga ke peringkat tertinggi. Tidak ada sebab kenapa anak Melayu tidak boleh berjaya. Malangnya, banyak yang gagal kerana ibu bapa tidak begitu mengambil berat tentang soal pelajaran. Mereka melepaskan tugas itu kepada pihak sekolah semata-mata. Mereka tidak ambil tahu ke mana anak remaja mereka pergi selepas waktu sekolah. Mereka tidak hirau sama ada anak mereka mengulang pelajaran atau tidak. Mereka tidak menegur atau melarang anak mereka yang asyik menonton tv tetapi tidak mengulangi pelajaran di rumah. Ibu bapa Melayu juga tidak melarang anak remaja mereka menghabiskan masa di kompleks-kompleks membeli belah, di Padang Kota Lama (Esplanade), Padang Kota Baru (Gurney Drive) atau menjadi Mat Rempit di Perai dan Mak Mandin.

Orang Melayu yang bergelar pemimpin di Pulau Pinang seharusnya mengubati punca sebenar kenapa bangsa mereka terus terpinggir, jika ia benar, terus ketinggalan dalam apa jua bidang. Ubatilah penyakit yang menghidapi bangsa kamu. Tekankan betapa pentingnya pelajaran. sedarlah bahawa semangat untuk memajukan diri dan keluarga terletak di atas bahu sendiri dan bukan dipikul oleh bahu orang lain.

6 comments:

Anonymous said...

analisis yang baik. teruskan.

Kean Hong said...

i agree with u... money wont fall from the sky. as penangite, one need to work for living.. no one will pity u if u fail, but once u fail, u must know why and how u fail, then only u can be a better man.... same to all races the theory applied ...

Anonymous said...

Keadaan orang Melayu di Pulau Pinang amat tenat. Orang Melayu Pulau Pinang sekarang hanya tinggal di rumah-rumah kampung di celah-celah bangunan tinggi. Harga tanah dan rumah pula melambung dan memang tak ada orang Melayu yang mampu membeli malah menyewa.

Saya setuju yang bukannya Ketua Menteri Melayu yang dapat menyelamatkan orang Melayu sahaja. Pemimpin Melayu yang ada pun sebenarnya sudah cukup kuasa untuk menyuarakan kepentingan, menegakkan hak dan memberi peluang kepada orang Melayu melalui pelbagai cara.

Malangnya, pemimpin pemimpin Melayu di Pulau Pinang yang tidak memainkan peranan mereka dengan sebaik-baiknya yang menyebabkan orang Melayu ketinggalan. Orang-orang Melayu yang mewah di Pulau Pinang hampir kesemuanya terdiri daripada ataupun rapat dengan pemimpin UMNO. Tidak perlulah saya memberikan sebab untuk ini.

Saya juga seorang penduduk Pulau Pinang kesal dan malu dengan tindakan Pemuda UMNO yang menuduh melulu tanpa bukti yang Ketua Menteri tidak membantu orang Melayu.

Zaman ini bukan zaman tok nadok di mana semua kata kata boleh diterima sahaja. Bukti-bukti kukuh dan informasi tepat mesti disertakan juga dalam dakwaan mereka.

Makan kena carik,
Cakap kena lapik.

muteaudio said...

Masalah Melayu Pulau Pinang ialah pada diri mereka sendiri. Bukan disebabkan oleh Tsu Koon atau Gerakan. UMNO PP adalah yg paling lemah seantero Malaysia. Susah untuk bersatu. Kalau penggiliran KM PP diterima, mereka akan 'berbunuhan' sesama sendiri untuk jawatan tersebut.

A Voice said...

Lets not get into this self analytical situation coz most of teh time it ends up becoming a patronizing "why aren't you like me?" stance.

Penang problem is both internal and external issues. The way I see is to analyse it beyond the framework of conventional laisse faire economic system.

Otherwise the ones with the capital will continue to have all the advantage. Those with political position would have access for opportunity and work with the capital holder.

You think being smart or a ideal model of a modal insan can overcome that?

Anonymous said...

i do agree with some above what you all said.
what Melayu or bangsa lain, i don;t know when we as Malaysian can live together and have all the facilities to help everybody,not Malay only or Bangsa lain have to live by their own...all these are really narrow minded. Think, we have only the resouce in the country, IF some programe is only good for one bangsa, how about the others? why not we live together to find more resource instead of fight in the well and finally die together...may be not generation now...but for sure...our anak cucu...
In this Merdeka day. i HOPE a wider mindset of our people who always call our self Bangsa boleh to wake up and work and not shouting!!!

Leong
a dissapointed man who love country so much.
To Menteri of Perenangan: I LOVE MALAYSIA with heart,not just for you to heard. Please be matured.