Wednesday, July 18, 2012

Raja dan politik - saling perlu dan memerlukan

Kebelakangan ini ada saja cerita dan berita yang bersangkut-paut dengan Raja atau kerabat penghuni Istana. Ada yang positif dan ada yang negatif. Ini adalah sesuatu yang biasa kerana penghuni Istana adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kelakuan baik dan buruk, dosa dan pahala.

Institusi Raja Melayu di Tanah Melayu telah diselamatkan daripada diturunkan taraf dan kedudukan oleh kebangkitan rakyat biasa, khususnya orang Melayu apabila pihak British nak tubuh Malayan Union. Jika orang Melayu tidak bangkit mempertahan Raja Melayu, sudah pasti taraf dan kedudukan penghuni istana tidak seperti yang ada sekarang.

Cadangan penubuhan Malayan Union disifatlkan sebagai satu 'malapetaka' kerana ia akan mengubah bentuk pentadbiran dan membuka taraf kerakyatan yang sama kepada semua penduduk Tanah Melayu dan menghapus kedaulatan Raja dan taraf Malaya sebagai negeri di bawah naungan kepada taraf tanah jajahan takluk British.

Mungkin kerana terhutang budi kepada jasa dan pengorbanan orang Melayu, maka pihak Istana memberi sokongan kuat kepada penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan seterusnya menjadi sejarah penting dalam perhubungan antara pihak istana dengan politik.

Banyak hal dan perlakuan yang dilalui oleh kedua-dua pihak, bak kata orang ada naik dan turunnya tetapi walau apapun, orang Melayu masih mahu mempertahan dan mengekal institusi raja, terutama melalui kuasa politik.

Hubungan antara pentadbir dan Istana berjalan lancar di bawah pentadbiran Almarhum Tunku Abdul Rahman, Almarhum Tun Razak dan Almarhum Tun Hussein Onn tetapi tidak semasa  pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Mungkin kedudukan tiga Perdana Menteri awal yang begitu rapat dengan Istana menjadi tali pengikat keakraban antara mereka dengan pihak Istana, Almarhum Tunku juga dari Istana manakala Tun Razak dan Tun Hussein berasal dari golongan bangsawan yang ada hubungan rapat dengan Istana, Tun Mahathir pula tidak sedemikian. 

Dua krisis besar melibatkan pentadbiran Dr Mahathir dan pihak Istana berlaku yang mengakibatkan pindaan Perlembagaan dibuat. Namun, begitu Pentadbiran Mahathir masih mempertahan dan mengekalkan institusi Raja Melayu. Walaupun Mahathir mendapat sokongan padu daripada partinya, UMNO, dan majoriti orang Melayu semasa menghadapi krisis tersebut, dia tetap mahu mengekalkan institusi Raja Melayu atas kepentingan-kepentingan tertentu yang termaktub dalam Perlembagaan.

Mahathir sedar bahawa kewujudan Institusi Raja-Raja Melayu penting dalam pentadbiran negara dan walaupun mereka, iaitu Raja-Raja Melayu, tiada kuasa mentadbir, kedudukan mereka tetap diperlukan dalam urusan dan hal ehwal berkaitan agama Islam dan adat resam orang Melayu.

Pendek kata, pihak pentadbiran yang mewakili institusi politik dan Raja-Raja Melayu, saling perlu dan memerlukan. Tetapi, sesuatu perlu dibuat untuk memastikan undang-undang dan Perlembagaan dipatuhi dan dihormati oleh pihak Istana. Raja atau kerabat mereka tidak boleh melakukan sesuatu sesuka hati kerana mereka tidak seharusnya berada di atas undang-undang. 

Untuk itu, satu usul  dibentang dan diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat pada 10 Disember 1992.

Usul itu dibawa oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar, YAB Abdul Ghafar Baba (Almarhum Tun Ghafar Baba).

Antara lain, Almarhum berkata kerajaan ingin menegaskan pendiriannya mahukan institusi Raja Berperlembagaan dikekalkan. Walau bagaimanapun, Kerjaan mempunyai tangungjawab sepenuhnya bagi menegur dan memperbetulkan apa-apa jua kesilapan yang didapati telah dilakukan oleh mana-mana Raja-Raja Melayu.

Beliau seterusnya berkata tindakan itu dibuat dengan ikhlas dan bertujuan untuk mempertahan dan mengekalkan institusi beraja sebelum rakyat jelata sendiri bertindak liar terhadap Raja-Raja yang mungkin tidak boleh dikawal lagi pada akhirnya.

"Malaysia mengamalkan pemerintahan bercorak demokrasi yang membawa erti bahawa kekuasaan dalam negeri ini adalah terletak di tangan rakyat. Kewujudan Parlimen dan institusi beraja adalah dengan kehendak rakyat sendiri. Tidak salah apabila dikatakan bahawa yang dikatakan berdaulat itu ialah rakyat jelata sendiri bukan Raja-Raja. Hakikat yang sebenar ialah tidak ada raja jika tidak ada rakyat," tegas beliau yang mendapat tepukan tanda sokongan para Ahli Dewan Rakyat.

Apa yang dilalui selama ini  seharusnya dijadikan iktibar oleh semua -  Istana, Pentadbiran dan rakyat jelata walaupun atas  kesedaran  tiada sesuatu yang kekal. Semuanya saling perlu dan memerlukan.

SELAMAT MENYAMBUT DAN MENUNAIKAN IBADAH PUASA. SEMOGA IBADAH KITA DITERIMA ALLAH.





2 comments:

Anonymous said...

Jika difikirkan secara realistik dan sejujur-jujurnya, apakah masih relevan utk mengekalkan raja2 dari 9 negeri? adakah mereka mmg benar2 menjalankan amanah sbg ketua agama Islam dan memelihara adat resam seperti yg diwar2kan? Apakah kita xnak persoalkan realiti kehidupan kebanyakan bangsawan yg bermewah melampau ini adakah selari dengan peranan yg diberikan? kita x bole persoalkan kerana mereka adalah raja? kita? rakyat yang hina? siapa sebenarnya hina? adakah kita masih dinaungi oleh Raja atau Raja yg dinaungi oleh kita rakyat?

Minta maaf. saya cuma melahirkan expresi ikhlas dari hati berdasarkan situasi masa kini. Kita telah dihambat dgn pemahaman betapa perlunya penggantungan kepada raja dari zaman berzaman. sehingga kita membuat telahan bahawa kebajikan dan kelangsungan bangsa kita ini akan terhakis malah terhapus jika tanpa wujudnya golongan raja.

Sedangkan jika kita melihat dari kacamata Islam, kita sebenarnya memerlukan pimpinan dari seorang Khalifah bukan raja. raja itu cuma gelaran utk menggambarkan ketinggian status sosial dalam masyarakat yg mana dipanggil golongan bangsawan. dianggap mulia bukan kerana ketakwaannya, tetapi kerana keturunannya. HakikaTnya, kita masih meratapi kejatuhan Khilafah Islamiyah. selagi sistem khilafah ini tidak bertapak semula, maka selama itu la kita akan terus ditindas,dihina, malah dipecahkan kepada puak2 yg berjuang atas nama bangsa mengatasi agamanya. Adakah dgn adanya raja2 melayu ini cukup meyakinkan kita bahawa martabat Islam itu akan dpt dijulang kembali? Marilah kita beristiqamah dan semoga dipermudahkan.

Unknown said...

Saya terima pandangan saudara seadanya. Jika saudara amati, perenggan akhir dalam tulisan saya, ada disebut mengenai tiada sesuatu yang kekal. Ini termasuk institusi raja dan ia terbukti di banyak negara yang telah menggantikan sistem monarki dengan sistem yang berpaksikan kuasa rakyat.

Saya sedar isu ini begitu sensitif di Malaysia dan ada pula undang-undang yang boleh menghukum rakyat yang mempersoalkannya. Tetapi, atas kesedaran bahawa tiada apa yang kekal di muka bumi ini dan Yang Maha Berkuasa dan Maha Besar hanyalah Allah, kita seharusnya tidak gentar menghadapinya.

Saya ingin mengutip nasihat melalui syair karya Imam Muhammad bin Idris bin Al-Abbas bin Uthman bin Shafie atau lebih dikenali sebagai Imam Shafie yang bermaksud:-

" Dimana pun seorang raja berada, janganlah bernaung di pintunya.

Apa yang engkau inginkan dari seorang raja? Bila sang raja marah, dia akan mengejarmu, dan bila hatinya lega, dia akan merasa bosan kepadamu.

Berlindunglah hanya kepada Allah dan jauhi pintu raja.

Sesungguhnya, berdiri di pintu seorang raja merupakan suatu kehinaan."