Wednesday, December 28, 2011

Hak semua rakyat dijamin oleh Perlembagaan

Mereka yang mempersoal Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebenarnya tidak faham dan tidak peka akan maksud yang tersirat. Oleh itu, mereka berani mempersoal dan membuat andaian yang boleh menimbulkan tindak balas negatif daripada pihak lain.

Apabila orang politik mengungkit-ungkit Perkara 153 maka berlakulah perdebatan dan tuduh-menuduh antara orang politik dan mereka yang mewakili badan-badan bukan kerajaan, tetapi apabila pemimpin agama  membangkitkannya, ia agak keterlaluan dan melampaui batas.  

Isu berkaitan agama,  iaitu semua agama,  cukup sensitif dan mesti ditangani dengan hemat dan cermat.

Oleh itu, pemimpin-pemimpin agama harus sedar dan berhati-hati sebelum membuka mulut mempersoal atau melempar tuduhan yang boleh menyentuh perasaan dan sensitiviti pihak lain. 

Perkara 153 sebenarnya melindungi dan memelihara bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, tetapi semua rakyat Malaysia. Inilah yang mesti difahami oleh ketua paderi yang membangkitkan kontroversi mengenainya. Jika dia tak faham dan tak erti maksud yang terkandung dalam perkara itu, duduk diam sajalah. Jangan usik sarang tebuan. Buruk padahnya! 

Perkara 153 (1) cukup jelas dan tidak seharusnya dipertikai oleh mana-mana pihak, politik mahupun agama. Iaitu:-

"Adalah menjadi tangungjawab Yang diPertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini."

Yang diPertuan Agong sendiri diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk bukan sahaja memelihara dan melindungi   kepentingan orang Melayu/Bumiputera tetapi semua kaum yang merupakan rakyat Baginda di bumi Malaysia.

Kenapa perlu mempersoalkan Perkara 153 jika ia sudah jelas dan mudah difahami?

Kepada ketua paderi berkenaaan dan semua pemimpin agama, hati-hatilah sebelum membuka mulut. Mereka sepatutnya menumpu perhatian sepenuhnya kepada masalah sosial di kalangan pengikut atau penganut agama masing-masing. Banyak masalah yang dihadapi dan sedang meresapi masyarakat. Adalah menjadi tanggungjawab  mereka untuk menanganinya.

Setiap bidang  profesional termasuk kerohanian, ada tugas dan tanggungjawab masing-masing. Tumpukan kepada bidang yang diceburi atau yang menjadi kepakaran diri. Usah cerobohi bidang dan tugasan lain yang anda bukan pakar atau ahli. 

Ingat, hak semua rakyat dijamin oleh Perlembagaan. Usah persoalkannya.



  

Wednesday, December 21, 2011

Adakah Malaysia mengamal 'pemujaan' pemimpin?

Kejadian sekumpulan anak muda yang dilaporkan sebagai mahasiswa yang berarak secara aman ke PWTC dan dikatakan telah menurun 'bendera' berwajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menarik perhatian saya.

Apa yang menjadi tanda tanya ialah 'bendera' tersebut. Adakah ia  benar-benar 'bendera' dan jika ya, kenapa pula ada wajah Najib mahupun pemimpin-pemimpin lain?

Jika ianya 'bendera' saya ingin tahu 'bendera' itu mewakili atau melambangi apa?  Adakah ia didaftarkan dengan mana-mana pihak berwajib seperti Pendaftar Pertubuhan? Jika tidak adakah ia 'bendera' mana-mana kumpulan tidak berdaftar?

Sejak kurang sedekad ini, rakyat Malaysia disajikan dengan bermacam bentuk pemidang, sepanduk, lencana dan kini bendera yang memaparkan wajah pemimpin negara, negeri dan parti-parti politik. Ia seolah-olah satu kemestian atau 'wajib' diadakan.

Saya bimbang kita sedang atau akan menuju ke arah pemujaan pemimpin atau pendewaan pemimpin sama seperti yang berlaku di negara-negara komunis dan sosialis. Kita tidak mahu melihat Malaysia menjadi seperti Korea Utara yang begitu taksub mendewa-dewakan pemimpin mereka dengan memasang sepanduk, lambang dan pemidang besar gambar pemimpin mereka.

Inilah yang sedang berlaku di Malaysia. Di mana-mana sahaja kita boleh lihat potret atau gambar pemimpin-pemimpin tertentu seolah-olah mereka adalah 'dewa' yang dipuja dan dijulang tinggi. 

Apa kata para ulama dan cerdik pandai Islam mengenainya? Kenapa mereka tidak bersuara atau adakah mereka bersetuju dan menjadi 'pak turut' yang tidak berani menegur atau menasihati pihak berkenaan?   

"Pendewaan" dan "pemujaan" manusia dilarang oleh Islam.

 

Tuesday, December 20, 2011

Shahrizat atau Zuraida yang lebih mirip Mak Lampir?

Isu panas membabitkan keluarga Menteri Pembngunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semakin panas bahkan mula mendidih. Semuanya kerana sikap ketua Wanita Umno itu sendiri yang telah dan masih  mengalihkan isu itu termasuk kepada Wanita Umno, wal hal ia tiada kaitan sama sekali dengan Wanita Umno.

Shahrizat menggunakan pentas Wanita Umno untuk membidas dan menghentam ketua wanita Parti KeAdilan Rakyat (PKR) yang juga Ahli Parlimen Ampang,  Zuraida Kamaruddin. Perbuatan Shahrizat tidak disenangi oleh sebilangan tokoh veteran Wanita Umno kerana ia tiada kaitan sama sekali dengan pergerakan itu.

Tepukan dan jeritan sebilangan ahli Wanita Umno yang sesekali kedengaran semasa ketua mereka berucap pada mesyuarat agung pergerakan itu tidak ubah dan boleh disamakan dengan sorakan muda-mudi yang menghadiri konsert rock. Selepas konsert, semuanya pulang kerana terhibur dan tidak lebih daripada itu.

Sekurang-kurangnya muda-mudi yang menghadiri konsert rock rasa berbaloi dengan hiburan itu sedangkan perwakilan wanita Umno pulang dengan beberapa tanda tanya mengenai kedudukan ketua mereka. Perlu diingatkan bukan semua ahli yang menyokong dan setuju dengan tindakan Shahrizat mengaitkan masalah 'peribadi' dengan pergerakan itu.

Shahrizat mengaitkan pembangkang kononnya sebagai 'anasir' yang menyerang beliau dan Wanita Umno berkaitan isu ladang ternakan lembu  (NFC)  yang mendapat peruntukan atau pinjaman  RM250 juta daripada Kerajaan Persekutuan dimana suami  dan anaknya merupakan 'orang kuat' dalam perbadanan itu.

Shahrizat lupa atau sengaja buat-buat lupa bahawa isu NFC tidak dibangkitkan oleh pembangkang tetapi oleh Ketua Audit Negara melalui laporan tahunannya. Isu itu turut  dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat oleh salah seorang "hulubalang"  dari parti Shahrizat sendiri, iaitu Bung Mokhtar Radin yang mendesaknya meletak jawatan.

Sudah tentu pembangkang turut membangkitkan isu NFC kerana ia membabitkan wang rakyat, soal kewibawaan, integriti, ketelusan dan kesaksamaan dalam melaksanakan projek yang berkaitan dasar kerajaan. Bodohlah wakil-wakil rakyat pembangkang sekiranya mereka membisu seribu bahasa.

Selain Bung Mokhtar, beberapa orang pemimpin pertengahan Umno turut mendesak Shahrizat melepaskan jawatan Kabinet yang disandangnya demi kepentingan parti. Mereka menyifatkan ia sebagai satu beban kepada parti yang bakal menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.

Saya juga mendapat tahu bahawa ada ahli perwakilan ke perhimpunan agung Umno yang ingin membangkitkan isu NFC tetapi telah dilarang oleh pucuk pimpinan. Benarlah apa yang dinyatakan sebelum ini oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah, iaitu tiada kebebasan bersuara 'sepenuhnya' dalam Umno.

Mungkin kerana tidak tahan melihat Umno menjadi bahan serangan bertubi-tubi oleh lawan, maka seorang ketua bahagian yang lantang bersuara melalui media arus perdana khususnya Utusan Malaysia, iaitu Datuk Wira Syed Ali Alhabshee meluahkan isi hatinya dengan menasihati Shahrizat supaya meletakkan kepentingan parti di atas kepentingan-kepentingan lain. Beliau merujuk kepada isu NFC yang menurutnya seperti kata-kata kiasan "memikul biawak hidup".

Dalam erti kata yang mudah difahami, Syed Ali mendesak Shahrizat letak jawatan kerana isu NFC pasti akan menjejas  Umno yanag sememangnya sudah "tenat" apabila menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Desakan Syed Ali nampaknya tidak disenangi oleh "penyokong" Shahrizat yang pada 15 Disember lalu, atas nama NGO yang tidak pernah dengar "menyerang" pejabat Umno Bahagian Cheras kononnya untuk menyerah memorandum berkaitan isu "biawak hidup" kepada ketua Umno berkenaan.

Turut sama dalam "pasukan"  ke Pusat Rekreasi Cheras yang menempatkan pejabat Umno itu ialah dua orang pegawai dari pejabat Shahrizat. Nah, sudah terang dan tidak perlu disuluh lagi, bahawa siapa yang turut terlibat.

Saya difahamkan bahawa mereka dilayan dengan baik oleh ketua dan kakitangan pejabat Umno Bahagian Cheras tetapi apa yang berlaku agak mendukacitakan kerana ada percubaan untuk mencederakan Syed Ali sehingga pegawainya terpaksa memanggil polis untuk mengawal keadaan. 

Hujung minggu lepas, Shahrizat turun ke Ampang, kubu kuat Zuraida Kamaruddin, ketua wanita PKR yang dijadikan sasaran serangannya. Marah betul Shahrizat kepada Zuraida yang berulang kali mendesaknya meletak jawatan berhubung isu NFC.

Zuraida Kamaruddin turut digelar sebagai "Mak Lampir" iaitu satu watak dalam filem seram Indonesia dan dia dijadikan bahan serangan semasa Shahrizat turun ke Ampang.

Nampaknya Shahrizat masih tidak sedar atau sengaja buat-buat tidak sedar akan kenyataan bahawa isu NFC yang membabitkan suami dan anaknya menjadi "barah" kepada Umno yang sedikit demi sedikit merebak ke seluruh anggota yang akhirnya membunuh.

Shahrizat tidak perlu "hemoi" atau tebal muka untuk menerima kenyataan. Beliau tidak seharusnya "menyerah" kepada pucuk pimpinan untuk menentukan kedudukannya. Jika dia sayangkan parti yang begitu baik dan berbudi kepadanya walaupun dia tumbang kepada seorang yang boleh diibaratkan sebagai "anak" pada pilihan raya umum lepas,  dia mesti letak jawatan parti dan kerajaan. Itulah tindakan yang betul yang mesti diambil olehnya.

Siapa yang lebih layak digelar "Mak Lampir", Shahrizat atau Zuraida?

Wednesday, December 14, 2011

PENGISYTIHARAN SPB AGONG V DAN XIV

Selesai sudah majlis bersejarah iaitu istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan dan istiadat menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV dan Timbalan YDP Agong. 

Media elektronik dan media cetak saban hari, sebelum dan selepas peristiwa bersejarah itu, mengulangi akan betapa bermaknanya istiadat itu kerana Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 84, buat kali kedua dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk menjadi ketua negara.  Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah adalah SPB YDP Agong V yang bersemayam atas takhta Kerajaan Malaysia bermula 21 September 1970 hingga 20 September 1975.

Media juga mengulangi kenyataan bahawa semasa Tuanku Abdul Halim menjadi ketua negara, Perdana Menteri yang menerajui pentadbiran negara adalah almarhum Tun Abdul Razak dan kini, apabila Tuanku Abdul Halim menaiki takhta negara buat kali kedua, anak almarhum Tun Razak, Datuk Seri Najib pula menerajui pentadbiran negara.  

Ia adalah sesuatu yang ditakdirkan dan kita tidak seharusnya membuat apa-apa andaian atau  tafsiran dan jauh sekali daripada membuat sebarang perbandingan kerana kedua-dua peristiwa itu berlaku pada dua era yang berlainan dari sudut politik, ekonomi dan kemasyarakatan.

Walau bagaimanapun, saya tertarik dengan ulasan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia [UKM] Tan Sri Prof. Dr Sharifah Hapsah Shahabuddin dalam entri Face Booknya yang menyebut dua persamaan, iaitu pembacaan pengisytiharan oleh Perdana Menteri.

Prof Dr Sharifah Hapsah menulis ''PM Najib reading pengisytiharan SPB YDP Agong baru. His father did d same 4 d same Agong 41 years ago.''

Menurutnya, PM Najib membaca pengiystiharan itu sama seperti yang dibuat oleh almarhum bapanya 41 tahun lalu untuk SPB Agong yang sama. Saya agak ragu-ragu sama ada kenyataan Naib Canselor itu tepat atau sebaliknya.

Saya ragu-ragu kerana semasa Tuanku Abdul Halim menaiki takhta Kerajaan Malaysia buat kali pertama, Perdana Menteri ketika itu bukan Tun Razak tetapi almarhum Tunku Abdul Rahman. Oleh kerana Perdana Menteri orang yang membaca pengisytiharan, sudah tentu bukan Tun Razak tetapi Tunku. Almarhum Tunku berkhidmat sebagai PM di bawah SPB Tuanku Abdul Halim sehari sebelum meletak jawatan.

Untuk mendapat kepastian, saya merujuk kepada tulisan almarhum Tunku dalam bukunya ''Viewpoints'' dan mendapati bahawa Tunku adalah Perdana Menteri semasa Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai SPB Agong dan bukan Tun Razak. Selepas Tunku letak jawatan, barulah Tun Razak menyambung khidmat di bawah Tuanku Abdul Halim sebagai Perdana Menteri.

Tunku menulis di bawah tajuk ''The Yang Dipertuan Agong'' seperti berikut - '' I had the pleasure and the honour of serving as Prime Minister under five Agungs; [1] HRH Tuanku Abdul Rahman of Negeri Sembilan, [2] HRH Tuanku Hishamuddin Alam Shah of Selangor, [3] HRH Tuanku Syed Putra of Perlis, [4] HRH Tuanku Ismail of Trengganu and [5] HRH Tuanku Halim Shah of Kedah, for one day.''

Sebagai Perdana Menteri, sudah tentulah Tunku yang membaca pengisytiharan tersebut dan bukan orang lain dan oleh kerana ia adalah catatan sejarah, maka kepastian  perlu dicari.

Saya tetap ragu-ragu kecuali ada pihak yang tampil dengan fakta. 




Tuesday, December 13, 2011

DAULAT TUANKU - DAULAT TUANKU - DAULAT TUANKU

Merafak Sembah Setinggi-Tinggi Tahniah Kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah Sempena Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan Dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Dan Istiadat Menandatangani Surat Pengisytiharan Memegang Jawatan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV. 

SEMOGA ALLAH LANJUTKAN USIA TUANKU

Salutations And Heartiest Congratulations And May Allah The Almighty Bless to Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.


Tuesday, December 06, 2011

Mana lebih penting - calon atau parti boleh menang?

Setelah berakhirnya perhimpunan agung UMNO, orang kebanyakan  terutama 'orang UMNO' masih memperkatakan mengenai pilihan raya umum ke-13 dan soal 'calon boleh menang' yang seharusnya diutamakan oleh parti.

Soal sama ada bila PRU-13 akan didakan bukan menjadi tajuk perbincangan utama tetapi soal calon parti yang boleh menang atau berdaya menang.

Bermacam andaian dan pendapat dibuat oleh sama ada pemerhati politik dari dunia akademik yang tidak semestinya pakar dan pengamat tidak profesional di warung-warung kopi dan gerai rakyat bawahan yang tidak pernah atau amat jarang menjejak kaki ke "Coffee House" hotel berbintang-bintang yang sering dijadikan tempat  melepak 'orang UMNO' bergelar, berjawatan  dan berpangkat.

Apa yang menarik perhatian saya ialah kenyataan pengerusi badan perhubungan UMNO Kelantan yang juga mantan menteri kabinet, Tan Sri Anuar Musa yang saya dapati jauh lebih tepat dan kena dengan keberadaan politik semasa.

Anuar berpendapat bahawa soal calon boleh menang tidak dapat menjamin atau gerenti boleh menang sekiranya parti, iaitu UMNO, tidak diterima dan tidak boleh menang. Oleh itu, yang lebih penting ialah soal parti boleh menang, bukan calon boleh menang.

UMNO sepatutnya meninjau suasana dan penerimaan rakyat akar umbi sama ada mereka menerima kehadiran parti itu atau tidak, UMNO harus sedar bahawa bukan semua orang Melayu adalah 'orang UMNO" dan bukan semua 'orang UMNO' akan mengundi calon UMNO atas sebab-sebab tertentu termasuk soal calon.

UMNO juga harus sedar bahawa rakan-rakan kongsinya dalam Baisan Nasional,  MCA, MIC dan Gerakan, belum tentu dapat menarik sokongan pengundi Cina dan India untuk menyokong calon BN dari UMNO. UMNO mesti sedar bahawa ia amat memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu untuk menang dan inilah salah satu fakta yang perlu ditangani segera jika parti itu ingin menang.

Jika dilihat pada senarai wakil rakyat UMNO yang berkhidmat sekarang, saya berani menyatakan bahawa lebih separuh daripada mereka bukan calon yang berdaya menang termasuk sebilangan besar anggota Kabinet.

Oleh itu, UMNO mesti serius mencari calon-calon 'muka baru' yang tidak semestinya dari kalangan 'orang muda' dari sama ada Pemuda atau Putri UMNO. Calon 'muka baru' berada di mana-mana sahaja termasuk di kalangan pengkhidmat awam, sektor korporat dan golongan profesional yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti. Beranikah UMNO memilih mereka untuk bertanding pada PRU-13 dan mahukah 'orang UMNO' yang menerajui bahagian-bahagian parti menerimanya?

Budaya UMNO selama ini yang mengutamakan calon dari kalangan pemimpin peringkat bahagian - sama ada ketua, timbalan ketua, naib ketua, setiausaha, ketua penerangan, bendahari dan AJK - mesti diubah dan pemilihan calon seharusnya dibuat secara menyeluruh. Calon tidak semestinya menjadi ahli di bahagian berkenaan tetapi anak tempatan yang bermastautin di tempat lain. Sebagai contoh, calon yang dipilih untuk bertanding di Titiwangsa mungkin anak Kampung Baru yang menetap di Johor.  Yang penting calon itu diterima dan boleh menang, asalkan UMNO boleh menang.

Masalah yang lazim menghantui UMNO ialah kepimpinan bahagian berkenaan yang terlalu mengidam untuk menjadi calon tetapi apabila tidak dipilih, dia enggan bekerjasama atau memberi sokongan sepenuhnya kepada calon yang dipilih.

Dalam hubungan ini, kenyataan Anuar Musa bahawa yang penting ialah  parti boleh menang, bukan calon boleh menang mesti diutamakan.  Jika parti boleh menang, soal calon tidak menjadi masalah tetapi jika calon dikatakan boleh menang tetapi parti ditolak rakyat, maka ia adalah satu masalah besar.

Seperti yang disebut oleh mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad, mereka yang sudah lama menjadi wakil rakyat mesti undur untuk memberi peluang kepada muka baru yang boleh menang dan saya ingin menambah mereka yang  menjadi 'beban' kepada parti seharusnya sedar dan undur.

Contoh yang dapat saya berikan ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Dia kini lebih merupakan 'beban' kepada UMNO dan dia harus sedar akan keadaan itu dan tidak semata-mata 'menyerah' kedudukannya kepada presiden parti untuk membuat keputusan. Mentimun dan pisau berada di tangan Shahrizat, bukan di tangan orang lain.

Kepada 'orang UMNO' yang berada dalam kedudukan sedemikian, mereka harus sedar bahawa hari sudah terang dan mereka tidak perlu lagi bersuluh.