Thursday, September 29, 2011

Guan Eng seharusnya utamakan kepentingan negara, bukan negeri

Saya diminta mengupas mengenai dua perkara yang sedang hangat diperbahaskan, iaitu isu hudud dan ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengenai isu 'keselamatan' di Johor. Kedua-dua perkara cukup menarik dan menjadi bahan kupasan, ulasan dan kritikan dalam semua bentuk media, termasuk media lisan di warung-warung kopi mahupun 'Coffee House' di hotel-hotel berbintang-bintang.

Setelah 'berehat' agak lama akibat masalah kesihatan, saya kembali menulis dan akan menyentuh mengenai kedua-dua isu berkenaan. Kepada pengikut dan pembaca blog ini, saya mohon maaf kerana tidak dapat mengemas kini atau 'up-date' sedangkan banyak isu yang timbul dan dibangkitkan dalam semua media.

Saya ingin menyentuh isu Guan Eng yang dikatakan telah mengeluarkan kata-kata yang memberi gambaran bahawa negeri Johor tidak selamat dikunjungi terutama oleh orang Singapura. Isu hudud akan diperkatakan selepas ini.

Mula-mula dia dikatakan telah berkata demikian apabila diwawancara oleh sebuah stesen radio Australia dan kemudian didedahkan oleh TV3 yang menyebut bahawa Guan Eng berkata demikian pada satu majlis anjuran Kelab Pewarta Asing di Singapura.

Saya tidak tahu yang mana satu betul tetapi jika benar Guan Eng mengeluarkan kata-kata tersebut, maka ia amat dikesali dan seharusnya dikutuk.

Soal sama ada seseorang itu menghadapi kemungkinan diculik boleh berlaku dimana-mana sahaja kerana jenayah tidak ada batas sempadan, melampaui fahaman politik dan soal kenegerian. Ia boleh berlaku di Johor ataupun di Pulau Pinang.

Sebagai seorang ketua menteri, Guan Eng tidak terlepas daripada berusaha untuk menarik pelaburan asing sama seperti ketua-ketua menteri atau menteri-menteri besar. Itu adalah tanggungjawab masing-masing  kepada negeri yang ditadbir. Tetapi, dalam usaha menarik pelaburan asing, ketua-ketua kerajaan harus sedar bahawa yang mesti diutamakan adalah negara, bukan negeri.

Pelaburan yang masuk ke negara ataupun ke negeri-negeri yang berada dalam Persekutuan Malaysia, memberi faedah dan keuntungan kepada negara selain kepada negeri berkenaan. Oleh itu, mana-mana negeri tidak sepatutnya memperkecil atau menafikan hak negeri lain untuk menerima pelaburan asing. 

Jika pelabur memilih untuk melabur di Johor, maka negarapun akan dapat faedah. Begitu juga jika pelabur memilih untuk melabur di Pulau Pinang, negara dapat faedah. Oleh itu, tiada masalah dari sudut kemasukan pelaburan asing ke mana-mana negeri dalam Malaysia.

Jika benar apa yang dilaporkan mengenai tuduhan Guan Eng itu, maka ia adalah sesuatu yang bukan sahaja mengaibkan tetapi satu pengkhianatan bukan sahaja terhadap Johor tetapi pada keseluruhannya negara.

Saya berkata demikian kerana Guan Eng ke luar negeri, sama ada ke Australia ataupun Singapura, bukan sahaja sebagai ketua menteri Pulau Pinang tetapi sebagai seorang warga negara Malaysia. Dia memegang paspot yang dikeluarkan oleh Kerajaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bukan paspot negeri Melaka atapun Pulau Pinang.

Apabila di luar negeri, dia adalah rakyat Malaysia dan dia tidak boleh sama sekali memburuk-burukkan negara ataupun mana-mana negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia. Jika dia berbuat demikian, maka dia telah mengkhianati negara.

Taat setia adalah kepada negara dan ia mesti dihayati oleh semua orang apabila berada di luar negara.

  

3 comments:

Anonymous said...

setuju

Anonymous said...

Assalamualaikum Tuan Syed.

Pada mulanya saya macam tak percaya dengan rakaman suara yang didedahkan TV3. Sesetengah pihak, terutama penyokong Pakatan Rakyat, sudah pasti akan mengatakan rakaman itu direka oleh orang-orang BN. Perkara itu juga boleh berlaku kerana itu hanya rakaman suara. Tetapi, apabila LGE membuat pengumuman memohon maaf, ini bermakna beliau memang ada membuat kenyataan yang kurang enak didengar majoriti rakyat Malaysia itu. Pada pendapat saya, beliau sebagai seorang pemimpin yg sentiasa diperhati perlu menjaga apa yang beliau cakap dalam majlis-majlis rasmi. Seperkara lagi, jika benar beliau ada membuat kesilapan, permohonan maaf saja sudah memadai. Tidak perlulah hingga ke tahap saman-menyaman. Lainlah kalau beliau difitnah.

Unknown said...

Wa'alaikumsalam,

Setuju sangat dengan ulasan anda. Bukan senang bagi orang politik, terutama yang berjawatan tinggi, untuk meminta maaf. Gun Eng dah minta maaf kepada Sultan Johor dan rakyat baginda. Dengan berbuat demikian, dia mengakui akan kekhilafannya dan kita semestinbya terima akan permohonan maafnya itu.

Namun demikian, saya percaya ada pihak yang tidak akan berhenti di situ sahaja. Ia adalah suatu kebiasaan dalam permusuhan politik kerana dendam orang politik cukup dalam.