Keributan yang didalangi oleh pihak tertentu termasuk politik dan media di Pulau Pinang mengenai pemilihan jawatankuasa masjid atau sesebuah kariah oleh anak-anak kariah sebenarnya tidak lebih daripada rasa kurang senang yang berkepentingan politik.
Ianya turut ditiup oleh sentimen politik yang begitu sempit semata-mata kerana pentadbiran Negeri Pulau Pinang diterajui oleh DAP/Pakatan Rakyat.
Keributan yang dibangkitkan itu turut mempengaruhi kepimpinan UMNO termasuk menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal Islam dalam Kabinet, Mej-Jen (B) Jamil Khir Baharom, pegawai pesara Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia.
Yang agak aneh, perkara yang sama dilaksanakan di Negeri Selangor tahun lepas membabitkan pemilihan AJK semua masjid di seluruh Selangor. Tidak pula timbul bantahan atau keributan dan tuduhan yang tidak berasas terhadap pemilihan di Selangor.
Di Selangor, sebelum proses 'pilihan raya' untuk AJK masjid dijalankan, pendaftaran anak-anak kariah dilakukan terlebih dahulu dimana borang pendaftaran diedar oleh semua masjid selepas solat Jumaat. Hanya mereka yang berdaftar boleh menghadiri mesyuarat agung kariah dan mengundi.
Saya sebut 'pilihan raya' kerana proses pemilihan dilaksanakan seperti satu pilihan raya. Anak kariah yang hadir perlu menyemak nama di kaunter yang ditetapkan, umpamanya kaunter A hingga C, atau D hingga F dan seterusnya. Setelah pegawai bertugas mengesahkan nama anak kariah itu wujud, barulah dia dibenar menyertai mesyuarat agung dan diserahkan borang mengundi. Ini adalah pengalaman yang saya lalui dalam kariah Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang.
Proses yang sama tidak dilaksana di Pulau Pinang. Saya diberitahu bahawa seseorang itu layak hadir ke mesyuarat dengan syarat dia mendiami dalam sesebuah kariah sekurang-kurangnya tiga bulan. Dalam hubungan ini, sesiapapun boleh hadir dengan menyatakan yang dia tinggal dalam kawasan kariah sesebuah masjid selama tiga bulan.
Semasa berada di Pulau Pinang baru-baru ini, saya turut ditanya mengenai perkara itu dan hasil daripada perbualan dan cerita yang didengari, ramai yang tidak faham dan tidak tahu tujuan sebenar malah ada yang mendakwa akan berlaku 'rasuah' atau 'politik wang' jika pemilihan itu diadakan.
Mereka telah dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja atau cuba membangkitkan sentimen perkauman dan anti-pentadbiran negeri. Dalam pada itu, sebuah parti politik Melayu yang kini bertaraf pembangkang di Pulau Pinang, memberi 'arahan' kepada cawangan-cawangan yang berada dalam 'pentadbiran sesebuah kariah' supaya mencalonkan 'orang mereka' sebagai AJK.
Saya tiada masalah dengan orang politik atau sesiapa sahaja yang ingin menjadi pengerusi atau AJK kariah asalkan mereka benar-benar layak, jujur, ikhlas dan amanah untuk memikul tugas mentadbir Rumah Allah. Mereka harus ingat dan sedar bahawa ia adalah satu amanah yang berat dan perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab bukan sahaja kepada kariah masing-masing, kepada agama tetapi kepada Allah.
Kita juga tidak ingin melihat seorang Nazir atau Pengerusi JK Masjid tidak boleh membaca doa apabila diminta atau menjadi imam kerana dia jahil dalam ilmu agama. Oleh itu pemilihan seseorang nazir hendaklah dibuat berasaskan ilmu agama, bukan berkepentingan politik.
Saya difahamkan bahawa sebanyak 193 daripada 200 kariah masjid di Negeri Pulau Pinang telah selesai mencadang nama AJK masjid masing-masing apabila proses tersebut selesai dijalankan. Semua 193 masjid telah menghantar senarai pencalonan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama bagi Negeri Pulau Pinang.
Umat Islam di Pulau Pinang sepatutnya bangga kerana mereka diberi hak untuk mencadang AJK masjid di kariah masing-masing yang sebelum ini dibuat atas perlantikan MAIPP yang tidak telus dan wujud unsur pilih kasih dan pilih kroni politik.
Hak itu diberi berpandukan Seksyen 104(1)(b) Enakmen Negeri Pulau Pinang 2004 dan 4(1) Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid, Negeri Pulau Pinang. Oleh itu, ia bukanlah sesuatu yang dilaksana sesuka hati oleh MAIPP.
Tahniah kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang kerana telah melaksanakan pemilihan AJK Masjid. Semoga mereka yang dipilih akan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas.
8 comments:
kenapa umno takut sangat dengan pemilihan ni.. mungkin tak pernah pegi surau/masjid kot. contoh di satu surau di Ampang (terpaksa di rahsiakan) dulu waktu umno perintah pengerusai , bendahari sampai ke ajk semuanya ahli umno. muka pun tak pernah nampak. bila kena ambil alih kuasa mintak penyata kira kira wang surau keluar masuk langsung takder. duit lesap entah ke mana.
mr edz,
Banyak masjid dan surau yang mengalami masalah sama.
Di P Pinang, pengerusi UMNO Negeri berkata sebelum ini pemilihan AJK Masjid dibuat secara konsensus. Saya kata ianya tidak benar dan hanya satu alasan untuk menegak benang basah.
Untuk pengetahuan umum, sebelum ini jawatan YDP Majlis Agama Islam P Pinang diisi oleh sama ada mantan wakil rakyat ataupun wakil rakyat UMNO. Sekarang, jawatan itu dipegang oleh seorang ahli akademik dan bukan orang politik. Apa UMNO P Pinang nak kata? Yang bermain politik siapa?
Zaman telah lama berubah, pusaka dah lama berpindah, rakyat tidak lagi pak turut dan pak angguk, tetapi masih ada orang yang tidak berani menerima kenyataan termasuk pemimpin UMNO P Pinang.
mr. edz, macam pernah dengar aje. Memang betul dahulu ada nazir yang jejak kaki ke surau/masjid pun jarang-jarang. sekarang 'syarat' nazir boleh berkhutbah pada hari Jumaat. Kan bagus dah tu... walaupun ada yang tak puashati sebab masjid sekarang ni banyak sangat ceramah agama dan kuliah subuh. hampir hari-hari... ha ha ha... ini dengar sendiri ni....
en mahaza.. betul sekarang ni banyak kuliah.. mahu dengan tak mahu je pergi.
Wah! lepas ni banyak la muka yang jarang2 kita nampak di masjid, akan tertenggek di masjid.. Terutama sekali ketua cawangan dan koncu2nya. (saya tak sebut orang politik atau dari parti politik mana2 ya..) dan kita juga akan dapat melihat orang2 yang tak pernah kita lihat dan kenal di kawasan tersebut akan menonjolkan diri di masjid tersebut, itu pun dalam jankamasa selama tiga bulan ni (sekadar untuk mendaftar sebagai anak kariah saja). macam pengundi hantu lah tu..
bila tok iman pun biol kita mufarakah jer..
Agong dah batalkan pemilihan di P Pinang. Ini semua angkara gerombolan yg kononnya tak nak perpecahan. Sebenarnya mereka ini yg tak nak demokrasi dlm masjid. nanti tak dapatlah gunakan dana yg BN dan UMNO salurkan, utk kepentingan politik sempit.
quilyman
ntah apa apa UMNO ni , buat pemilihan AJK masjid mestilah oleh anak kariah .. kan baik , pilih yg depa fikir selalu mai mesjid , yg nampak lebih sesuai utk anak kariah.. yg ni pun nak dipolitikkan , sampai Agong pun termasuk campur.. hish hish..
yg pii kaitkan ngan tokong cina tu apehal ? masjid dan tokong disamakan !! Ajaran Islam UMNO ke ?
pastu kata tokong cina takde pemilihan. .poorah , depa ada pemilihan laa.. lagi syiok , kena dapat restu dewa lagi , pakai baling kayu yg dinamakan puak-poi , dapat restu dewa baru bole jadi AJK .. lagi terrar !
Post a Comment