Saturday, June 18, 2011

Pemilihan AJK Masjid di P Pinang ditangguh atas titah Agong

SPB Yang di-Pertuan Agong menitahkan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) menangguhkan proses pemilihan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid yang dijadualkan minggu depan. 

Baginda bertitah demikian semasa menerima menghadap Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan Yang Dipertua MAIPP Ellias Zakaria di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Jumaat.

MAIPP dijadual melaksanakan pemilihan AJK Masjid bagi penggal 2012-2013 setelah selesai menerima senarai pencalonan daripada hampir semua masjid di seluruh Negeri.

Sebelum ini, Negeri Selangor melaksanakan pemilihan Pengerusi dan AJK Masjid seluruh negeri tanpa bantahan daripada UMNO atau NGO lain. Di Selangor, sebelum pemilihan oleh anak kariah dibuat, satu gerakan pendaftaran dilaksanakan terlebih dahulu untuk memastikan hanya anak kariah yang tinggal dalam sesebuah kariah dan yang berdaftar boleh mengambil bahagian dan menghadiri mesyuarat agung kariah.

Lihat contoh Borang Pendaftaran Anak Kariah Masjid/Surau Seluruh Negeri Selangor.

MAIPP sepatutnya menjalankan pendaftaran anak kariah seperti yang dilakukan oleh Selangor sebelum mengadakan pemilihan Pengerusi dan AJK Masjid. 

Di Pulau Pinang, UMNO dan beberapa badan dan pertubuhan bukan kerajaan yang kebanyakannya diterajui oleh orang UMNO itu sendiri, membantah pelaksanaan proses pemilihan AJK oleh anak-anak kariah tetapi mahukan roses pelantikan diteruskan.

Bantahan oleh UMNO dan NGO yang disokong oleh parti itu dibuat tanpa alasan yang kukuh tetapi semata-mata atas faktor politik. Yang anehnya, secara diam-diam cawangan-cawangan UMNO telah mencalonkan 'orang parti' untuk menduduki sama ada kerusi Pengerusi atau AJK lain. 

Sementara itu, SPB Yang di-Pertuan Agong  menitahkan MAIPP menubuh panel bebas untuk meneliti dan membuat syor atau cadangan mengenai pelantikan AJK Masjid untuk dipersembahkan kepada baginda bagi mendapat perkenan atau  tidak.

Memandangkan panel bebas itu akan mengambil masa untuk menyempurnakan titah perintah baginda, maka AJK Masjid yang ada sekarang diminta meneruskan tugas dan tanggungjawab sehingga Disember 2012.

Secara peribadi, saya menyokong kaedah pemilihan oleh anak kariah daripada pelantikan oleh MAIPP yang sebelum ini dipengaruhi oleh golongan berpengaruh termasuk politik. Tetapi, proses pemilihan hendaklah dilaksana dengan betul seperti yang dilakukan di Negeri Selangor.









2 comments:

d'enricher said...

Tuan Syed,

Apa kah masaalah nya yang sampai bab kariah masjid pun nak heboh-heboh sangat ni?

Ada saja nak heret DAP, sedangkan ini isu mentadbir masjid. kalau dah ada kat masjid, buat kerja untuk kebajikan kariah, orang yang layak ditentukan oleh kariah ok lah.

Berapa elaun jadi AJK? Dalam satu DUN ada berapa Masjid, dan nati PRU 13 boleh dapat berapa banyak undi agaknya?

A.Alshukor

Unknown said...

A.Alshukor,

Saya pun tak faham kenapa mereka bantah, maksud saya UMNO. Cawangan-cawangan mereka turut menamakan calon untuk mengisi jawatan pengerusi dan AJK masjid. Jadi, apa tujuan sebenar mereka membantah? Sudah tentu muslihat politik yang nak persalahkan pentadbiran negeri (DAP) supaya orang Melayu/Islam benci DAP. Itu yang dapat saya rumuskan.