Monday, December 06, 2010

RTM oh RTM

Semasa menonton berita 1 tengah hari melalui RTM 1, hari ini, saya tertanya-tanya apa sudah jadi dengan penggunaan bahasa Melayu yang dilaung-laungkan oleh menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Masih segar dalam ingatan betapa RTM khususnya rangkaian televisyennya menyiarkan lagu bersemangat 'Bahasa Jiwa Bangsa' hampir setiap hari sempena satu kempen khusus mengenai penggunaan bahasa kebangsaan, baru-baru ini.

Tetapi, apabila menonton siaran berita berkenaan, saya mendengar sebanyak dua kali sebutan perkataan 'homeless' oleh pelapor dari Dewan Rakyat dan pembaca berita di bilik berita.

Kenapa guna perkatan 'homeless' sedangkan menteri yang bertangungjawab, Datuk Sharizat Abdul Jalil menggunakan perkataan gelandangan, iaitu yang bermaksud orang yang tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap atau tiada rumah tetap.

Ketua Pengarah Penyiaran yang juga seorang wartawan, Datuk Ibrahim Yahya kenalah peka sikit mengenai penggunaan bahasa Melayu atau Bahasa Kebangsaan oleh stesen penyiaran kerajaan. Perkataan bukan berbahasa Melayu hanya boleh diguna apabila tiada perkataan atau istilah dalam bahasa Melayu. Bagi perkataan 'homeless', seperti yang disebut oleh menteri, perkataan dalam bahasa Melayu ada. Jika pihak berkenaan tidak mahu mengguna perkataan gelandangan, apa salahnya jika menggunakan perkataan tiada  tempat tinggal atau tiada rumah, bukan 'homeless'.


2 comments:

bulat said...

setuju.!

tokman said...

Hari ini pertama kali saya dengar Tan Sri Zeti berbahasa Melayu bila ditemuramah olih pemberita2 selepas terima anugerah Maal Hijrah tahun ini.yabas harap dapat banyak gunakan bahasa Melayu kita dalam temuramah dalam negara kita!