Malam tadi saya ke Batu Feringghi Pulau Pinang, kususnya ke pasar malam sepanjang jalan berhadapan hotel-hotel mewah. Pasar malam ini terkenal bukan sahaja di kalangan pelancong tempatan tetapi pelancong antarabangsa. Ia adalah sebahagian daripada tarikan pelancongan Pulau Pinang.
Saya ke situ kerana memenuhi permintaan seorang saudara dari Indonesia yang kepingin ke sana. Turut sama isteri, anak saudara dan cucu saya.
Walaupun bukan hujung minggu, pasar malam itu cukup meriah bermandikan cahaya dan dikunjungi ramai pelancong, terutama dari negara-negara Arab. Kesesakan jalan tetap berlaku termasuk beca roda tiga yang turut dihiasi lampu berwarna-warni. Suasana sememangnya ceria.
Dalam keghairahan orang ramai membeli-belah atau sekadar meninjau sepanjang pasar malam, tiba-tiba suasana bertukar menjadi kelam-kabut. Penjual barangan tiruan seperti tas tangan 'berjenama', pakaian 'berjenama' dan DVD atau CD cetak rompak begitu pantas menyimpan barangan tersebut.
Pada mulanya, saya menyangka mereka hendak menutup kedai tetapi setelah melihat seorang pemuda 'bersenjatakan walkie-talkie' memberi arahan dalam loghat Hokkien, barulah saya sedar apa yang sedang berlaku.
Pemuda berkenaan dan beberapa orang rakannya yang turut menggunakan 'walkie-talkie' adalah tonto. Tugas mereka memaklumkan kehadiran pegawai-pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Saya dapati sebuah van Bahagian Penguatkuasa kementerian berkenaan diekori oleh seorang tonto bermotosikal yang menyalur maklumat tentang kedudukan van tersebut kepada tonto lain melalui 'walkie-talkie'. Nampaknya kesiapsagaan tonto mengatasi operasi atau tugas para pegawai penguatkuasa kerana kehadiran mereka dihidu terlebih awal dan peniaga yang memperaga dan menjual barangan tiruan atau cetak rompak mudah terlepas daripada tindakan.
Apa yang jelas daripada episod malam tadi ialah pihak tonto jauh lebih hebat daripada pihak berkuasa atau penguatkuasa. Peniaga terlepas manakala penguatkuasa pulang dengan tangan kosong.
Episod itu juga memberi jawapan jelas kepada pihak penguatkuasa atau kementerian berkenaan iaitu bukan peniaga jalanan atau pasar malam yang mesti diperangi atau dijadikan sasaran tetapi pihak yang sama ada mengeluar atau mengedar barangan tersebut. Ia sama dengan usaha menangani masalah dadah, bukan penagih yang seharusnya dijadikan sasaran, tetapi pengedar dan mereka yag terlibat dalam memproses dadah termasuk narkotik sintetik.
Dalam usaha menghapus jualan barangan tiuruan atau cetak rompak dan dadah, puncanya mesti dimusnahkan.
Penjual hanyalah 'ikan bilis' yang akan pupus jika sumber perolehannya yang merupakan 'jerung' dihapuskan terlebih dahulu.
6 comments:
jerung jenis great white shark memang susah nak di hapuskan hehehehe
Betul. Jerung jenis itu pandai 'pikat' dan pandai 'jaga' oleh itu susah bagi sesiapapun yang cuba menghapuskannya.
Pak Tuan,
Memang susah sebab pengedar/pemborong bukan calang-calang orang. Kalau penjual ada tonto yang hebat apatah lagi pengedar & pemborong.
2. Kementerian ni kena ada unit khas (SB macam polis). Buat serbuan rembat stokis.
rakyat biasa mana mampu semua beli original, terpaksa beli yang cetak
rompak saja lar!!
Yang jual itu pun cari makan saja
kasi can lar!
lagi pun - ada enforcement kena pau jugak.
sama sama cari makan!!
Ah beng
Ah Beng,
orang lain bersusah payah, memerah otak untuk berkarya, orang lain yang kaut untung.
Soal 'cari makan' ada banyak ruang dan peluang jika berusaha, tetapi janganlah cara lanun cetak rompak.
Itulah bila ada pihak-pihak yang tidak faham pentingnya undang-undang pencegahan seperti ISA.
Undang-undang pencegahan seperti Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Ordianan Darurat (Ketenteraman Awan dan Pencegahan Jenayah) 1969 amat berguna bagi menangkap dan menahan pengedar-pendana dadah dan mafia-mafia dari masyarakat.
Tapi bila kita tidak faham, amatlah mudah kita laungkan penghapusan ISA, POPOC, LLPK kononya undang-undang itu kejam.
Bukankah kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan individu dan merelakan mudarat kecil bagi mengelakkan mudarat besar adalah sebahagian dari undang-undang Islam dan juga undang-undng mana-mana negara.
Post a Comment