Petang 17 Ogos, saya menonton berita yang dipancarkan oleh TV1 (RTM). Antara 'berita menarik' yang disiarkan adalah mengenai pasar Ramadhan, kali ini di Pulau Pinang. Nampaknya, cerita mengenai pasar Ramadhan menjadi satu kemestian dalam siaran berita RTM dan stesen-stesen tv swasta.
Apa yang menarik perhatian saya ialah mengenai cerita seorang Mamak yang menjual 'goreng pisang' istimewa di salah satu pasar Ramadhan di Pulau Pinang. Hebat sungguh juadah yang dijual itu.
Sebagai sebuah stesen penyiaran milik kerajaan, sudah tentunya RTM menggunakan istilah dan perkataan yang betul dalam laporannya. Perkara ini tidak boleh ditolak-ansur kerana RTM berperanan penting dalam penggunaan dan pendaulatan Bahasa Melayu selaku Bahasa Kebangsaan
Malangnya, ia tidak sedemikian apabila dalam laporan tersebut, pembaca atau penyampai berita merujuk kepada juadah tersebut sebagai 'goreng pisang'. Semua orang yang faham akan Bahasa Melayu tahu ianya salah. Yang betul ialah pisang goreng, bukan 'goreng pisang.'
Saya ingin bertanya mana satu yang betul - nasi goreng atau goreng nasi, mi goreng atau goreng mi dan ayam goreng atau goreng ayam?
Saya yakin semua orang akan memberi jawapan yang betul iaitu nasi goreng, mi goreng dan ayam goreng.
Jadi, kenapa kepada pisang disebut goreng pisang?
Apa kata Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya yang juga seorang wartawan?
15 comments:
Pak Tuan Syed,
Salam Ramadhan.
Saya pun hairan RTM buat salah besar menggunakan perbuatan
bagi nama khas dalam beritanya. DIY leteh berpuasa hingga terlepas kesilapan itu. Esok lusa RTM akan siar pula Goreng Popia terbaik di bazar Ramadhan Ampang Jaya atau pertandingan sepakbola antara RTM Malaysia dan DBP. Kesilapan orang DIY nampak tetapi kesilapan RTM DIY biarkan. DIY dan Rais 2x5 la
Mamak Penang
Saya juga nak tanya apa bezanya 'berhemah' dan 'berhemat'.
Apabila digunakan dalam konteks perbelanjaan, apakah 'berhemat' atau 'berhemah'?
Berhemat bermaksud tidak boros manakala berhemah merujuk kepada sikap dan budi pekerti.
Terima kasih.Saya harap Pak-Pak Menteri berhati-hati bila nak menggunakan mana-mana perkataan ini. Ia sering disalahgunakan semasa membuat kenyataan yang tersiar di dada akhbar dan dalam berita-berita sama ada di radio atau TV.
bagi saya 'goreng pisang' adalah kesalahan ayat yang sudah di terima umum.. seperti 'perdana menteri'.. kenapa tak gunakan menteri perdana?
mr edz,
Saya dah jangka ada pembaca yang akan membangkitkan persoalan yang saudara ajukan.
"Goreng pisang" adalah kesalahan umum yang sebenarnya tidak umum manakala "Perdana Menteri" adalah kesalahan umum yang benar-benar umum. Itu bezanya.
Pisang goreng dan "goreng pisang" disebut bukan oleh orang ramai secara umum seperti perdana menteri, ada yang sebut dengan betul dan ada yang tidak betul. Oleh itu, ia mesti diperbetulkan terutama oleh media kerajaan dan media arus utama atau arus perdana.
Yang menjadi tanda tanya kenapa disebut sedemikian terhadap pisang sedangkan bahan-bahan makanan lain seperti nasi, mi, bihun, ayam ataupun ikan disebut dengan betul?
Mengenai Perdana Menteri, benar ia adalah kesalahan umum tetapi ia telah disebatikan sebagai sesuatu yang betul dan diterima umum. Kesilapan tersebut sepatutnya diperbetulkan apabila negara Merdeka, malangnya ia tidak dilakukan. Begitu juga dengan ketua menteri, ia sepatutnya menteri ketua; ketua hakim (hakim ketua)dan seterusnya. Di negara jiran Indonesia, ia disebut dengan betul.
Kesilapan umum lain yang diterima umum adalah poskod (yang betul kod pos), poskad (kad pos), dan dasar ekonomi baru (dasar baru ekonomi).
Nampaknya, kerajaan telah membetulkan kesilapan berkaitan dasar ekonomi apabila memperkenalkan Model Baru Ekonomi dan tidak disebut sebagai model ekonomi baru.
Berbalik kepada perdana menteri, kesilapan itu dilakukan selepas pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955 yang menyaksikan parti Perikatan menang 51 daripada 52 kerusi dan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dipilih sebagai "Chief Minister" pertama. Jawatan itu diterjemah secara terus sebagai "ketua menteri" dan bukan menteri ketua. Kesilapan itu diulangi apabila negara Merdeka dan Tunku dilantik sebagai ketua kerajaan dengan jawatan "Perdana Menteri". Oleh kerana sudah biasa dengan gelaran jawatan berkenaan sebagai Perdana Menteri, maka ia diterima umum walaupun ia tidak betul.
Jika kita rujuk kepada sejarah kesultanan Melayu, jawatan yang sama disebut sebagai Bendahara, iaitu pegawai yang dilantik oleh Sultan untuk mengetuai pentadbiran kesultanan.
tuan, pisang goreng agak janggal disebut.. hehehe
..pisang ada banyak jenis, antaranya pisang raja, pisang abu, dan tidak ketinggalan pisang awak! Mungkin sebab itu saudara kata janggal nak sebut.
Lokman Musa memberi ulasan berikut yang saya 'terpadam', mohon maaf.
Tulis beliau:
"Saya ingin menyimpang sikit.
Tajuk filem.
Setiap kali filem-filem lama (klasik) ditayangkan terpampang tajuknya.
Penarek Beca, Doctor, Sultan Mahmood Mangkat Di-julang, Lamchang Kuning, Tun Tijah, Masam2 Manis. Itu sebagai contoh. Ejaan lama tapi fakta. RTM (juga Astro dan TV3) sering mengenepikan fakta. Ditulisnya ikut ejaan baru. 'Penarik Beca, Doktor, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Tun Teja, Masam-masam Manis.'
Ini mengelirukan terutama jenerasi akan datang. Buku-buku filem pun sama. Tidak mengikut ejaan sebenar.
Satu lagi perkataan bandar.
Bandar Port Dickson. Port Dickson tu bandar ke?
Tu sikit saja. Sebenarnya menimbun.
Sesuatu harus dilakukan.
Setelah merdeka sekian lama, masalah bahasa dan ejaan tak dapat kita sempurnakan dengan baik.
Kenapa, ya?
Begitulah luahan hati Lokman Musa.
Salam Pak Syed,
Apa nak diherankan..RTM memang cam tu..letak siapapun jadi KP waima datang dari langit skalipun..hari-hari buat silap. Dulu pembaca berita dia sebut "Mendiang Tunku Abdul Rahman"..padahal pembaca berita yang genit tu orang Melayu takkan la tak tau nak pakai perkataan mana yang sesuai skalipun yang tertulis dalaam skrip silap. Satu pembaca berita kat RTM tu gaji besaq-besaq..buat prabeh duit rakyat jer bayaq kat depa. Lagipun depa kan ada tempat latihan apa nama tu..IPTAR..takkan la bab-bab bahasa kat RTM tak boleh nak handle. Harap pangkat je tinggi..JUSA tu.Tu la..Menteri depa tu cakap saja lebeh..tapi seingat saya la..Yatim Rais ni sejak dia pegang apa jawatan pun dlm kerajaan..apa kejayaan yang dia dah buat? Tak nampak apapun. Yang tentu dia dok prabeh duit rakyat dgn kempen-kempen yang tak ke mana. Kempen jalur lebaq tu pun tak jalan. Bagi laptop dan modem percuma kat org kampong lepaih tu tak boleh nak surf pasal takdak line. Hampeh betui..Yatim Rais ka Rais Yatim..konfius la ni.
Salam semua,
Saya nak beri pendapat tentang ketepatan penggunaan istilah antara 'Model Baru Ekonomi' dan 'Model Ekonomi Baru". Bagi saya, 'Model Ekonomi Baru' adalah tepat kerana subjek istilah yang lengkap ialah 'Model Ekonomi' bukannya 'Model' sahaja. Oleh kerana ia bersifat baru (saya tak faham kenapa baru sekarang kita sibuk nak guna baharu, kenapa tidak semasa kita duduk berbincang dengan Indonesia untuk menetapkan ejaan baru dahulu), maka perkataan baru itu wajar diletakkan di penghabisan subjek.
Tolong komen saudara-saudari sekalian.
Zaib
kami di Johor telah menggunakan perkataan goreng pisang lebih 60 tahun. pisang goreng di Johor memang tak sedap disebut.
ada lagi kesilapan tuan syed, Bendahara bukan dilantik sebarangan tetapi dari keturunan Bendahara juga seperti sultan.
Pak Tuan,
Satu lagi, sepatutnya perkataan2 English yang di Bahasa Melayu kan, patut si kurangkan. Seperti: Bajet (Belanjawan) dsb
Tuan Syed,
Elok saya memberi contoh,
Si abu membuka gerai jual tikar pada bulan ramadhan. Jualannya laris seperti "goreng pisang panas".
Dalam bahasa inggeris, dalam ayat di atas perkataan goreng pisang disebut sebagai "noun", kalau tidak silap saya dalam bahasa melayu, dipanggil katanama.
Kalau kita ambil contoh makanan melayu lain umpamanya "cucur badak". Dalam resepinya tidak ada daging haiwan yang berkenaan. Tetapi orang ramai sudah maklum dengan nama makanan ini.
Kalau di kampung saya, "goreng pisang" atau "pisang goreng" dimakan dengan sambal.
Sallam Ramadhan
Orang KL
Salam Tuan Syed
Untuk makluman penggunan Pisang Goreng adalah perkara biasa di Negeri Sabah..kami sememangnya menyebut ianya sebagai 'Pisang Goreng' dan bukannya Goreng Pisang seperti di Sebelah Sememnanjung...mulanya datang ke KL ni pun keliru..juga antara keduanya...tapi ialah masuk kandang kambing mengembik jgn menguak..kata orang....
Post a Comment