Kebelakangan ini saya menerima beberapa SMS bertanyakan sesuatu yang berhubung kait dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Tiga daripada empat merujuk kepada komen yang dilontar oleh Dr Rais terhadap dua kemudahan perhubungan dan talian persahabatan Internet, iaitu Facebook dan Twitter manakala satu berkaitan kekerapan RTM menyiar berita mengenainya.
Saya tidak tahu kenapa mereka bertanyakan perkara berkenaan kepada saya sedangkan saya tiada kaitan lagi dengan Dr Rais. Mungkin mereka yang bertanya itu sengaja berbuat demikian untuk mendapatkan ulasan. Mungkin begitu agaknya.
Saya tidak ingin mengulas panjang lebar tetapi sekadar memberi pendapat berdasarkan sedikit pengalaman semasa berkhidmat sebagai salah seorang pegawai Dr Rais di Jabatan Perdana Menteri dan seketika di KEKKWA.
Merujuk kepada kenyataan beliau mengenai Facebook dan Twitter, pendirian saya adalah sama dengan hampir semua orang yang memberi ulasan dalam kedua-dua saluran perhubungan itu, iaitu saya tidak setuju dengan pendirian Dr Rais, malahan saya agak terperanjat beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Itu saja ulasan yang dapat saya buat.
Merujuk kepada kekerapan RTM menyiarkan berita dan rakaman video melalui TV1 dan TV2, saya berani menyatakan bahawa itu adalah perkara biasa bagi RTM. Sesiapa sahaja yang dilantik menerajui kementerian yang mengawal selia RTM, maka dia pasti diberi liputan sebanyak mungkin. Ia bukan sesuatu yang baru dan khusus untuk Dr Rais.
Setahu saya ia bukanlah satu arahan tetapi diamalkan oleh mereka yang bertugas di bilik berita, umpamanya editor tugasan atau editor eksekutif, atas sebab-sebab tertentu. Ia tidak semestinya kehendak atau arahan menteri.
Dalam hubungan ini, editor tugasan mahupun editor eksekutif tidak boleh dipersalahkan kerana jika tiada liputan, mereka pula yang akan terima padahnya. Mereka boleh diibaratkan seperti mentimun dengan durian.
Semasa di JPM, Dr Rais sendiri pernah tidak mendapat liputan untuk satu majlis yang agak penting sehingga beliau terpaksa merujuk masalah itu kepada menteri bertanggungjawab ketika itu Tan Sri (kini Tun) Khalil Yaakob. Lain pula ceritanya sekarang apabila Dr Rais menerajui kementerian berkenaan. Inilah hakikatnya.
Pendek kata, sesiapa yang dilantik menerajui kementerian penerangan sudah pasti akan mendapat liputan semaksimum oleh RTM. Jangan salahkan menteri, jangan salahkan editor bertugas ataupun Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran. Mereka hanya melakukan apa yang sudah menjadi satu kelaziman atau budaya kerja yang diwarisi.
Walau bagaimanapun, ianya boleh diperbaiki jika mahu. Sebagai seorang yang menyokong kuat konsep dan slogan 1Malaysia atas sifatnya sebagai KP Jabatan Penyiaran, saya percaya ngauman sang harimau mampu membawa perubahan, itupun jika masih berkuku dan bertaring.
3 comments:
Perenggan terakhir tu dalam makna kepada yg terkena batang hidung tu...jangan la dah bertukar menjadi kuching manja pulak...
Singa
Thank u Dr Rais. Because of u, i enjoyed so many jokes.
Jenaka tentang Dr Rais pada satu masa lebih banyak dibincangkan di Internet daripada gempa bumi Haiti. Terror!
Namun, sebagai Menteri Kebudayaan, jangan lah terlampau bongkak dan angkuh. Di mana budaya Malaysia/Melayu yg berlemah lembut? Pada saya, Dr Rais tidak mengikut peredaran zaman. Adakah dia mahu dunia mengikut telinjuknya.
Time and tide waits for no man, Dr Rais.
Nak ngaum macamana.. dengan bini pun takut!!
Post a Comment