Tuesday, October 27, 2009

Perpaduan Melayu perlu keikhlasan

Soal perpaduan di kalangan orang Melayu masih belum tercapai dan terus menjadi isu politik tanpa garisan penamat. Terkini, apa yang kelihatan jelas, iaitu tiada kata sepakat dalam PAS yang mungkin membawa kepada perpecahan parti itu buat kali ketiga dalam sejarah penubuhannya.

Kenapa orang Melayu begitu payah untuk bersatu sedangkan kekuatan sesuatu bangsa itu bergantung kepada perpaduan.

Pemimpin parti politik mesti ikhlas dan bersedia untuk bersatu dan elak perpecahan kerana hanya itu sajalah yang dapat menjamin kelangsungan hidup dan kekuatan bangsa.

Perpecahan yang berlaku akibat perbezaan fahaman politik, lambat laun, akan membawa padah kepada bangsa Melayu, khasnya, dan negara amnya. Kita tidak ingin perkara ini berlaku sama ada dalam tempoh masa terdekat ini atau pada masa-masa akan datang.

Keruntuhan Empayar Soviet, contohnya, berlaku kerana kepimpinan negara lupa akan faktor kesatuan bangsa sebagai satu kekuatan. Walaupun Kesatuan Soviet merupakan satu daripada dua kuasa ketenteraan dunia, ia akhirnya runtuh.

Orang Melayu tidak mampu lagi untuk berpecah-belah. Kita harus pelajari dan jadikan sejarah sebagai iktibar. Kejatuhan Empayar Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511, kemudian diikuti oleh penjajahan Belanda, Inggeris dan Jepun selama 446 tahun, sudah cukup dan tidak boleh berulang dalam apa jua bentuk.

Perpaduan bangsa adalah tuntutan utama keutuhan negara. Itulah realiti politik yang harus diterima oleh kepimpinan politik Melayu dalam UMNO, PAS dan Pakatan Rakyat serta parti-parti serpihan lain.

Pertelagahan, sama ada sesama sendiri, antara kumpulan yang bertentangan dalam sebuah pertubuhan politik atau antara parti-parti politik, seboleh-bolehnya dielakkan. Carilah jalan penyelesaian yang boleh membawa kepada perpaduan, bukan mencari helah untuk terjun ke dalam kancah kehancuran.

14 comments:

Unknown said...

Salam Pak tuan Syed, seperti paparan saya dalam FB,"Kerajaan Perpaduan" bukan diantara parti-parti politik Melayu tetapi dikalangan semua umat Melayu/Islam di negara ini yg sekian lama dipisahkan kerana agenda kepimpinan yg ingin berada di thakta KUASA politik.

paparan yang amat menarik dan perlu dijadikan polemik diklangan bangsa kita. salam MO

Anonymous said...

Saudara Syed,

Mengikut sejarah Soviet Union, kerajaan Nazi pimpinan Adolf Hitler telah membuat perjanjian damai dengan Stalin. Hitler sendiri telah pergi ke Rusia.

Setelah itu, Nazi German telah mengumpulkan askar terbesar untuk menyerang Rusia.

Saya percaya, jika ada golongan tertentu ingin berdamai, kita harus meneliti adakah golongan ini mempunyai kredibiliti atau hanya mempunyai motif tertentu.

Seperti saudara nyatakan disini, keikhlasan adalah amat penting.

Sallam
Jay Bee

Anonymous said...

Sdr Syed Imran,

Saya pun pelik juga pasai apa orang Melayu susah sangat nak bersatu. Setiap orang Melayu sedar akan pentingnya mereka bersatu, tapi depa tak pernah bersungguh-sungguh berusaha ke arah itu. Ada saja alasan diberi untuk mereka tak boleh bersatu. Paling utama kerana fahaman politik. Susah-susah sangat, bubarkan saja parti politik berasaskan Melayu yang sedia ada dan tubuhkan parti politik baru bagi orang Melayu. Takut nanti, alasan lain pula yang digunakan untuk mereka tak boleh bersatu.

Kalau Melayu sama Melayu pun tak boleh bersatu, macam mana nak jayakan gagasan 1Malaysia? Kenapa tak laksanakan juga Gagasan 1Melayu?

-- Badek Kursani

oney_chan9 said...

Bersatu tak semestinya bersatu dlm satu parti politik kan? Macam orang Cina. Diorang ada jugak lain-lain parti.Tapi dalam melaksanakan agenda kaum,saya rasa mereka bersatu.Jadi orang melayu pun camtulah jugak sepatutnya.Tapi saya setuju mereka kena ikhlas dan jujur.Lagi satu bukan saja bersatu untuk melayu tapi paling penting untuk Islam.Kalau Islam, semua umat tak kira kaum dikehendaki bersatu memperjuangkan agama.

Unknown said...

Islam adalah satu kekuatan tetapi amat malang umat Islam sendiri menjadikan fahaman mereka dek perbezaan mazhab mahupun ikutan sebagai alasan untuk bermusuhan dan saling membunuh. Benar, orang Islam itu adalah bersaudara, tetapi apa yang sedang berlaku adalah saudara berkelahi dan berperang sesama sendiri.

Musibah ini belum sampai ke bumi kita tetapi tiada jaminan yang ia tidak akan berlaku sekiranya orang Melayu, yakni umat Islam terbesar, terus bermusuhan, bermula dengan perbezaan ideologi politik.

Semoga Allah jauhkan malapetaka sedemikian rupa ke atas umat Islam di negara kita.

Anonymous said...

Itulah bendanya. Mereka dah take perpaduan for granted.

Saya cadang oney_chan9 diberi permisi untuk tunjuk ajar parti2 atau tokoh2 Melayu/Islam tentang bagaimana org Cina di seantero dunia bersatu dlam melaksanakan agenda kaum tanpa dilabelkan sbg rasis.

Come on lah Melayu. Bila nak insaf ni?

Anonymous said...

Sdr Imran,
Memanglah bersatu demi Islam lebih penting dari segala-galanya. Tapi, di Malaysia, setakat hari ni, orang Melayu tu merujuk kepada orang Islam jugalah. Tak tau lah pada masa depan ni kalau orang Melayu di Malaysia ni terpaksa pulak kita golongkan sebagai Melayu Islam dan Melayu bukan Islam. Harap-harap perkara ni tak berlakulah.

Kalau kita perhatikan, di negara kita ni, orang Melayu lebih banyak berpecah kerana fahaman politik. Demi parti yang mereka anggotai, mereka sanggup bertelagah sesama sendiri untuk memperjuangkan kehebatan parti masing-masing kononnya. Akibatnya, orang lain yang mengaut untung melalui gerakan politik mereka yang lebih bijaksana.

Saya masih belum dapat menerima kaum pendatang, contohnya dari Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan sebagainya, menguasai orang Melayu di negara ini, walaupun mereka juga beragama Islam. Tak taulah kalau ada orang Melayu yang boleh menerima perkara itu di negara ini, yang nama asalnya ialah Tanah Melayu. Sakit hati dan mata melihat begitu ramai orang asing menguasai perniagaan di Chow Kit dan Jalan Tunku Abdul Rahman sekarang.Ada juga kaum pendatang ni yang dah berani bersikap kasar kepada orang Melayu yang seagama dengan mereka apabila menjalani urusan harian, termasuk membeli-belah.
-- Awang Kota

--

Anonymous said...

assalamualaikum tuan syed,
apa pandangan tuan tentang kenyataan tok guru kita mengenai keturunan syed yang menyebabkan perpecahan umat Islam pada hari ini?

Unknown said...

Wa'alaikumsalam,

Saya bersikap rasional. Perkara seumpama ini tidak perlu dilayan kerana tiada faedah sama sekali.

Anonymous said...

Salam sejahtera Tuan Syed,

Diharap Tuan Syed akan menulis satu artikel bersabit Bajet 2010 dan komen serba sedikit bersabit intipati bajet tersebut terutamanya mengenai cukai RM50 untuk kad kredit and RM25 untuk kad kredit suplementary.

Rasa-rasa Tuan Syed, adakah keputusan ini satu tindakan yang patut, bernas dan membantu meringankan bebanan rakyat atau pun ianya satu bebanan tambahan kepada rakyat terutamanya dikala keadaan ekonomi yang sedang bergelora?

Pada pandangan saya, sekarang ini bukan sahaja orang yang kaya raya sahaja memiliki kad kredit tetapi hampir segala lapisan rakyat kita memiliki kad kredit. Secara peribadi saya gunakan kad kredit kerana kemudahan auto deductionnya di mana ianya membantu saya membayar bil-bil dan sebagainya. TETAPI hari ini, dengan pengumuman tambahan RM50 oleh kerajaan, kad kredit menjadi bebanan tambahan kepada rakyat.

Saya harap Tuan Syed, dapat menulis satu artikel sebagai mengulas mengenai Bajet 2010 dan dapat memberikan pandangan Tuan Syed yang benar-benar adil.

Terima kasih

bank negara said...

Anon 2.18

Takkan RM75 setahun pun tak boleh bayar. Debit kad pun bayar bil jugak. Boleh kata semua bank dah keluarkan kad debit visa/mastercard.
Personal relif dah naik dan peratus cukai utuk pendapatan yang dicukai pun dah turu.

More than cover lah mat. Lainlah kalau ada sampai lima ke enam credit card. Tapi itu bodoh la pulak.

Unknown said...

Terima kasih bank negara. Saya pun nak kata begitu.

Haji Rahman Haji Mutalib said...

Mana lagi penting, perpaduan semata-mata atau penerusan kemusnahan negara secara keseluruhan kerana sistem politik yang rakus dan haprak dan rasuah?

Adakah PAS harus menggembleng tenaga dengan UMNO yang rasuahnya sedalam lautan Pasifik hingga tidak dapat direformasikan?

Adakah harus kita menerima kemungkaran rasuah dan salah pentadbiran hanya demi perpaduan?

Bukankah lagi baik Melayu berpecah dan berhijrah ke pihak yang benar dan adil, daripada terus berpihak kepada golongan yang mungkar?

Kenapa cakap pasal satu 'bangsa', padahal kita ni 'bangsa Malaysia' yang terdiri dari semua bangsa?

Runtuhnya negara ini adalah kalau kita dipecahkan ikut garis bangsa.

Jadi daripada "Perpaduan Melayu" baik kita menggesa "Perpaduan Rakyat Malaysia".

Cukuplah dengan khayalan ini yang tidak relevan lagi.

000-Ramzan-000 said...

Kenapa kita nak hadkan setakat 'perpaduan sesama Melayu' ataupun 'perpaduan sesama Islam'?

Kan lagi baik ada 'perpaduan sesama umat manusia', dan oleh itu 'perpaduan sesama semua rakyat Malaysia'?

Soalnya ini: kenapa nak pecahbelahkan rakyat ikut kaum atau agama?