Monday, December 31, 2007

Kuasa dan wang bukan kuasa atau wang

Pergolakan yang berlaku dalam sebuah pertubuhan politik yang sebegitu lama berkuasa di negara ini bukanlah sesuatu yang baru. Yang membezakan antara pergolakan dua atau tiga puluh tahun lepas dengan yang berlaku sejak awal tahun 1980-an bukan kerana dasar parti atau prinsip seseorang pemimpin tetapi berkisar pada soal kuasa dan kedudukan.

Kuasa menjadi rebutan kerana melalui kuasalah mereka boleh mengumpul kekayaan. Lihat saja perubahan hidup yang begitu mendadak yang dialami oleh seorang mantan penjaga pintu lintasan kereta api di Klang, Selangor yang mampu mendirikan sebuah 'istana' hasil daripada kuasa yang diperolehi melalui sistem politik.

Ramai 'orang kaya baru' yang dilahirkn oleh sistem politik UMNO bukan berasal daripada keluarga kaya atau memiliki ijazah dan kelayakan profesional yang membolehkan mereka berkedudukan mewah. Ramai yang tidakpun memiliki sijil kelulusan menengah atas tetapi berkat kuasa yang diperolehi melalui sistem politik, mereka mampu hidup mewah.

Kemewahan hidup yang dijamin oleh kuasa politik membuatkan mereka yang mengejarnya sanggup berbuat apa saja untuk mendapatkannya termasuk 'membunuh' kerjaya politik lawan atau seteru dalam parti sendiri.

Bagi mereka yang ada wang, iaitu yang kaya hasil kejayaan dalam dunia perniagaan atau berkat mewarisi harta ibu bapa, kemewahan hidup sahaja tidak mencukupi tanpa kuasa politik. Oleh itu, mereka mendekati dunia politik dan menggunakan kekayaan untuk berkuasa. Bagi mereka, wang boleh beli kuasa kerana orang politik yang tiada wang tetapi ada suara, memerlukan wang untuk menaiki tangga kejayaan. Pendek kata, engkau tolong aku, aku bantu engkau. Sama-sama untung atau orang sering berkata "a win-win situation".

Inilah yang telah, sedang dan akan terus berlaku dalam parti politik yang paling lama berkuasa, UMNO. Pemimpin mengekalkan kuasa melalui pengaruh wang ringgit dan wang ringgit digunakan untuk mendapatkan kuasa. Ramai pemimpin dan ahli UMNO yang akan cepat membantah dan menafikannya. Semua akan memperlihatkan wajah 'baik dan bersih' kerana mereka tidak mengamalkan politik wang atau rasuah politik. Hanya seorang sahaja pemimpin besar UMNO yang terlibat dalam rasuah politik, iaitu mantan Menteri Wilayah Persekutuan dan MB Negri Sembilan paling lama, Tan Sri Isa Samad. Yang lainnya bersih belaka.

Oleh itu, apabila berlaku krisis atau pergolakan dalam UMNO, ia sebenarnya berkisar kepada soal kuasa, pengaruh dan kedudukan seseorang itu. Apa yang sedang berlaku di Perlis Indera Kayangan juga kerana persoalan yang sama. Datuk Seri Shahidan Kassim bukan sahaja memiliki kuasa dan pengaruh, tetapi dia juga seorang jutawan 'padi dan beras'.

Dalam politik, kuasa dan wang menjadi hambatan bukan kuasa atau wang, tetapi kedua-duanya sekali.

No comments: