Thursday, June 28, 2007

Pak Lah nak pecah rekod Gus Dur?

Malaysia memang terkenal dengan kehandalan rakyatnya mencipta atau melakukan sesuatu yang dikatakan sebagai satu rekod. Rakyat Malaysia, terutama sekali orang Melayu, akan teruja dan bangga jika nama mereka atau kumpulan mereka dicatatkan dalam "The Malaysia Book of Records." Sebab itulah kita sering disajikan dengan berita kejayaan si polan atau kumpulan tertentu membuat lemang terpanjang, ketupat paling berat, otak-otak paling panjang dan bermacam lagi 'rekod' yang tidak berfaedah untuk kemajuan mental dan fizikal bangsa dan negara. Tetapi, dalam semangat 'Malaysia Boleh' ada saja usaha akan dilakukan untuk mencipta nama.

Sayang sekali kita tidak pula mendengar usaha seseorang pengetua sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru untuk berusaha memberi galakan dan dorongan kepada murid-murid untuk cemerlang dalam sama ada bidang akademik, ko-kurikulum atau sukan supaya nama sekolah berkenaan dapat dicatatkan dalam buku rekod itu. Yang pernah kita dengan dan lihat murid-murid disuruh membuat sepanduk paling panjang, kad ucapan paling besar atau bendera paling panjang. Apa faedahnya?

Sekarang, Perdana Menteri yang sedang menikmati alam berumah tangga yang baru, Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad, nampaknya sedang berusaha mencipta satu rekod untuk dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records dan mungkin juga Guinness Book of Records.

Pak Lah juga nampaknya akan mengatasi rekod yang dipegang oleh mantan Presiden Indonesia, Gus Dur. Setakat ini, Pak Lah sudahpun mewarisi amalan 'tidur' Gus Dur dan kini satu lagi amalan sedang diikuti - iaitu melakukan lawatan yang begitu kerap ke luar negara.

Menurut Menteri Luar Pak Habib Hamid bin Jaafar Albar, PM kita telahpun melakukan sebanyak 80 lawatan ke luar negara sejak memimpin negara.

Pak Habib memberitahu Ahli Parlimen DAP dari Batu Gajah, Cik Fong Po Kuan melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu, semasa ke luar negara Pak Lah diiringi oleh menteri-menteri kabinet yang berkaitan dengan tujuan sesuatu lawatan, menteri besar atau ketua menteri serta serombongan pegawai kerajaan dari Wisma Putra, kementerian tertentu dan kerajaan negeri yang terlibat. Pendek kata, pada hemat saya sesuatu lawatan itu disertai oleh rombongan yang cukup besar dan melibatkan pembiayaan yang besar.

Menurut pecahan jumlah lawatan yang diberikan oleh Pak Habib, pada tahun 2004 Pak Lah melakukan 22 kali lawatan kerja dan rasmi ke luar negara, pada tahun 2005 sebanyak 25 kali, pada tahun 2006 sebanyak 20 kali dan pada tahun ini sehingga Jun, Pak Lah telah pun melakukan 13 kali lawatan ke luar negara.

Kita masih ingat di mana Pak Lah berada semasa rakyat di selatan Semenanjung, terutama sekali di Johor, menghadapi bencana banjir besar dan kita juga tahu bahawa PM hanya berada selama lima jam untuk melawat kawasan tertentu sebelum meneruskan pengembaraannya ke luar negara. Kita tahu bahawa Pak Lah ke Perth, Australia semata-mata untuk merasmikan sebuah restoran nasi kandar (sekarang dakpun ditutup kerana tak dapat sambutan).

Perangkaan yang diberi oleh Pak Habib itu adalah yang dikategorikan sebagai 'lawatan kerja dan rasmi'. Bayangkan jumlah sebenar jika kita campur dengan lawatan-lawatan 'tidak rasmi' yang dilakukan oleh Pak Lah.

Atas semangat Malaysia Boleh, saya percaya Pak Lah akan dapat mengatasi rekod perjalanan ke luar negara yang dibuat oleh Gus Dur. Atau, mungkinkah Pak Lah akan menerima nasib yang sama seperti Gus Dur ... sepenggal sahaja?

1 comment:

AFRAR YUNUS said...

Salam Pak Tuan,
80 x lawatan ke luar negara. apa yg menjadi masalahnya ialah:
1.berapa juta belanjanya bersama rombongan
2.berapa puloh pelabur di bawa masuk
3.berapa juta jumlah pelaburan di malaysia
4.berapa ramai yg mendapat keuntungan hasil pelaburan di malaysia setelah lawatan pm.
selama ini tun dr m ke luar negara, adalah juga nampak hasilnya. tapi pm sekarang cakap berbillion-billion, tak nampak projek pun.
5.yg paling penting, berapa kali tertidur atau tersasau ketika di luar negara? entah, pemergiannya membawa keuntungan kepada rakyat malaysia atau satu kerugian kepada negara ?