Wednesday, June 06, 2007

Loga dalam kenangan...apa kriteria RTM

Mulai malam ini, RTM menyiarkan satu rancangan khas berikutan kematian vokalis kedua kumpulan Alleycats, Loganathan Arumugam atau Loga. Rancangan yang disiarkan oleh TV1 itu berjodol "Loga Dalam Kenangan".

Saya adalah seorang peminat kumpulan Alleycats, bukan kerana mereka senegeri dengan saya tetapi kerana muzik mereka. Saya tidak menentang usaha RTM, atau lebih tepat lagi menterinya Zainuddin Maidin, untuk menerbitkan sebuah rancangan khas untuk Loga. Tetapi kenapa sampai tiga penerbitan atau tiga kali sedangkan usaha yang sama tidakpun dibuat untuk artis atau seniman tanah air yang lain.

Baru-baru ini, negara kehilangan primadona filem Melayu, Kasma Booty, malangnya tiada rancangan "Kasma Booty Dalam Kenangan", bukan tiga tetapi satupun tidak ada. Kenapa?

Sebelum ini, tiada rancangan serupa untuk Aziz Jaafar mahupun isterinya Normadiah, atau untuk peniup trompet terunggul negara Syed Agil, atau untuk M. Sharif. Kenapa?

Saya tidak nampak kelebihan atau keistimewaan luar biasa Loga berbanding dengan para anak seni yang saya sebutkan itu sehingga RTM mengatur tiga rancangan khas untuknya.

RTM juga tidak menerbitkan sehingga tiga rancangan khas untuk allahyarham Tun Ghafar Baba sedangkan sumbangan, khidmat bakti dan pengorbanannya tidak ternilai.

Apakah kriteria yang diguna pakai oleh RTM? Mungkin Mamu Zam ada jawapannya.

6 comments:

Anonymous said...

Alahai Pak Syed. Si Logan tu bukan Melayu. Apa salahnya RTM (Radio Telivisyen Melayu) nak galakkan lebih ramai bukan Melayu nyanyi lagu Melayu. Ini pun Pak Syed nak hentam. Kasi canlah orang kerajaan cari makan.

Unknown said...

Terima kasih sajalah atas pandangan yang diberikan.

Seperti yang saya katakan, saya cuma ingin tahu kriteria yang diguna pakai kerana bagi saya, ada artis yang dikenangi dan ada artis yang tidak. Soal bangsa atau agama tidak timbul. Kehebatan dan sumbangan kumpulan Alleycats tidak dipersoalkan. Banyak yang tidak faham maksud sebenar persoalan yang dibangkitkan. Ianya juga bersangkutan dengan sama ada memadai satu rancangan atau sebaliknya dua, atau tiga rancangan khas. Ia lebih penting kerana yang terlibat adalah stesen tv milik kerajaan. Itu saja.

Saya terima segala kritikan dan sebagainya yang diutarakan melalui mana-mana blog lain kerana dalam dunia siber, tiada sekatan atau tegahan untuk kita menyuarakan pendapat. Masing-masing ada hak untuk memberi pandangan dan teguran, sama ada ia berpandukan emosi, kewarasan naluri atau sikap rasional. Apa yang dapat saya simpulkan ialah ramai yang tidak memahami maksud sebenar yang cuba saya ketengahkan.

AFRAR YUNUS said...

pak tuan
elok juga bertanya nak kan kepastian syarat yg mamu din kenakan tu. saya juga seorang peminat alleycats tapi rtm ni biarlah telus.

Anonymous said...

tah! kesuma booty meninggal tak ada la pula Mamu Din nak buat? Mana `Kesuma Booty Dalam Kenangan'?

Anonymous said...

Mmm mungkin kriteria dari segi peminat kot... mungkin Alleycats ramai peminat.. semua yang diudarakan di tv samada swasta ataupun kerajaan selalunya berpandukan 'ratings'.. Bukan sahaja di TV malah pemergian Loganathan juga dikenang melalui website2 seperti di
http://loganathan.50webs.com

Kalau rajin pak said buatlah website untuk artis-artis lain...:)

Unknown said...

Ya, itu satu kemungkinan kerana Mamu ZAM sendiri meminati Alleycats. Saya membangkitkan perkara ini kerana pemergiannya hanya beberapa hari selepas Almarhumah Kasma Booty dan keputusan dibuat untuk mengenang sumbangan seorang artis sahaja manakala yang seorang lagi tidak. Sebab itu saya ingin tahu kriteria yang diguna pakai. Sekurang-kurangnya saudara memahami maksud itu, terima kasih. Mengenai laman web untuk artis, saya tidak berminat sama sekali dan terpulanglah kepada peminat masing-masing untuk mengusahakannya.