Setiap kali berlaku pilihan raya kecil, ratusan juta ringgit akan 'hangus' atas nama pembangunan, bantuan atau bermacam bentuk subsidi. Jika sebelum itu, kawasan pilihan raya terbabit tidak termimpi untuk mendapatkannya dalam keadaan 'segera' apa yang dipohon atau dirayu. Inilah kenyataan di bumi bertuah bernama Malaysia!
Pengundi di Ijok, sebuah kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri Selangor, boleh bersyukur kerana mereka akan dilimpahi 'rahmat' pilihan raya kecil. Awal-awal lagi Menteri Besar Dr Khir Toyo telahpun 'menunaikan' janji-janji pilihan raya lalu berjumlah hampir RM40 juta.
Ramai yang berpendapat bahawa perbuatan sedemikian sebenarnya satu amalan rasuah atau sogokan untuk mendapat sokongan pengundi. Walaupun pandangan itu ada asasnya namun dari segi peraturan dan undangan-undang ia dibolehkan.
Para menteri, menteri besar/ketua menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen ditakrifkan sebagai anggota pentadbiran dan mereka boleh merasmikan apa-apa majlis di kawasan sesuatu pilihan raya atas 'urusan rasmi'.
Ia lebih tertumpu kepada majlis-majlis yang berbentuk perasmian jalan, sekolah, jambatan, surau, rumah-rumah ibadat bukan Islam atau balai raya walaupun projek berkenaan sudah 10 tahun siap dan bukan sesuatu yang baru. Inilah hakikat yang dapat dilihat semasa sesuatu pilihan raya kecil diadakan.
Yang perlu diketahui ialah jika sesuatu majlis itu melibatkan pemberian berupa sumbangan seperti komputer, basikal ataupun wang ringgit, maka ia boleh dianggap sebagai satu sogokan atau perbuatan rasuah dan dicakupi oleh Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Seksyen 10 Akta melarang "penyogokan sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya secara langsung atau tidak langsung dengan sendiri atau melalui orang lain bagi pihaknya."
Hukuman atas perbuatan itu terkandung dalam seksyen 11 iaitu "dipenjara selama tidak lebih dua tahun atau denda tidak kurang dari RM1,000 dan tidak lebih dari RM5,000."
Seksyen 10 jelas melarang apa-apa penyogokan dalam bentuk pemberian yang disebutkan di atas jika ia bertujuan mendorong seseorang pengundi untuk mengundi atau tidak mengundi, atau untuk memancing undi.
Tetapi, ia sukar dibuktikan kerana dalam sesuatu perbuatan rasuah seperti penyogokan, niat rasuah atau dorongan rasuah (corrupt intention or corrupt inducement) dari pihak calon atau ejennya terhadap pemilih (pengundi) supaya mengundi calon berkenaan atau supaya mengundi atau tidak mengundi hendaklah wujud. Dalam hubungan ini, saksi amat penting dan orang yang menerima sogokan hendaklah berani tampil ke muka untuk membuktikan perbuatan tersebut, inilah yang amat sukar diperolehi dan sebab itulah amalan sedemikian terus berlaku.
Satu lagi keperluan undang-undang ialah bagaimana hendak memastikan bahawa apa jua pemberian di sesuatu majlis itu dibuat dengan niat atau tujuan untuk memancing undi yang dapat membuktikan bahawa ia adalah satu perbuatan rasuah dan menyalahi seksyen 10 Akta berkenaan.
Soal sama ada sesuatu pemberian itu mempunyai niat rasuah atau dorongan rasuah adalah satu soalan fakta yang hanya boleh ditentukan dengan melihat kepada hal keadaan sesuatu kes. Kenyataan ini sebenarnya memihak kepada pihak yang memerintah atau kerajaan kerana dalam musim pilihan raya, sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, banyak habuan dan peruntukan diluluskan secara 'segera' untuk sesuatu kawasan pilihan raya.
Undang-undang yang ada sebenarnya memihak kepada kerajaan kerana anggota pentadbiran boleh meluluskan peruntukan, mengagih-agihkan bantuan dan membuat janji atas sifat sebagai menteri, menteri besar atau ketua menteri, timbalan menteri ataupun setiausaha parlimen.
Jika kerajaan ikhlas untuk berlaku adil dan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan secara telus dan benar-benar demokratik, maka anggota pentadbiran tidak seharusnya menggunakan kedudukan mereka untuk meluluskan projek, merasmikan projek atau mengagih-agihkan apa jua bentuk bantuan atau subsidi.
Satu lagi perkara yang mungkin tidak diketahui umum ialah anggota pentadbiran tidak boleh membuat sebarang tuntutan perjalanan, penginapan dan elaun makan semasa menjalankan tugas politik termasuk berkempen dalam sesuatu pilihan raya.
Malangnya, perkara ini mudah diatasi apabila anggota pentadbiran bertindak "sambil menyelam, minum air" iaitu dengan menjalankan 'tugas rasmi' dan tugas politik 'serentak' atau beriringan. Maka tuntutan perjalanan dan tuntutan-tuntutan lain boleh dibuat berdasarkan tugas rasmi.
Semua perkara yang saya sebut di atas memperlihatkan 'ketakadilan' dalam pilihan raya tetapi ianya dapat 'ditangani' kerana undang-undang yang ada membolehkan pihak yang mewakili kerajaan, iaitu anggota pentadbiran, 'lepas diri' berpandukan tanggungjawabnya mengikut Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan.
Dalam hubungan ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh dipersalahkan sama sekali. SPR bertindak atau menjalankan tugasnya mengikut undang-undang yang ada dan SPR bukanlah badan yang menggubal dan meluluskan undang-undang itu. Ini tugas kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara (Penggubal Undang-Undang) dan Parlimen yang meluluskan sesuatu Rang Undang-Undang.
Banyak pihak, terutama parti-parti pembangkang, sering menuding jari kepada SPR dengan bermacam tuduhan termasuk tidak telus dan tidak berlaku adil. Bagi saya, tuduhan sedemikian adalah tidak adil dan tidak seharusnya dilemparkan kepada SPR. Ahli Suruhanjaya dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong manakala kakitangannya (yang diketuai oleh Setiausaha SPR) adalah anggota perkhidmatan awam yang bekerja mengikut aturan dan peraturan yang ditetapkan.
Yang harus dipersoalkan ialah sistem yang membolehkan pihak pentadbiran menggunakan aset kerajaan untuk 'memancing undi' termasuk meluluskan peruntukan, meluluskan projek, meluluskan bantuan dalam pelbagai bentuk dan menggunakan jentera kerajaan termasuk radio dan televisyen dalam sesuatu pilihan raya.
4 comments:
Pak Tuan
sebagai kerajaan mereka berasakan boleh memberikan bantuan segera. tapi pilihanraya pada hemat saya bukanlah bencana alam seperti banjir atau kebakaran. memanglah kebakaran itu ada dari segi perasaan atau minda tapi bukan malapetaka. jika kita abaikan orang tua selama beberapa tahun, tetapi tiba-tiba ambil ibu dan bapa kita bawa ke rumah, tunjukkan kepada jiran bahawa kita ambil peduli hal mereka, memberikan makanan, pakaian dsb hanya kerana menunjuk maka samalah niat dan halnya dengan pilihanraya ini. dulu tak ambil peduli. tapi tiba-tiba sayang dan ambil berat. itulah kiasannya.
Pak Tuan Syed Imran yang saya hormati,
Assalamualaikum WBKTH...
Pilihanraya kecil adalah musim durian, manggis, rambutan, buah pelam, pelam Siam, pelam NamDokMai Perlis, buah setaq, nangka, cempedak, buah ciku, langsat, rambai dan macam-macam lagi buah nanti luruh dan depa ni luruh, bergolek mai dan macam terjatuh dari lori kepada orang yang dok bertinggung di tepi jalan dengan cepat sekali. Kalau saya ada kat situ pun, nak tunggu kepala bapak apa lagi...sambaq la, sekau ka, gagau ka...perelaih ka...apa pun ambik!!!
Kalau sebelum ini pembangunan agak lambat dan lama sepertimana berlaku di mana-mana, akan tetapi dalam masa kurang 10 hari sahaja segala dunia di luar Ijok akan berhenti dan Dunia Ijok akan mengambil tempat dan bermula. Seluloi orang dok kata, nak cari semua orang ada kat situ -- Pak Long ka, Mak Long ka, Pak Lang la, Abang Din ka, Kak Chaq ka, Man Kodiang ka, Che Ri ka, Che Malik ka semua ada...yang takdak mak dengan pak kita saja.
Janganlah cakap orang, lembu, kambing, ayam dan itik di Ijok juga mungkin akan melihat bilangan yang paling dan cukup besar manusia dalam hidup mereka dan mereka akan mungkin terkejut kerana manusia-manusia luar yang akan berligar, bergulir (meminjam kata-kata Radja) di sekitar Ijok akan turut melawat haiwan-haiwan yang dinyatakan di atas. Ini adalah sifatnya pilihanraya kecil, semuanya besifat besar. Ini adalah ironinya. Nama sahaja kecil akan tetapi penangannya cukup besaq! Saya sudah tempohi pelbagai semua ini dan hari ini dok tengok sajalah, biaq pi kat depa pulak..
Nama sahaja kecil akan tetapi sifatnya amat besar, cukup besar sehinggakan sebelum ini Ijok yang kurang dikenali, malahan tidak pernah didengari oleh ramai sekiranya tidak berlakunya pilihanraya kecil ini dan kadang-kadang sangat disebut orang akan menjadi buah mulut dengan sekelip mata.
Bertuahlah Ijok dan lebih bertuah para penduduk dan pengundi Ijok kerana pada masa ini mereka akan ditatang bagaikan minyak yang penuh dan raja selama 10 hari. Orang Kuala Kedah di tempat saya kata "Layanan A la Boss!", "Makanan pun A!", "Kereta-kereta yang mai pun A", "Lawak Pilihanraya cukup A" dan macam-macam lagi yang bersifat A.
Justeru, nasihat saya ialah ambillah kesempatan ini wahai para penduduk dan pengundi Ijok kerana peluang ini tidak akan datang 2 kali dalam hidup mereka dan apabila ianya datang maka gunakanlah dengan sepenuh dan secukupnya. "Dia mai sekali saja dan bila dia mai, dok pikiaq apa lagi, sambaq la peluang ni. Bukannya hangpa dok mintak...depa dok huloq dan menyuloq mai!.."
Bagi saya ini sahajalah kebaikan yang ada pada pilihanraya kecil, parlimen dan dun. Selain itu, tidak ada apa lagi kebaikan yang hakiki kerana kemenangan pada kedua-dua pihak tidak akan membawa sebarang makna, sebenarnya tiada makna langsung. Lebih kurang macam "Zero Sum Game" la kata Bang Khiaq tukang gunting rambut kat Kg Seberang di Kuala Kedah.
Sekiranya BN menang wakil Ijok akan menjadi satu daripada berpuluh penyokong kerajaan di DUN Selangor dan sekiranya pembangkang yang menang, satu suara daripada individu yang dahulunya terkenal sebagai tidak mempunyai sebarang pengalaman politik tidak akan membawa sebarang makna, bahkan tiada makna langsung! Sudahlah beliau tidak reti berpolitik beliau pula merupakan satu sahaja suara pembangkang.
Nama calon pembangkang memanglah hebat sebagai seorang tokoh korporat, lebih-lebih lagi dalam sektor kerajaan. Namun ianya tidak memmadai untuk menjadi wakil rakyat kerana politik bukanlah suatu pekerjaan akan tetapi suatu komitmen. Lihat sajalah "rumah"nya yang lebih bersifat sebagai mahligai, bolehkah dia dok bersila dan makan nasi dengan ikan gelama kering, pucuk ubi rebus dan kuah gulai semalam? Selesakah dia jadi makmum di belakang imam kampung yang dia tidak pernah kenai sebelum ini? Bolehkah dia kata "Saya faham masalah rakyat, ataupun I Feel Your Pain??"
Selamat berjaya kepada kedua-dua mereka dan saya tumpang gembira kerana penduduk Ijok akhirnya akan terbela jua, biarpun untuk hanya 10 hari. Pembelaan tetap mendatang dan datangnya bagai tidak sudah. Alhamdulillah!!
Saya dan berpuluh penduduk AnakBukit pernah merasainya suatu ketika dahulu walaupun kami berkongsi perhatian dengan Pendang! Namun, tetap Alhamdulillah. Kerajaan kita ni tidak pernah lupa kita, kalu dah macam tu...kita balas budi la..betoi dak??
Zaki Tok Tam
Anakbukit, Alor Setar, Kedah
Waalaikumsalam,
Apa yang saudara perkatakan itu memperingatkan saya kepada peristiwa yang sering berlaku dalam pemilihan pucuk pimpinan UMNO.
Saya melalui perhimpunan agung Umno bermula pertengahan tahun 1970-an dari beberapa sudut termasuk pernah menjadi wakil ke perhimpunan agung pergerakan Pemuda, pemerhati bahagian ke perhimpunan agung, pelapor media dan akhir sekali wakil calon.
Soal rasuah politik atau disebut sebagai politik wang cukup ketara dan hampir semua yang bertanding merebut kerusi majlis tertinggi terlibat.
Saya pernah bertanya kepada beberapa orang ahli perwakilan ke perhimpunan agung yang membabitkan pemilihan kenapa mereka menerima 'habuan' (wang sogokan) sedangkan mereka tahu ianya haram!
Jawapan yang diberi oleh hampir semua orang yang saya tanya adalah sama, iaitu sekali dalam tempoh tiga tahun dan orang lain pun terima, kenapa kami tidak boleh!
Pendek kata, samalah seperti yang saudara katakan, bukan saja durian yang runtuh tetapi macam-macam benda yang runtuh, sambar sajalah!
Semasa menjadi wakil calon naib presiden parti, saya didatangi oleh ramai orang yang mengaku mewakili bahagian-bahagian tertentu. Tujuan mereka hanya satu, apa habuan untuk mereka jika hendak disokong. Ada yang menelefon kononnya mereka dapat menjamin sejumlah undi. Orang yang sama juga menemui wakil-wakil calon naib presiden yang lain dengan tujuan yang sama. Selain daripada meminta, tidak kurang juga yang hendak memberi sumbangan dan mereka adalah "orang berniaga' yang mengharapkan balasan sewajarnya jika calon yang mereka sokong menang. Inilah satu budaya yang sudahpun sebati dengan UMNO.
Jadi, apa yang berlaku dalam semua pilihan raya kecil, sebenarnya perbuatan memancing undi atas nama pembangunan untuk rakyat. Ini juga sudah menjadi satu budaya politik Malaysia.
bro syed,
perkara seumpama ini adalah biasa sahaja dan tidak ada sesuatupun keganjilan mengenainya. sekiranya pembangkang sekarang menang pilihanraya umum dan menjadi kerajaan, saya pasti mereka juga akan melakukan perkara yang sama. ada baiknya bila berlaku sesuatu pilihanraya kecil samada peringkat parlimen mahupun negeri, kalau tidak kawasan tersebut kadangkalanya seperti tidak mempunyai wakil rakyatpun. bila dah ada pilihanraya kecil, kita boleh lihat pelbagai rupa dan bentuk pembangunan fizikal yang melimpah ruah dapat dinikmati oleh penduduk setempat. begitulah lumrah persekitaran politik kita.
perkara yang menyedihkan dan mungkin tidak diketahui umum ialah sekiranya kawasan tersebut dimenangi oleh pembangkang. bagaimana dia nak bangunkan kawasan tersebut kerana tidak mempunyai peruntukan, sedangkan peruntukan projek-projek pembangunan hanya diberi kepada wakil-wakil rakyat parti pemerintah sahaja (BN). di kelantan misalnya terbalik kerana bn dah jadi pembangkang dan nasib baiklah kerajaan pusat tolong wakil rakyat bn. khalid ibrahim calon pkr di ijok yang dilihat sebagai joker sahaja tak payahlah cerita banyak kerana dia sebenarnya seorang desperado sama seperti anwar ibrahim juga. bertanding jawatan dalam umno bahagian kuala selangor dah banyak kali, tapi asyik kalah sahaja. nama sahaja anak tempatan, tapi balik kampungpun jarang-jarang, ialah tokoh korporat konon. tak tahulah apa yang hebatnya si joker sekor ini.
Post a Comment