Tuesday, November 13, 2012

MCA dan GERAKAN ditolak masyarakat Cina?

Pilihan Raya Umum ke-13 sudah hampir tiba dan semua parti politik dah pun bersiap siaga untuk bertarung dalam gelanggang rakyat. Macam-macam muslihat dan propaganda oleh semua pihak yang berminat sudah dan terus menghiasi dada-dada akhbar dan saluran media elektronik ataupun media baru. 

Barisan Nasional (BN) yang berkuasa diperingkat Persekutuan dan sembilan  buah negeri pasti akan sedaya upaya dan dengan apa jua cara akan cuba mempertahan dan jika boleh menawan semula empat buah negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat (PR). 

 Di Semenanjung, BN bukan sahaja bergantung kepada UMNO tetapi kepada tiga rakan politiknya iaitu MCA, Gerakan dan MIC. UMNO amat mengharapkan rakan-rakan politiknya itu membantu calon BN di kawasan-kawasan undi dalam bandar ataupun yang mempunyai sejumlah besar pengundi bukan Melayu. 

 Walaupun UMNO sendiri tidak terjamin untuk memenangi semua kawasan undi majoriti Melayu, ia amat memerlukan kemenangan calon-calon MCA, Gerakan dan MIC untuk terus berkuasa. 

 Mampukah MCA, Gerakan dan MIC membantu BN berkuasa semula? Persoalan ini yang perlu dicari jawabannya oleh pucuk kepimpinan UMNO kerana hidup-mati atau masa depan mereka bergantung kepada sama ada pengundi bukan Melayu, khasnya Cina, akan terus menyokong BN. 

 Saya sempat bertanya mengenai persoalan ini kepada beberapa orang sahabat dari masyarakat Cina dan hampir semua berkata majoriti pengundi Cina akan menolak MCA dan Gerakan. Mereka akan memberi sokongan kepada DAP dan parti-parti sekutunya termasuk PAS. 

 Jika betul apa yang dikatakan itu, maka harapan BN untuk menang besar ataupun menawan semula negeri-negeri yang ditadbir oleh PR termasuk mempertahankan Perak yang diperolehi melalui saluran istana/mahkamah, amat tipis. 

 Bahkan ada pihak, termasuk dari luar negara seperti Singapura, yang meramalkan PR akan menawan Negeri Sembilan selain memberi tentangan hebat kepada BN di peringkat Persekutuan. 

 Sabah dan Sarawak bukan lagi 'simpanan tetap' BN dan walaupun BN mampu berkuasa semula di kedua-dua negeri itu,  ia akan mengalami kekalahan beberapa kerusi Dewan Rakyat.

 Yang pasti, pihak mana  akan memenangi pilihan raya akan datang ini akan ditentukan oleh penggundi bukan Melayu dan peranan mereka tidak boleh diperkecilkan sama sekali. Undi Melayu sudahpun berpecah-belah manakala undi bukan Melayu semakin kukuh untuk PR. 

 PM Najib Razak mungkin disukai ramai tetapi ia tidak memberi jaminan bahawa rakyat akan menyokong BN. Seperti yang dinyatakan oleh salah seorang pengundi Cina yang saya temui, kerajaan bagi wang kami terima, undi lain cerita.

Monday, November 12, 2012

Diwali Greetings

To my Hindu friends - Happy Diwali.

Friday, November 02, 2012

AES - Kong Cho Ha bermain wayang tongkol

Perdebatan di dalam dan luar Parlimen mengenai pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES)  yang menurut Menteri Pengangkutan Kong Cho Ha (MCA) telah dijadikan isu politik oleh parti pembangkang (Pakatan Rakyat) sebaliknya menunjukkan bahawa Cho Ha sendiri bermain 'wayang tongkol' atas pentas yang bakal roboh. 

Dakwaan atau tuduhan Cho Ha yang cuba mempersalahkan 'musuh politik' Barisan Nasional jelas jauh menyimpang daripada kebenaran.

Ini kerana agensi berita nasional, BERNAMA, yang terletak  bawah seliaan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sendiri melaporkan rata-rata anggota Parlimen, saya ulang rata-rata anggota Parlimen,  bersetuju dengan desakan pelbagai pihak supaya pelaksanaan AES ditangguhkan.

Mereka, iaitu anggota Parlimen, berpendapat kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum sistem itu dilaksanakan.

Saya tak nampak di mana permainan politik parti pembangkang seperti yang dituduh  Cho Ha yang tidak hadir menjawab isu AES ketika dibangkitkan di Dewan Rakyat. Kenapa Cho Ha berbuat demikian hanya dia yang tahu, mungkin dia takut berhadapan dengan kenyataan.

Saya ingin mengutip laporan BERNAMA yang menyatakan bahawa Anggota Parlimen mewakili Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, seorang mantan anggota Kabinet,  berkata pelaksanaan AES dibuat secara mendadak tanpa mendapat pandangan orang ramai dan pakar berkaitan keselamatan jalan raya.

Radzi mahu kerajaan meneliti semula pelaksanaan AES dan mendapatkan pandangan pakar sebelum meneruskannya pada masa depan. 

Saya ingin bertanya Cho Ha sama ada Radzi bermain politik atau menyata sesuatu yang ada kebenarannya?

Ketua Pemuda UMNO yang juga Anggota Parlimen mewakili Rembau, Khairy Jamaluddin telah menyarankan agar kerajaan menangguh pelaksanaan AES yang menurut beliau terdapat terlalu banyak kelemahan dalam pelan pelaksanaannya. Khairy juga tidak bermain politik tetapi menyatakan sesuatu yang benar.

Datuk Bung Mokhtar Radin, Anggota Parlimen mewakili Kinabatangan yang terkenal dengan keceluparan hujahnya di Dewan Rakyat, berkata penangguhan AES perlu bagi membolehkan Kementerian Pengangkutan memberi penjelasan sepenuhnya kepada rakyat berhubung kepentingan melaksanakannya. 

Parti GERAKAN yang merupakan sekutu dalam BN pula menuntut kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES dan menjalankan kajian lanjut memandangkan banyak aduan diterima daripada masyarakat. Mungkin Cho Ha dan rakan-rakannya dalam MCA tidak menerima aduan atau maklum balas daripada masyarakat.  

Seorang pemimpin akar umbi GERAKAN, Cheah Soon Hai memberitahu portal berita popular Malaysiakini bahawa AES mengalami banyak kecacatan dan ia tidak harus dilaksana tergesa-gesa walaupun sistem berkenaan bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.

Beliau menyifatkan langkah kerajaan untuk terus melaksana AES merupakan langkah 'tidak popular' dan parti itu (GERAKAN) menerima banyak aduan daripada orang ramai.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan membuat sebarang keputusan berhubung AES sehingga mendapat penjelasan daripada syarikat yang dipertangungjawabkan untuk melaksanakannya.

Beliau dipetik oleh BERNAMA sebagai berkata bahawa "Selangor ada beberapa cadangan buat mereka (dua syarikat konsesi) untuk diteliti jika kami bersetuju dengan pelaksanaannya, bagi menunjukkan projek itu lebih adil bagi kedua belah pihak."

Adakah Khalid bermain politik seperti yang dituduh oleh Cho Ha?  Tentu tidak.

Umum sedia maklum bahawa negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat memutuskan untuk menangguh pelaksanaan AES. Mereka tidak bermain politik tetapi bertindak atas kepentingan awam sama seperti yang disuarakan oleh anggota-anggota Parlimen mewakili BN.

Yang bersandiwara dan bermain politik adalah Cho Ha dan MCA, sebuh parti yang ditolak oleh pengundi terutama  masyarakat Cina Malaysia pada pilihan raya lepas dan yang besar kemungkinan akan dikuburkan buat selama-lamanya pada pilihan raya ke-13 tidak lama lagi. 

MCA bukan lagi satu aset kepada BN tetapi satu beban kerana majoriti masyarakat Cina telah menolak parti itu sebagai wadah untuk menyuarakan kepentingan  mereka.

Cho Ha boleh terus 'berlakon' atas pentasnya yang bakal roboh itu.

     

Monday, October 22, 2012

We are tired of bad politicians, Mr Prime Minister

Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak said that the Malay community has grown tired of the DAP (Democratic Action Party).

Speaking at the MCA general assembly Sunday, Najib said he agreed with MCA that DAP leaders have only been consistent in preaching multiracialism, but have never shown this to be true. Thus, the Malay community has grown tired of the Chinese based  party.

It is expected of Najib to say that bearing in mind the 13th general election is fast approaching.

However, the bigger picture is that Malaysians are growing tired and fed-up with 'bad' politicians, be it in the Barisan Nasional or the Pakatan Rakyat. There are 'bad' politicians in UMNO, MCA, MIC, GERAKAN, PPP,  DAP, PAS, PKR and those in Sabah and Sarawak.

We are fed-up with politicians who are willing to act dishonestly in return for money or personal gain.  

We are tired of politicians who are evil and morally depraved, rotten or putrid, dishonest and fraudulent. We are sick with politicians who are so intense with selfish desire for wealth and power.

Yes, the Malay community may be tired of the DAP, but don't forget that more Malaysians are fed-up with corrupt and bad politicians.        

Sunday, October 14, 2012

KIMMA dan jawatan pentadbiran

Semua pihak yang menyokong atau bersama-sama dengan kerajaan akan meminta jawatan termasuk dalam pentadbiran. Terkini Kongres India Muslim Malaysian atau KIMMA berbuat demikian. Sekurang-kurangnya KIMMA mahu jawatan timbalan menteri.

Tindakan KIMMA sama saja dengan pertubuhan politik lain yang bergabung atau menyokong Barisan Nasional. Mereka melihat perjuangan sebagai landasan untuk meminta atau mendapatkan jawatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak, ketika berucap merasmikan mesyuarat KIMMA dan sebagai jawapan kepada permintaan KIMMA itu, bertanya siapakah Ketua Setiausaha Negara (KSN)?

Semua orang tahu KSN Dr Ali Hamsa adalah seorang India Muslim dan merupakan penjawat awam 'bukan Melayu' yang pertama diberi kepercayaan dan tanggungjawab mengetuai perkhidmatan awam Malaysia selain selaku setiausaha kepada Kabinet. Ia adalah jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam.

Mungkin KIMMA tidak menyedarinya atau masih belum berpuas hati sehingga meminta jawatan timbalan menteri. Siapa pula yang berada dalam pemikiran kepimpinan KIMMA untuk mengisi jawatan yang diminta itu? Mungkinkah presiden KIMMA sendiri yang boleh dilantik melalui pintu Dewan Negara? Hanya KIMMA yang mampu menjawabnya.

Kepada KIMMA dan masyarakat India Muslim seluruhnya di Malaysia, penyertaan rakyat Malaysia keturunan India Muslim ataupun keturunan India dalam barisan kepimpinan negara wujud sudah lama. Malah, ada yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Bukan rahsia yang  Tun Dr Mahathir Mohamad adalah seorang keturunan India Muslim.

Selain itu, beberapa orang yang pernah menjawat jawatan menteri juga berketurunan India Muslim atau mempunyai darah keturunan India Muslim, antaranya Abdul Kader Sheikh Fadzir, Anwar Ibrahim dan sekarang Nor Mohamed Yaakop.

Oleh itu,  kenapa KIMMA bersuara sedemikian sedangkan ia telahpun dilakukan di negara ini. 

Apa yang dapat dikatakan hanyalah pilihan raya dah dekat, minta sajalah!


Sunday, October 07, 2012

Bila gajah dengan gajah bertelagah....

Malam tadi pendakwah terkenal Dr Zakir Abdul Karim Naik mula diwawancara oleh TV Al-Hijrah yang mencakupi banyak isu dan perkara yang bersangkut-paut dengan umat dan dunia Islam.

Beliau menyentuh dan menjawab semua pertanyaan dengan tegas dan berani tanpa mengaitkan soal politik kepartian tetapi yang berkaitan kepimpinan Islam. Dr Zakir beberapa kali menegaskan yang dia bukan orang politik tetapi seorang pendakwah yang bebas daripada pengaruh politik. 

Dalam hubungan yang bersangkutan Malaysia, Dr Zakir hanya menyebut nama mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang pertama kali ditemuinya pada satu majlis di Abu Dhabi. Dr Zakir berkata beliau tidak tahu 'siapa' selepas Dr Mahathir, seorang pemimpin Islam yang disifatkannya sebagai bijak, berwawasan dan berpandangan jauh.
 
Beliau berharap pemimpin Islam selepas Dr Mahathir akan meneruskan apa yang dimulakan oleh mantan PM itu tetapi menambah bahawa beliau secara jujurnya tidak mengenali pemimpin Malaysia selepas Dr Mahathir.

Menjawab pertanyaan mengenai negara majmuk yang majoriti penduduknya beragama Islam, umpamanya 60 peratus Muslim dan selebihnya bukan Islam, Dr Zakir berkata umat Islam mesti bersatu kerana perpecahan hanya akan merugikan mereka.

Sebagai contoh, jika wujud dua 'puak' yang berlawanan pendirian politik, katakan puak "A" dan puak "B" dalam negara berkenaan, maka pihak yang akan menentukan kemenangan mana-mana puak itu ialah 'puak' minoriti yang bukan beragama Islam. Oleh itu, kedua-dua puak Muslim yang bertelagah itu akan berusaha penuh untuk mendapat sokongan puak minoriti dan mereka  akan sebolehnya tunaikan apa yang diminta semata-mata untuk meraih sokongan.

Dalam keadaan sebegitu, majoriti rakyat yang beragama Islam pada hakikatnya bergantung kepada sokongan minoriti untuk berkuasa semata-mata kerana umat Islam tidak bersatu. Inilah realiti yang dinyatakan oleh Dr Zakir Naik.

Kenyataan beliau itu, walaupun tidak merujuk kepada mana-mana negara tertentu, jelas membayangkan keadaan di Malaysia. Ia adalah satu kenyataan yang melibatkan dua buah pertubuhan politik Islam terbesar - UMNO dan PAS - yang masing-masing bergantung kepada sokongan puak minoriti untuk menang.

 

Tuesday, October 02, 2012

Kaji selidik tak boleh dipercayai sangat

Kebelakangan ini beberapa pihak termasuk universiti mengadakan kaji selidik atau tinjauan rambang mengenai sokongan rakyat kepada parti-parti politik, khususnya parti yang mentadbir Kerajaan Persekutuan ataupun Kerajaan-kerajaan Negeri.

Kaji selidik itu di buat sama ada melalui panggilan telefon ataupun secara bersemuka. Ia biasanya tidak melibatkan ramai orang tetapi sekadar peratusan kecil. Oleh itu, kaji selidik sedemikian tidak boleh dijadikan kayu pengukur mengenai sokongan rakyat sama ada kepada Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat.

Saya sendiri menerima beberapa 'pertanyaan' oleh mereka yang menjalankan kaji selidik itu, ada yang melalui telefon talian tetap ataupun selular dan ada juga melalui khidmat pesanan ringkas atau SMS.

Ada soalan yang dibuat secara terus terang, iaitu pada pilihan raya akan datang ini, nak sokong BN atau PR, dan ada yang dibuat secara halus iaitu sama ada saya puas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri Selangor (PR).

Kepada kedua-dua soalan sedemikian, saya tidak memberi jawapan sebenarnya kerana parti mana yang nak disokong adalah hak dan satu rahsia, orang lain tidak boleh ambil tahu. Jadi, jawapan yang saya berikan tiada kaitan dengan soalan. 

Dalam hubungan ini, saya tabek jentera pilihan raya BN Selangor yang begitu cergas 'mengambil berat' mengenai masalah rakyat. Saya dan rakyat Selangor yang berdaftar sebagai pengundi menerima SMS memberitahu di mana tempat untuk mengundi. Selain itu, mereka mengirim SMS mengucapkan selamat hari lahir,  selamat berpuasa dan selamat menyambut aidil fitri. Jentera BN Selangor amat perihatin sejak kalah pada pilihan raya 2008 yang lalu.  

Terima kasih sajalah yang dapat diucapkan kepada mereka.