Depa dah mola dah! Ma'af kerana menggunakan loghat utara Semenanjung Melayu yang maksudnya mudah difahami.
Saya bermula dengan demikian kerana ingin merujuk kepada peperangan yang sedang berlaku di kawasan pilihan raya Parlimen Baling, Kedah. Usaha pihak tertentu nak membunuh kerjaya politik mantan pensyarah dan pendakwah yang cantik manis, Dr Mashitah Ibrahim cukup hebat.
Gerakan yang bermula hampir dua tahun lalu itu semakin hebat dan Dr Mashitah, yang juga Setiausaha Parlimen Di Jabatan Perdana Menteri, dihujani dengan bermacam tuduhan dan kritikan.
Pendek kata, Dr Mashitah dituduh atau didakwa tidak menyempurnakan tugas dan amanah selaku wakil rakyat dengan baik. Prestasi atau hasil kerja Dr Mashitah dikatakan kurang memuaskan.
Dr Mashitah, 43, terpaksa mengeluarkan kenyataan yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia untuk menafikan tuduhan tersebut. Keesokan harinya, pemimpin Wanita UMNO Baling membidasnya kerana 'mendedahkan' masalah dalaman parti melalui akhbar. Nampaknya, usaha nak menjatuhkan Dr Mashitah mendapat sokongan ketua wanita berkenaan tetapi bukan keseluruhan AJK Wanita Bahagian Baling.
Setahu saya, orang yang benar-benar mengidam untuk menjadi calon dan tidak lokek untuk menabur bakti di Baling tidak lain dan tidak bukan anak muda bernama Abdul Azeez Abdul Rahim, pengerusi BIRO PUTERA UMNO.
Saya menekankan BIRO Putera UMNO kerana itulah tarafnya - Biro dan bukan bertaraf 'sayap' UMNO seperti Puteri UMNO. Biro ini samalah tarafnya dengan biro-biro lain di bawah Pergerakan Pemuda UMNO, tidak lebih daripada itu.
Abdul Azeez yang berketurunan India-Muslim itu teringin sangat menjadi wakil rakyat dan Baling menjadi pilihannya. Azeez mungkin menyangka bahawa dia seorang yang popular dengan kempen-kempen tertentu seperti membawa rombongan yang kononnya 'perempit' membuat penerjunan berpayung di Khutub Utara dan kerja-kerja 'kebajikan' membantu penagih dadah. Kita menghargai usaha tersebut tetapi ia bukanlah satu petunjuk bahawa kita popular dan boleh diterima untuk menjadi wakil rakyat. Pilihan raya bukan satu perkara yang boleh diambil mudah.
Perlu diingatkan bahawa Baling bukan satu kawasan atau kubu kuat UMNO. Kekuatan pengundi di Baling setara antara UMNO dan PAS dan pemilihan wakil rakyatnya saling bersilih-ganti. Jika Azeez bertanding di situ, kemungkinan besar wakil PAS yang akan dipilih.
Di Kuala Lumpur, pelobian hebat sedang berlaku dalam rebutan untuk menjadi calon UMNO untuk kerusi Parlimen Titiwangsa. Kawasan undi ini dikira nadi kekuatan UMNO memandangkan ia merangkumi dua buah perkampungan Melayu di Kuala Lumpur, iaitu Kampung Baru dan Datuk Keramat.
Wakil rakyat sekarang, Datuk Astaman Abdul Aziz, anak mantan ketua Wanita UMNO yang saya hormati, Tan Sri Aishah Ghani, telah dipinjamkan dari bahagian Wangsa Maju dan beliau dikatakan sedang menghadapi tekanan untuk diketepikan sedangkan dia sendiri bersedia untuk mempertahankan kerusi itu. Astaman dikatakan 'orang luar' sedangkan dia adalah anak jati Kampung Baru. Oleh kerana dia bukan dari bahagian Titiwangsa, maka dia dianggap oleh segelintir ahli dan pemimpin UMNO Titiwangsa sebagai orang luar. Sepatutnya setiap calon yang dikemukakan oleh UMNO hendaklah dilihat sebagai orang UMNO bukan sebaliknya.
Ramai yang teringin menjadi wakil rakyat Titiwangsa. Nama-nama besar dalam bahagian Titiwangsa, Bukit Bintang, Wangsa Maju dan Segambut telahpun mengerah askar masing-masing untuk melobi dan dalam masa yang sama memperkecil-kecil dan merendah-rendahkan 'pencabar' masing-masing.
Kerusi Titiwangsa menjadi idaman Datuk Abdul Azim Mohd Zabidi dari bahagian Bukit Bintang, Ahmad Zuhri Datuk Idris, ketua Pemuda Titiwangsa, Datuk Norza Zakaria dari Wangsa Maju, Datuk Kamaruddin Ambok dari Segambut, Datuk Abdul Aziz Jamaluddin dari Titiwangsa dan Datuk Johari Ghani juga dari Titiwangsa. Turut dikatakan berminat mantan wakil rakyat Titiwangsa Datuk Sulaiman Mohamad.
Dari senarai di atas dan sekiranya Astaman tidak dipilih semula untuk mempertahankan kerusi Titiwangsa, saya berpendapat calon paling sesuai ialah Datuk Johari Ghani, mantan pengarah urusan KFC dan kini pengarah urusan CSI diikuti oleh Datuk Abdul Aziz Jamaluddin yang juga pengerusi JK Kariah Masjid Kampung Baru.
Apapun, saya percaya BN melalui UMNO boleh mempertahankan kerusi Titiwangsa walaupun akan menghadapi saingan hebat daripada PAS kerana PKR atau Parti KeAdilan Rakyat tidak akan mendapat tempat di hati rakyat.