Seorang sahabat bertanya sama ada jawaban yang diberi secara lisan atau bertulis di Parlimen oleh seseorang menteri itu tanggungjawabnya atau pegawai yang menyediakan jawaban. Beliau ingin tahu kebenaran sama ada apa yang dinyatakan oleh Kementerian Kewangan berkaitan jawaban Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai isu 1MDB yang tidak tepat atau tidak betul itu adalah kesilapan pegawai.
Saya diminta memberi sedikit latar belakang berkaitan soalan dan jawaban pihak kerajaan di Parlimen kerana pernah terlibat dalam urusan berkenaan semasa berkhidmat di Pejabat Menteri, Jabatan Perdana Menteri. Benar, saya pernah terlibat dalam urusan penyediaan dan semakan jawaban oleh pihak kerajaan, sama ada Menteri, Timbalan Menteri atau pada ketika itu, Setiausaha Parlimen.
Dalam pengalaman yang saya lalui, para pegawai terlibat akan dipanggil bermesyuarat yang lazimnya di pengerusikan oleh Setiausaha Bahagian (Kabinet), Jabatan Perdana Menteri. Kami akan meneliti setiap soalan yang diterima, mendapatkan jawaban daripada jabatan atau agensi berkaitan, meneliti jawaban dan mencapai kata sepakat berkaitan menteri mana yang akan menjawabnya.
Selepas itu, deraf jawaban itu akan diserahkan kepada menteri berkenaan untuk mendapat persetujuan dan kelulusan. Sekiranya menteri tidak berpuas hati, dia akan meminta maklumat tambahan atau menolak apa-apa maklumat yang difikirkannya tidak perlu. Para pegawai kemudian akan mendapatkan maklumat tambahan yang diminta dan sekali lagi menyerahkan deraf jawaban kepada menteri untuk kelulusan. Begitulah kaedah dan proses yang kami lalui (semasa saya bertugas) dan saya percaya ianya masih diteruskan hingga sekarang.
Apabila memberi jawaban di Parlimen, sama ada Dewan Rakyat atau Dewan Negara, menterilah yang bertanggungjawab sepenuhnya, bukan pegawai atau pihak lain yang menyediakan jawaban itu. Menteri mempunyai kekebalan selaku Ahli Parlimen sedangkan pegawai tidak. Oleh itu, menteri tidak boleh lari daripada tanggungjawab sepenuhnya keatas jawaban yang diberikan kerana dia sendiri yang meluluskannya.
Oleh itu, saya tidak dapat terima alasan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan yang cuba menuding jari kepada pegawai atau pihak ketiga apabila Datuk Seri Najib memberi jawaban yang tidak benar di Dewan Rakyat. Apa yang dapat saya katakan ialah mungkin ada pegawai yang cuba mengampu atau yang diarah untuk memikul kesilapan itu. Perkara sedemikian tidak harus berlaku kerana yang bertanggungjawab ialah Najib, bukan pegawai atau pihak lain. Najib seharusnya berani menerima kenyataan dan mengakui kesilapan, bukan cuba mengalihkannya kepada orang lain.
Tidak guna menjadi pemimpin sekiranya tidak berani memikul tanggungjawab.
No comments:
Post a Comment