Thursday, April 02, 2015

Najib kepanasan diserang Mahathir?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak sudah pasti kepanasan apabila menghadapi serangan paling tajam oleh mantan bosnya, Tun Dr Mahathir Mohamad. Sudah tentu ramai yang menyokong apa yang dibangkitkan oleh Tun M dan tidak kurang juga yang memihak kepada Najib atas faktor-faktor tertentu.

Yang jelas ialah serangan kali ini amat serius, bak kata orang hentam habis kerana ia membabitkan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu. Ramai orang yang dapat menyangka dan mengandaikan apa yang dimaksudkan oleh Tun M.

Kes Altantuya bukan sahaja diikuti oleh rakyat Malaysia dan Mongolia tetapi seantero dunia. Ia kes berprofil tinggi melibatkan penggunaan peletup C4 yang hanya diguna oleh Angkatan Tentera. Kes itu membabitkan pembelian kapal selam Scorpene dan pada ketika itu Najib adalah Menteri Pertahanan. Dua orang anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dituduh membunuh Altantuya bertugas mengawal Najib.  Adakah ia satu kebetulan?

Tun Mahathir berkata kenyataan salah seorang daripada anggota UTK yang didapati bersalah membunuh Altantuya, iaitu Sirul Azhar Umar bahawa dia hanya menjalankan arahan ketika membunuh Altantuya harus disiasat.

Siapa yang nak siasat atau berani siasat? Adakah IGP Tan Sri Khalid Abu Bakar berani membuka semula kertas siasatan seperti dia begitu ghairah mengarah tangkapan demi tangkapan keatas mereka yang bersuara atau terlibat dalam penganjuran perhimpunan-perhimpunan aman dan anggota media yang membuat laporan tertentu. Jika laporan salah dan tidak benar, ada cara untuk menanganinya,  bukan dengan menangkap mereka berpandukan Akta Hasutan.

Berbalik kepada kes Altantuya, Tun M berkata ia melibatkan nyawa manusia dan "amatlah zalim" jika Sirul dibiar menjalani hukuman mati hanya kerana menjalankan arahan.

Katanya rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi arahan. Sebagai pengawal peribadi Najib, dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang memberi arahan. dalam hubungan ini, pernyataan berkanun (ST) pertama bekas penyiasat persendirian, mendiang P. Bala, yang diupah oleh Abdul Razak Baginda (bekas orang kuat  Najib), harus diambil kira. Banyak perkara dan butir terperinci berada dalam ST itu. 

Reaksi Najib sebelum ini apabila diajukan soalan itu amat ringkas. "Merepek."

Tetapi, tegas Tun M, selain daripada berkata Sirul merepek, tidak ada siasatan yang dibuat.  Bukankah ini sesuatu yang serius dan pihak Peguam Negara sepatutnya mengarah PDRM membuka semula kertas siasatan. Tetapi ianya tidak berlaku dan menimbulkan lebih banyak tanda tanya. 

Kes pembunuhan Altantuya akan terus hidup selagi keadilan sebenar tidak berlaku. Benar, dua orang anggota UTK itu dibukti bersalah membunuh dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah. Tetapi mereka hanya mengikut arahan atau menurut perintah orang atasan. Adakah adil jika orang yang memberi arahan itu terus terlepas daripada hukuman dan bersenang lenang?

Kita hanya mampu mengagak siapa yang memberi arahan dan ia tinggal sebagai satu agakan. Oleh itu, Sirul perlu memberitahu dunia siapa yang memberi arahan tersebut. Semoga Sirul selamat di bumi Australia dan berani mendedah kebenaran.


3 comments:

Mr. O said...

Dah maghrib baru nak bagi khutbah

Unknown said...

Maghrib di KL tapi khutbah di Islamabad. Kita berada pada era dunia tanpa sempadan.

Mantan Menteri Kewangan dan pada satu ketika dahulu seteru politik Tun Mahathir, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah pun memahami apa yang dibangkitkan itu. Tidak timbul soal maghrib atau zohor mahupun subuh.

Tengku Razaleigh berkata Tun Mahathir hanya menuntut penjelasan ke atas beberapa persoalan yang dilontarkannya.

Datuk Seri Najib perlu menjawab dan mendedahkan kebenaran.

Memandangkan ia persoalan yang penting, tak timbul sama ada dah maghrib baru nak bagi khutbah.

akupun said...

igp nak buka balik ertas siasatan? emhh...dia tu lepak depan pc jaga teitter boleh lah..