Monday, July 08, 2013

MENARA UMNO PULAU PINANG - MENIMBULKAN BANYAK TANDA TANYA



Setelah lama berehat, saya kembali menulis dan topik pertama yang menjadi pilihan ialah isu pemilikan Menara UMNO Pulau Pinang.

Banyak orang termasuk media memperkatakan mengenai tragedi yang menimpa dua orang akibat runtuhnya penebat kilat yang terletak di atas Menara UMNO di Jalan Macalister, George Town. Akibat tragedi itu, ramai yang terperanjat mengetahui bahawa Menara UMNO bukan milik UMNO dan parti itu hanya menyewa dua lantai atau tingkat di menara 21 tingkat itu.

Bagi saya, bangunan UMNO asal  meninggal banyak kenangan dan pengalaman terutama berkaitan sukan badminton. Di dalam Dewan UMNOlah terdapat satu-satunya gelanggang tertutup badminton milik Melayu yang menjadi "tuan rumah" bukan sahaja kepada Persatuan Badminton Melayu tetapi beberapa pasukan badminton untuk berlatih dan menganjur kejohanan.

Di situ juga terdapat sebuah kedai "borong" milik Pernas Edar yang bertujuan membantu peniaga atau peruncit Melayu mendapat bekalan selain menempatkan dewan mesyuarat dan pejabat UMNO. Kali terakhir saya bermain badminton di Dewan UMNO sekitar tahun 60-an apabila menyertai kejohanan anjuran Persatuan Badminton Melayu (kategori bawah umur 18 tahun).

Bangunan asal telah diroboh dan digantikan dengan Menara UMNO. Yang menjadi tanda tanya ialah kenapa pemilikan Menara UMNO bukan milik parti itu sedangkan bangunan asal yang dikenali sebagai Rumah UMNO atau Dewan UMNO adalah milik parti Melayu itu 100 peratus. Apa yang berlaku sehingga parti itu "hilang" pemilikan ke atas Menara UMNO?

Sesungguhnya berita mengenai bencana itu menimbulkan pertanyaan mengenai bangunan setinggi 21 tingkat itu.

Siapa sebenarnya pemilik bangunan yang dibina atas tanah wakaf yang diamanahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang selaku pentadbir. Apa hubungan antara pemilik bangunan dengan tanah wakaf dan sama ada pembinaan bangunan itu mengikut syarat dan hukum-hakam yang berkaitan dengan harta  wakaf umat Islam.

Pewakif yang mewakafkan tanah seluas setengah ekar itu tentu mempunyai niat tertentu apabila mewakafkan tanahnya itu. Pusara atau kubur pewakif dan beberapa kubur lain yang dipercayai keluarganya, masih terdapat di situ. 

Apa peranan atau tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang apabila membenarkan pembinan di atas tanah wakaf itu? Persoalan ini pun memerlukan jawaban.

UMNO Perhubungan Negeri Pulau Pinang pula mesti memberi penjelasan kenapa bangunan asal milik parti itu  diroboh dan digantikan dengan bangunan 21 tingkat yang akhirnya tidak menjadi milik UMNO.

Setahu saya, bangunan asal UMNO itu dibangunkan hasil kutipan derma dan usaha sebuah jawatankuasa UMNO Bahagian Pulau Pinang. Jawatankuasa Pungutan Derma untuk membina Rumah UMNO dipengerusikan oleh Kapten (VF) Mohamed Noor dengan  Tan Sri Syed Abbas Alhabshee selaku setiausaha dan Tan Sri Ismail Hashim selaku bendahari (kemudian diganti oleh Osman Ismail). Jawatankuasa itu ditubuhkan tidak lama selepas Merdeka.

Antara usaha yang dilakukan oleh Jawatankuasa itu ialah penjualan tiket cabutan bertuah  khusus untuk mengumpul dana selain menyertai penganjuran "pesta" di "New World Park" yang mirip Pesta Pulau Pinang sekarang.  Penjualan tiket berkenaan  mendapat sambutan ekoran daripada tarikan hadiah utamanya, iaitu sebuah kereta Austin A-40 selain hadiah motosikal dan barangan kemas. 

Pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa berkenaan tidak kenal penat dan lelah untuk turun padang dengan mengunjungi setiap cawangan di bahagian Pulau Pinang untuk menjual tiket cabutan bertuah. Begitulah usaha mereka untuk mendapat dana bagi membina bangunan UMNO.

Jawatankuasa itu berjaya memperolehi keuntungan sebanyak RM38,000.00 dan wang itulah yang dijadikan modal membina bangunan UMNO di Jalan Macalister. Bangunan itu adalah milik UMNO sepenuhnya.

Saya kurang pasti bagaimana UMNO Bahagian Pulau Pinang boleh mendirikan bangunan di atas tanah wakaf seluas setengah ekar itu.  Pihak Lembaga Wakaf, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, yang turut menyewa ruang pejabat di Menara UMNO,  perlu memberi penjelasan mengenai perkara ini. 

Menara UMNO yang ada sekarang direka bentuk oleh firma arkitek TR Hamzah and Yeang dan mula dibina pada tahun 1995 dan siap pada bulan Mac 1998. Pemaju dan pemilik  bangunan itu ialah South East Asia Development Corporation Berhad. (Apakah TR Hamzah merujuk kepada seorang tokoh veteran UMNO?) 

Saya tidak tahu sama ada UMNO menjual bangunan asal kepada syarikat berkenaan atau tidak kerana syarikat itu menjadi pemaju dan pemilik Menara UMNO. Jika berlaku sebarang urusan jual-beli, sudah tentu ada rekod dan buktinya. Mungkin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyiasat persoalan ini.  

Pemilikan Menara UMNO kemudian berpindah milik kepada Amanah Capital Malaysia dan kemudian kepada JKP Sdn. Bhd.

Apa yang menarik perhatian saya ialah pengerusi JKP Sdn Bhd sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu ialah Datuk Zainal Abidin Osman, iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang. Zainal meletak jawatan pada 15 April untuk bertanding selaku calon BN pada PRU-13 tetapi kalah, buat kali kedua selepas kalah pada PRU-12. 

Apa kaitan antara JKP Sdn  Bhd  dan UMNO? Ini yang menjadi tanda tanya.

Tragedi Menara UMNO sebenarnya membuka mata mengenai beberapa persoalan termasuk pemilikannya, apa terjadi kepada harta UMNO Bahagian Pulau Pinang yang membina bangunan asal dan kedudukan tanah wakaf yang diatasnya terdiri bangunan 21 tingkat itu.





7 comments:

Anonymous said...

Saudara

Saya tidak jelas motif saudara menanyakan samada TR Hamzah merujuk kpd seorang tokoh UMNO. Sememangnya Tengku Robert Hamzah adalah adik kepada YBM Tg Razaleigh Hamzah. Tetapi connotation saudara tidak lengkap dan tidak mustahil ia boleh menjadi bahan fitnah.

Adakah saudara rasa peranan TRH&Y tersebut mirip peranan CIMB, ECM Libra, Schomi mahupun Kencana?

Terima kasih.

Syed Imran Syed Ahmad said...

Itulah motifnya. Nak tahu dan terima kasih kerana memberitahu siapa itu TR Hamzah. Ramai yang tidak tahu dan sudah tentu nama itu membangkitkan tanda tanya.

Saya tak perasanpun berkaitan CIMB, ECM Libra, Scomi mahupun Kencana walaupun semuanya ada kaitan dengan tokoh UMNO.

Anonymous said...

Tuan Syed, bagunan Umno telah dibinah dgn usaha ahll2 Umno sebagai yg disebut oleh Tuan Syed atas tanah yg diwakaf khas untok Umno oleh Hamid Khan khuburnya telah di adakan dihadapan bagunan itu. Dr Ibrahim sebagai TKM Pg pindah hakmilik tanah itu kpd Majlis Ugama dan dapat sebuah co yg diketuai oleh saorang Dato dari Bukit Mertajam untok membina bagunan yg sedang ada dan di miliki oleh co tersebut. Ini pandai2 mereka. Selapas itu bagunan telah di jual dgn untong yg besar. Jadi Tapak itu dan bagunan itu bukan hak milik Umno walau pun bangunan itu di namakan sebagai Bgn Umno. Saya rasa amat sedeh sebab mah saya telah kadai harta untok derma kpd Umno pada masa itu. These are the Umno leaders that we have at the moment. Cakap tah serupa bikin, Tuan Syed.

Syed Imran Syed Ahmad said...

Terima kasih kerana mengingatkan saya akan nama pewakif, allahyarham Hamid Khan.

Saudara menyebut nama Ibrahim Saad, mantan timbalan ketua menteri Pulau Pinang dan nama itu mengembalikan ingatan saya kepada usaha untuk meroboh masjid Simpang Enam dan digantikan dengan bangunan pencakar langit. Masjid akan diberi satu tingkat, iaitu masjid dalam bangunan yang tidak akan memperlihatkan simbol dan rekabentuk sebuah masjid.

Pewaris hamba Allah yang mewakafkan masjid Simpang Enam membawa kes ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan mereka menang manakala Majlis Agama Islam kalah.

Masjid Simpang Enam kekal ditapak asalnya di persimpangan Jalan Macalister dan Jalan Penang (Penang Road).

Malangnya, wakaf Hamid Khan untuk UMNO mendirikan "Rumah UMNO" tidak dapat diselamatkan dan hari ini, UMNO bukan lagi pemilik Menara UMNO dan tanah yang diwakafkan kepada parti itu.

Semuanya berlaku kerana orang yang diamanahkan untuk memelihara dan mempertahan harta yang diwakafkan telah melanggar syarat wakaf.

Teh Ewe Leng said...

Tuan Syed, we will never get answers when things like these happen.

Holly said...

Awesome!

Anonymous said...

Assalamulaikum. Saya ada cerita sebenar. Tanah yang berdirinya Menara Umno PP sekarang BUKANNYA TANAH WAKAF. Ia adalah tanah AMANAH (Trust) yang telah disahkan melalui Mahkamah British lagi, TRUSTEE yang pertama adalah Tuan Majoodsaw 1861, kemudian diturunkan kepada Ibrahim Khan 1893 dan kemudian pula HAMID KHAN 1907 dan yang TRUSTEE yang terakhir adalah Nizam Khan dan Malik Khan pada 1951. TANAH INI TELAH DIPAJAK KEPADA PERSATUAN MELAYU PULAU PINANG BAGI KEGUNAAN APA APA KEBAJIKAN MELAYU DAN ISLAM PULAU PINANG PADA TAHUN 1952 OLEH HAMID KHAN SENDIRI DAN PEMEGANG TRUSTEE, NIZAM KHAN DAN MALIK KHAN ( anak Hamid Khan).

Perjanjian LEASE (pajakan) dibuat di antara TRUSTEE dan TENANTS ( S.M. Zainul Abidin, Captain Mohamed Noor bin Mohamed, Hj. Mansoor JP, dan S.A. Jailaini) pada 18 Februari 1952 MEWAKILI TUNKU ABD. RAHMAN) di hadapan Stephen Matthews Killam (Advocate and Solicitor of Supreme court of the Federation of Malaya).

TANAH INI DIRAMPAS OLEH KERAJAAN, saya akan sambung kronologi ini, SENTIMEN disebalik PERJANJIAN ini, siapakah HAMID KHAN dengan TUNKU ABDUL RAHMAN dan sebagainya. Saya juga mempunyai salinan TRUST (AMANAH) dan salinan PERJANJIAN PAJAKAN KEPADA PENYEWA TANAH (TENANT=UMNO)..... bersambung...

Cicit Hamid Khan