Friday, March 05, 2010

Bebaskah wakil rakyat bebas?

(Gambar: Parlimen - lambang amalan demokrasi - yang dilihat dari arah Galeria Seri Perdana)

Kebelakangan ini satu demi satu wakil rakyat isytihar keluar parti yang mereka wakili untuk dipilih sebagai wakil rakyat dan bertukar peranan sebagai wakil rakyat bebas.

Jika dilihat dari sudut demokrasi, itu adalah hak mereka, tetapi jika dilihat dari sudut realiti atau keadaan sebenar, mereka mengkhianati rakyat yang memilih atau menyokong mereka dan parti yang diwakili.

Perbuatan melompat parti atau meninggalkan parti, tak kira sama ada parti yang memerintah atau yang menjadi pembangkang, tidak seharusnya disokong kerana yang memilih mereka adalah rakyat, oleh itu mereka seharusnya kembalikan hak untuk menentukan siapa yang layak mewakili rakyat kepada rakyat.

Tetapi, budaya atau sifat sedemikian begitu asing kepada mereka yang bergelar wakil rakyat kecuali dengan sebab-sebab tertentu seperti yang dilakukan oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail, iaitu untuk membuka jalan kepada suaminya, Anwar Ibrahim. Itupun boleh dikatakan satu perbuatan yang bukan sahaja mengkhianati pemilihan rakyat tetapi berkepentingan sendiri.

Kemunculan wakil rakyat bebas, sama ada di Dewan Rakyat (Parlimen) atau Dewan-Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan perkara baru. Bezanya, dahulu ia melibatkan satu dua orang wakil rakyat tetapi sekarang, ia seolah-olah menjadi satu arah aliran yang bakal mencatat sejarah.

DUN Pulau Pinang dalam tahun-tahun lewat 60-an hingga lewat 70-an menyaksikan seorang wakil rakyat bebas yang terus mendapat sokongan rakyat. Mendiang C.Y. Choy yang satu ketika merupakan orang kuat Parti Buruh (Labour Party) bukan sahaja sukar ditumbang oleh pentadbiran BN yang diketuai oleh Tun Dr. Lim Chong Eu, malah dia dihormati lawan kerana memperlihatkan keberkesanannya selaku wakil rakyat dalam erti kata sebenarnya.

Mendiang Choy benar-benar berperanan sebagai ADUN Bebas dengan menyuarakan hasrat rakyat dan menyokong usaha-usaha pentadbiran yang memberi faedah kepada rakyat. Setiap kali dia bangun untuk berucap dalam DUN, semua orang mendengarnya dengan penuh minat. Dia tidak bermain politik murahan tetapi mengutamakan masalah rakyat.

Keberkesanan C.Y. Choy selaku ADUN Bebas telah dihargai oleh Kerajaan Negeri BN Pulau Pinang dengan menamakan semula sebatang jalan dalam kawasan undinya sempena namanya, itu Jalan C.Y. Choy.

Di Selangor pun wujud seorang wakil rakyat bebas yang berjaya. Warga Emas di Selangor dan mungkin di Malaysia tentu kenal akan nama Allahyarham Cik Gu Jabar, ADUN Bebas yang mewakili Kampung Laut beberapa penggal.

Peranan dan populariti Allahyarham hampir sama dengan mendiang C.Y. Choy, iaitu mereka bertindak dan berperanan sebagai wakil rakyat sejati. Allahyarham Cik Gu Jabar bukan tidak dipancing oleh UMNO untuk memihak kepada BN dengan bermacam tawaran, tetapi dia menolaknya. Dia bukanlah seorang wakil rakyat yang mengejar jawatan, pangkat dan kedudukan seperti sebilangan wakil rakyat yang ada hari ini.

Itu dahulu. Serkarang lain pula ceritanya.

Wakil-wakil rakyat yang keluar parti untuk menjadi wakil bebas berbuat demikian kerana beberapa sebab, yang ketara soal peribadi, jauh hati, kecewa dan mungkin kerana tidak mendapat sesuatu yang dihajati. Saya percaya kekecewaan adalah faktor utama.

Kepada mereka yang memilih untuk menjadi wakil rakyat bebas dan tidak seharusnya "mesra" kepada mana-mana parti politik, harus sedar akan peranan sebagai wakil rakyat bebas, iaitu bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pihak.

Sebagai Ahli Dewan Rakyat atau ADUN Bebas, mereka seharusnya bersikap bebas, iaitu menyokong apa-apa dasar atau tindakan pemerintah yang memberi faedah kepada rakyat dan menentang perkara-perkara yang difikirkan tidak memberi faedah atau menyusahkan rakyat. Mereka harus berani bertindak.

Sebagai wakil rakyat bebas, mereka tidak terikat dengan arahan whip parti seperti wakil-wakil rakyat yang mewakili parti, umpamanya BN dan Pakatan Rakyat.

Mereka juga tidak terbatas mematuhi dasar dan pendirian parti kerana mereka bebas daripadanya. Mereka boleh mengundi mengikut naluri hati dan tidak terpaksa mengikut arahan whip parti seperti yang dihadapi oleh wakil rakyat berparti.

Dalam hubungan ini, saya tidak setuju dengan pendirian beberapa orang wakil rakyat pembangkang yang keluar parti menjadi wakil bebas "mesra BN". Bebas semestinya bebas, bukan separa bebas seperti yang dilakukan oleh wakil rakyat bebas "mesra BN". Ini kerana mereka tidak terikat dengan arahan whip parti kerana mereka tidak berparti dan dengan itu, di mana letaknya "kemesraan" yang dimaksudkan?

Jika tidak tahu, maka tindakan mereka keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas boleh di samakan dengan perbuatan melompat parti dan mengkhianati sokongan rakyat.

Sang katak yang pandai melompat tinggipun tahu di mana ia hendak mendarat, tetapi apabila melompat melintasi jalan, ia boleh lenyap dilenyek di tengah-tengah jalan, maka berakhirlah riwayat si katak lompat itu.

14 comments:

AFRAR YUNUS said...

salam pak tuan
dirasakan perlu ada referendum yg mana pengundi atau 'rakyat' kawasan itu boleh memberikan satu cadangan atau kuasa semula untuk sesuatu perkara. dalam hal ini memilih semula wakil rakyat mereka.

Unknown said...

Sdr Afrar,

Itulah yang sebaiknya, tetapi ia bukan sesuatu yang menjadi budaya politik di Malaysia seperti di Jepun atau Korea Selatan.

Contoh, MP Bayan Baru Mohd Zahrain Mohd Hashim, menang bukan kerana dia hebat tetapi kerana parti yang diwakilinya dan berlaku pula tsunami politik. Bila dia keluar PKR, dia seharusnya letak jawatan untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan. Dengan itu, dia akan tahu sama ada dia diterima rakyat atau tidak. Orang Melayu P Pinang khususnya, tahu dan kenal sangat siapa dia Zahrain semasa menjadi ketua UMNO Bahagian Tanjong.

Saya percaya begitu juga keadaan dengan tiga ADUN di Perak yang menyebabkan kerajaan pilihan rayat tumbang.

Anonymous said...

Pak Tuan Syed,
Saya fikir sudah sampai masanya rakyat mendesak kerajaan meminda perlembagaan dan akta pilihanraya mana-mana Ahli Parlimen atau ADUN meninggalkan parti yang dimenangi pada mana-mana pilihanraya mestilah mengosongkan kerusi berkenaan agar pilihanraya kecil boleh diadakan.Dengan cara ini sajalah rakyat tidak rasa tertipu dengan permaianan politik segelintir manusia yang diberi amanah oleh rakyat tetapi sesuka hati pula meninggalkan parti yang disokongi pengundi. Di Malaysia hampir 90 peratus penggundi memilih parti ulangi parti bukan calon. Pada kertas-kertas mengundi pun logo parti digunakan bukan gambar warjah calon. Bagi saya wakil bebas dalm kata sebenarnya adalah mereka yang dari hari pertama proses pilihanraya lagi adalah calon bebas dn dipilih oleh penggundi bukan mereka yang tinggal parti.

Pengundi bebas.

Unknown said...

Pengundi Bebas,

Malangnya wakil rakyat berfikir yang rakyat pilih mereka secara individu dan bukan parti yang diwakili. Kita tidak nafi ada calon yang dipilih atas kewibawaan tetapi jumlahnya terlalu sedikit. Cara pemilihan paling popular di Malaysia adalah pilih parti, bukan calon.

Satu ketika, ada ura-ura nak pinda perlembagaan dan akta pilihan raya yang mewajibkan mana-mana wakil rakyat yang letak jawatan atau lompat parti mengosongkan kerusi, tetapi ia nampaknya tinggal cadangan dan ura-ura.

askar melayu said...

Syed
1. Tidakkah orang Melayu Pulau Pinang kenal akan Zahrain selama dia menjadi Pengerusi PKR selama ini? Kenapa ditekankan semasa dia menjadi ketua UMNO Tanjong. Pendapat saya dia tidak pernah berubah.

2. Apakah budaya politik di Jepun dan Korea Selatan berwibawa? Kita selalu mengambil contoh keadaan yang menyokong kepercayaan kita.

Di Britain, ada MP Konservatif yang melompat ke Buruh dan melompat ke Liberal Demokrat. Juga di Amerika, melompat dari Demokrat ke Republican, or vice versa. Adakah politik disana tiada wibawa?

3. Ura-ura pindaan akta pilihanraya tidak berjaya kerana golongan yang menjerit mencemuh pelompat olimpik itulah yang sebenarnya beriya-iya untuk menggunakan kelebihan itu untuk menjadi pemerintah.

Saya setuju melompat adalah mengkhianati tuntutan pengundi. Tetapi apa yang lebih menjijikkan adalah bersifat talam dua muka yang hanya bersetuju jika lompatan itu memberikan kelebihan pada diri sendiri - atas apa jua justifikasi.

Unknown said...

Askar Melayu,

Sebab dia tak berubahlah saya kata orang Melayu P Pinang kenal dia. Saya jangka dia berubah apabila masuk PKR, rupa-rupanya bak kata orang Tanjong, pi mai pi mai dok tang tu.

Bukan soal wibawa, tapi soal pendirian. Itulah maksudanya.

Seperti yang saya katakan, saya tidak setuju mana-mana pihak lompat parti, bukan dari pembangkang ke pihak kerajaan sahaja.

Kerajaan seharusnya membentangkan pindaan rang undang-undang dan rakyat boleh tahu sama ada pihak pembangkang sokong atau tidak. Masalahnya, cadangan pindaan tidak dibuat walaupun diperingkat penggubal undang-undang.

Jika undang-undang itu wujud, sudah tentu cara menjatuhkan kerajaan melalui lompatan parti tidak akan berlaku dan orang yang lompat parti kena kosongkan kerusinya.

Sivakumar said...

Kemungkinan Tengku Razaleigh pun akan jadi wakil rakyat bebas, tapi pada masa yang sesuai.

Sila baca temuramah beliau di sini.

Anonymous said...

Salam sejahtera Tuan Syed,

Saya amat bersetuju dengan pandangan Tuan.

Saya rasa sudah tiba masanya untuk kerajaan menggubal atau pun meminda perlembagaan bersabit pilihanraya di mana:-

a) SETIAP WAKIL RAKYAT YANG INGIN TINGGALKAN PARTI MEREKA SAMADA PARTI PEMERINTAH ATAU PUN PEMBANGKANG, HARUS MELETAKKAN JAWATAN MEREKA SEBAGAI WAKIL RAKYAT.

b) BEKAS WAKIL RAKYAT TERSEBUT HARUS DIBENARKAN UNTUK BERTANDING SEMULA DI DALAM PILIHANRAYA KECIL YANG BAKAL DIADAKAN DALAM MASA 60 HARI SELEPAS TARIKH PERLETAKAN JAWATAN BELIAU.

Terpulang kepada bekas wakil rakyat tersebut samada untuk bertanding semula sebagai Wakil Rakyat Bebas atau pun mewakili mana-mana parti yang menerima beliau.

Selagi sistem ini diperkenalkan, selagi itu masalah ini tidak akan berkesudahan. Wakil-wakil (katak) yang dimaksudkan tidak akan meletakkan jawatan mereka kerana

a) Jika lepaskan jawatan wakil rakyat, mereka tidak boleh bertanding sehingga 5 tahun atau pun sehingga pilihanraya umum yang akan datang.

b)Dengan melepasakan jawatan mereka, pendapatan/elaun wakil rakyat yang mereka terima sekarang akan hilang begitu sahaja. Dan harus diingat, jumlahnya bukan beberapa ratus tetapi BEBERAPA RIBU. Oleh yang demikian saya begitu yakin selagi sistem yang saya nyatakan di atas di gubal selagi itu masalah ini tidak akan selesai.

DIHARAP KERAJAAN MALAYSIA DAN SPR AKAN MELAKUKAN SESUATU DI DALAM HAL INI SUPAYA BUDAYA POLITIK KITA AKAN NAMPAK LEBIH SIHAT DAN LEBIH PENTING, KEPERCAYAAN RAKYAT TIDAK DIKHIANATI.

Apa komen Tuan Syed dan lain-lain rakan?

Terima kasih

Unknown said...

Sivakumar,

Saya tidak tolak kemungkinan itu. Yang pasti, UMNO tak berani ambil tindakan ke atas Ku Li dan sedang bermain dengan masa. UMNO tidak mahu rakyat melihat sebarang tindakan ke atas Ku Li sebagai satu krisis dalam parti seperti yang dialami oleh MCA, PPP, dan PKR.

Anon 11.32pm (jika anda guna nama samaran senang untuk dirujuk),

Perkara (b) tidak boleh berlaku kerana sudah wujud undang-undang pilihan raya yang melarang seseorang wakil rakyat bertanding dalam tempoh lima tahun jika ia meletak jawatan tanpa alasan yang munasabah, seperti yang saudara nyatakan. Untuk membatalkan peraturan itu, kena pinda semula undang-undang.

Saya setuju dengan pendapat saudara iaitu benarkan wakil rakyat berkenaan bertanding semula di kerusi yang dikosongkannya itu dan serahkan semula kepada rakyat (pengundi) untuk membuat keputusan.

Sivakumar said...

Tuan Syed,

Terima kasih kerana memberi pandangan ikhlas tentang isu Ku Li.

Saya juga setuju dengan Tuan Syed mengenai peluang berdiri untuk bertanding dalam pilihanraya selepas meletak jawatan.

Tetapi, mula-mula sekali, undang-undang yang menghalang daripada ini dilakukan harus dimansuhkan dulu.

Saya hairan mengapa tidak ada apa-apa usul untuk berbuat demikian di Parlimen (setahu saya).

Terima kasih.

Unknown said...

Sivakumar,

Saya sedia maklum berkaitan undang-undang yang melarang seseorang wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa alasan munasabah, bertanding dalam tempoh lima tahun. Benar, Parlimen kena pinda semula undang-undang tersebut, tetapi saya percaya ia tidak akan dilakukan. Setakat ini, seperti kata saudara, belum ada pihak yang mengemukakan usul cadangan pindaan tersebut.

d'enricher said...

Tuan Syed,

Saya rasa, perkara melompat ini adalah lumrah orang berpolitik. Memang ada yang masa bertanding dalam kategori tangkap muat sahaja, kerana tak ada orang lain atau orang tertentu tak cukup duit untuk wang petaruhan.

Tapi bila dah menang, objektif utama mereka pasti akan terlerai. Yang mengharapkan sesuatu ganjaran, baik apa sekalipun, kalau dapat seronok, kalau tidak tak kesakit hati. Rasanya ini terjadi kepada semua parti. PAS setakat ini nampak 'steady', walaupun pada ketikanya masa cerita 'Unity Government' ada juga ura-ura nak jadi.

Kira kiranya, kalau ada '3rd Force' yang betul betul Bebas, bagus juga, tapi kalau Pro BN atau PR baik terus masuk aja kumpulan yang disokong.

Yang pasti, bila PR13 nanti, apa yang pasti terjadi ialah mereka ini terpaksa bertanding atas tiket sendiri, BN dan PR akan pilih orang lain, kalau mereka terpilih atas tiket parti yang mereka Pro, gerenti kalah.

Kalau jadi tiga penjuru atau lebeh, nampak gaya BN dapat kerusi tu seperti PRU PRU terdahulu.

Yang bagusnya kalau kalau kaki lompat kaki lompat ni 'terror' sangat, boleh 'lompat jauh atau lompat kijang' bagus juga, Malaysia boleh menang "GOLD MEDAL" dalam SEA Games,Commonwealth Games, Asian Games atau Olympic" baru lah seronok.

Tapi kebanyakan tengok perut pun dah tewas ...

Unknown said...

A.Alshukor,

Setuju dengan pendapat saudara.

Anonymous said...

mungkin katak katak ni tak sedar yang mereka
melanggar undang undang 'prevention of corruption
act' yang digunapakai untuk pegawai gomen


sebagai wakil rakyat mereka menerima gaji dan
pencen dari gomen. Jadi kalau mereka terima duit
dari cingkie vingkie tan untuk melopat parti
atau tanpa apa sebab [ katakan nak tukar angin ke]
mereka bolih di kenakan tindakan undang undang.


reason
------

kalau semua wakil rakyat bolih buat begitu, orang
bisnis pegang teraju gomen.

Translation- gomen of the day held ransom by the
businessman like chingkie vingkie tanshit.

Jadi ultimatenya lompat parti adalah satu langkah
yang menggugat stabiliti gomen. mungkin 2 charge
bolih digunakan untuk katakosman jailu, jamaludin
dan sesundalhee.

---undertaking an act to create chaos on the gomen
charge di bawah riot- police act

---- charge under pca
sebab - do an act contrary to public policy/interest

consideration lain
------------------

kalaulah mp bn, buat hal mereka dah lama dicekup
olih polis dan federal prosecutors, yakni ag.




khong khek khuat