Perjuangan politik sebenarnya untuk apa? Ada yang akan berkata untuk agama, bangsa dan negara, sedap bunyinya dan sungguh enak didengar. Ada pula yang berkata untuk memperjuangkan nasib anak bangsa agar masa depan mereka terjamin dan ada juga yang akan berkata untuk mempertahan dan mengisi kemerdekaan.
Semua jawapan itu betul sekiranya ia datang dari hati dan jiwa yang tulus dan ikhlas tetapi dalam persekitaran sekarang jawapan sedemikian mungkin sekadar untuk menyedap telinga.
Saya sengaja membangkitkan perkara ini kerana pada hari ini, ketiga-tiga sayap UMNO - Wanita, Pemuda dan Putri - mengadakan persidangan masing-masing sempena Perhimpunan Agung Khas UMNO.
Seperti yang dijangkakan, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan berapi-api dan antara mangsa sasarannya mantan timbalan Presiden UMNO yang kini ketua pembangkang, Anwar Ibrahim.
Tetapi, ucapan itu tidak menarik minat saya, yang membuat saya tertanya-tanya adalah ucapan seorang wakil Pemuda UMNO yang meminta jawatan Ahli Dewan Negara atau Senator diperuntukkan kepada wakil Pemuda.
Apakah itu matlamat dan tujuan perjuangan pemuda UMNO? Apakah jawatan mengatasi segala-galanya dalam perjuangan politik?
Dalam sistem Parlimen yang diasaskan mengikut sistem di Great Britain, Parlimen mengandungi dua entiti - Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ahli Dewan Rakyat dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihan raya manakala Ahli Dewan Negara yang bergelar Senator dilantik sama ada melalui Dewan Undangan Negeri atau oleh Yang di Pertuan Agong (atas nasihat Perdana Menteri).
Perdana Menteri dimestikan dipilih daripada kalangan ahli Dewan Rakyat dan tidak daripada ahli Dewan Negara manakala Jemaah Menteri atau Kabinet boleh dipilih oleh PM dan diperkenankan oleh Agong dari kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat atupun Dewan Negara. Itulah sistem yang diamalkan.
Ahli Dewan Negara atau Senator tidak semestinya dilantik daripada kalangan orang politik tetapi seboleh-bolehnya daripada kalangan golongan profesional, wakil kaum atau komuniti minoriti seperti Orang Asli, Bumiputera Sabah atau Sarawak, masyarakat Punjabi, Serani, Sinhala, Siam dan sebagainya.
Tetapi, majoriti Ahli Dewan Negara kini terdiri daripada orang politik. Ada yang dilantik kerana kalah dalam pilihan raya, ada yang dilantik kerana tidak dipilih untuk bertanding, ada yang dilantik kerana membalas budi atau sokongan kepada ketua dan ada yang dilantik oleh Dewan Undangan Negeri kerana mewakili parti tertentu.
Oleh kerana pengisian Dewan Negara telah lebih merupakan "pilihan politik" maka tujuan asal pewujudannya sudah semakin jauh. Orang politik, seperti yang dibuktikan oleh wakil Pemuda UMNO berkenaan, berebut-rebut untuk dilantik sebagai Senator.
Rakyat yang bergelar warga emas masih ingat pengisian Dewan Negara semasa zaman pentadbiran Perikatan tidak melambangkan politik kepartian walaupun ada beberapa orang yang berkaitan politik. Tidak seperti sekarang.
Apa yang dapat dilihat sekarang adalah pembabitan orang dalam politik kerana tujuan-tujuan tertentu seperti untuk mendapat jawatan, pangkat dan kedudukan, kontrak dan peluang perniagaan. Kita akui bukan semua tetapi kebanyakannya begitu.
Selain itu, kita juga tertarik dengan permintaan Wanita UMNO untuk diberi kuota dalam bidang-bidang tertentu termasuk pentadbiran dan urusan penggubalan dasar. Nampaknya perjuangan Wanita juga menjurus kepada pemberian jawatan sedangkan wanita di Malaysia jauh lebih baik daripada kebanyakan negara Barat dari sudut pengisian jawatan tinggi dalam sektor pentadbiran, perkhidmatan awam, politik dan institusi pengajian tinggi.
Wanita yang dilantik memegang jawatan tinggi sama ada di Bank Negara, universiti, jabatan kerajaan termasuk sebagai Ketua Setiausaha Kementerian, Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, Duta dan bidang kepakaran dalam sektor perubatan dan kesihatan, kejuruteraan, sains dan teknologi dan sebagainya, tidak berasaskan kuota tetapi merit. Meraka yang dilantik adalah yang terbaik dalam bidang masing-masing.
Oleh itu, adakah perlu bagi Wanita UMNO meminta atau mendesak diwujudkan kuota untuk wanita sedangkan ianya tidak perlu sama sekali. Wanita semestinya bangga dengan kedudukan kaum sejenis mereka dalam semua bidang di negara ini. Wanita Malaysia terbukti tidak memerlukan kuota untuk mengisi sesuatu jawatan.
Walau bagaimanapun, apa yang disuarakan oleh wakil Pemuda UMNO dan Ketua Wanita UMNO adalah realiti perjuangan politik di Malaysia.