Tuesday, May 21, 2013

SELAMAT ULANG TAHUN KE-45 BERNAMA

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau BERNAMA memperingati ulang tahun ke-45 ia memulakan operasi pada 20hb Mei. Sejak tarikh itu pada tahun 1968, BERNAMA melalui kemajuan dan peningkatan dalam tugasnya selaku agensi berita. BERNAMA kini bukan sahaja bergerak selaku agensi berita tetapi sebgai sebuah stesen penyiar - radio dan televisyen - selain dalam bidang perhubungan awam dan khidmat rundingan. 

BERNAMA ditubuh melalui Akta Parlimen pada 6hb April, 1967 dan pelancaran secara rasmi diadakan pada 30hb Ogos, 1967 sempena ulang tahun ke-10 kemerdekaan negara. Majlis pelancaran diadakan di bangunan Parlimen dengan dihadiri oleh Perdana Menteri almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Jemaah Menteri.  

Sepanjang kewujudannya, kakitangan BERNAMA tidak terlepas daripada bergerak cergas dalam kesatuan sekerja yang berperanan melindungi dan membela nasib petugas terutama peringkat sokongan. Ini dapat dilihat melalui sekeping foto yang dirakam pada tahun 1985 yang menunjukkan ahli kesatuan sekerja BERNAMA berpiket menyokong tuntutan gaji oleh CUEPACS. Setahu saya, itulah kali pertama dan terakhir pihak kesatuan sekerja BERNAMA berpiket.
Sejak memulakan operasi di sebuah banglo kerajaan beralamat 222 Jalan Pekeliling (sekarang Jalan Tun Razak), tidak jauh dari bangunan Wisma BERNAMA yang ada sekarang, ramai petugas yang mencurah khidmat bakti telahpun meninggal dunia dan tidak kurang pula yang bersara. Boleh dikatakan hampir semua petugas yang ada sekarang menyertai BERNAMA beberapa tahun selepas 20 Mei 1968. Dalam foto di atas (1980-an), hanya tiga orang yang masih berkhidmat dengan BERNAMA termauk selaku Pengerusi (A. Rahman Sulaiman), Ketua Pengarang (Zulkifli Salleh) dan Editor Penyuntingan Bahasa Inggeris (M Govind Nair). Yang lain termasuk Menteri Penerangan Tan Sri Mohamad Rahmat, Pengerusi, Setiausaha Bernama dan dan beberapa orang petugas kanan telah pun  meninggal dunia.
 
Kepada BERNAMA saya rakamkan ucapan SELAMAT MEMPERINGATI TARIKH MEMULAKAN OPERASI dan jalankan tugas berpandukan etika kewartawan sebenar. Ini penting kerana kebelakangan ini kewibawaan BERNAMA mula dipersoal terutama menjelang pilihan raya umum.  

Sunday, May 12, 2013

MB TERENGGANU PERLU BERSIKAP RASIONAL DALAM SOAL PEMBANGUNAN

Menteri Besar Terengganu yang dilantik semula Datuk Seri Ahmad Said memperlihatkan kemarahannya apabila menyatakan bahawa kerajaan negeri pimpinannya tidak bercadang meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Ahmad Said berkata walaupun pembangunan akan diteruskan seperti yang telah dijanjikan, namun pembinaan rumah mampu milik tidak akan dibina di kawasan DUN yang BN kalah.

Saya lihat pendirian Ahmad Said itu sebagai sesuatu yang kurang bijak dan tidak lebih daripada melepas geram yang tidak kena pada tempatnya. Ia juga boleh dilihat sebagai satu bentuk kezaliman kerana bukan semua rakyat di kawasan berkenaan menolak BN.

Ahmad Said perlu ingat bahawa sejumlah besar pengundi menyokong BN dan kemenangan calon PAS di 14 kawasan DUN dan satu oleh PKR bukan semuanya dengan majoriti besar. Ramai yang menyokong BN dan  mereka tidak seharusnya dikenakan apa-apa tindakan negatif semata-mata kerana BN kalah di kawasan DUN berkenaan.

Kita dapat lihat sokongan kepada BN di beberapa kawasan DUN yang dimenangi  PAS agak besar dan BN kalah dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi. Kawasan-kawasan DUN yang dimaksudkan ialah Teluk Pasu (kalah dengan 109 undi), Tepuh (kalah  229 undi), Bukit Tunggal (652 undi), dan Ladang (924 undi).

Jumlah undi yang diperolehi calon BN yang kalah tidak boleh dilihat sebagai penolakan rakyat terhadap parti itu. Oleh itu, Ahmad Said tidak seharusnya menghukum mereka semata-mata kerana BN kalah. Ini tidak betul dan tidak demokratik.

Tindakan yang bakal diambil oleh Ahmad Said boleh dilihat sebagai sesuatu yang tidak dapat menawan semula sokongan rakyat kepada BN. Ahmad Said dan pasukannya sepatutnya mendekati rakyat dan terus membantu dalam usaha untuk memenangi sokongan mereka, bukan melakukan sesuatu yang boleh membangkitkan kemarahan.

Ahmad Said perlu bersikap rasional dan realistik seperti yang ditunjuk oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad yang berkata BN tidak akan meminggir negeri mahupun kawasan pilihan raya Parlimen yang tidak menyokong parti itu. Itu bukan dasar BN, kata Tok Pa. Tetapi, lain pula pendirian Ahmad Said, yang bersikap kebudak-budakan.     


Wednesday, May 08, 2013

PRU-13 TIDAK BEBAS SEPENUHNYA DAN TIDAK ADIL, KATA PEMERHATI

Laporan awal oleh dua NGO yang dipilih selaku pemerhati pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang baru lalu menyatakan bahawa pilihan raya itu berjalan secara "separa"  bersih  tetapi tidak adil.  

Walau bagaimanapun, mereka tidak mempersalahkan sepenuhnya Suruhanjaya Pilihan  Raya (SPR) tetapi merujuk kepada laporan media pro-Barisan Nasional dan "kerajaan sementara" yang menyalahguna kemudahan awam.

Sebagai seorang pengamat tidak rasmi PRU-13, saya setuju dengan apa yang disebut oleh kedua-dua NGO itu, iaitu CPPS/Asli dan Ideas (Institute for Democracy and Economic Affairs).

Saya pernah menulis dalam blog ini mengenai betapa berat sebelahnya media arus perdana yang dimiliki atau  dikawal oleh parti-parti komponen Barisan Nasional dan media rasmi milik kerajaan terutama televisyen dan agensi berita. Saya menyatakan bahawa media elektronik Singapura, Channel News Asia (CNA) jauh lebih adil dan profesional dalam laporan PRU-13.

Kegagalan BN untuk memperolehi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat bahkan lebih buruk daripada pencapaian PRU-12 ketika dipimpin oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi turut berpunca daripada sikap dan peranan media arus perdana yang terlampau berat sebelah sehingga orang naik jemu dan meluat dengan apa yang dihidangkan setiap hari. Mereka memilih media alternatif dan media luar negara.

BN juga melakukan kesilapan besar apabila menyangka dengan menabur bantuan dan  sumbangan kepada rakyat melalui slogan 1Malaysia akan membuahkan hasil lumayan, iaitu sokongan rakyat. Kepimpinan BN lupa bahawa zaman menabur wang dan menghulur gula-gula kepada rakyat sudah berakhir. Rakyat terima apa yang diberi tetapi apabila ke pusat mengundi, mereka tahu nak pangkah siapa dan parti mana.

Selain itu, BN dan UMNO khususnya, begitu cepat dan lantang mempersalahkan pihak lain atas kekalahan atau kekecewaan tetapi enggan melihat kelemahan dan kesilapan sendiri. Perangai sedemikian mesti dihentikan dan mereka kena terima hakikat sebenar.

Sebagai contoh, UMNO mempersalahkan "tsunami Cina" dan hasutan DAP sedangkan kemenangan hampir semua calon Pakatan Rakyat bukan atas sokongan pengundi Cina semata-mata tetapi pengundi Melayu dan India. Pengundi Cina cuma 30 peratus sahaja dan Pakatan Rakyat memperolehi sokongan 51 peratus pengundi jika dilihat dari sudut undi popular.

Apabila memperkatakan undi popular, kita dapati bahawa BN kalah kepada  PR. Tetapi, dalam sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia, undi popular bukan penentu. Yang menentukan kemenangan ialah jumlah kerusi sama ada di Dewan Rakyat bagi peringkat Kerajaan Persekutuan dan Dewan-Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri.

Pada PRU-13, BN memperolehi 5,237,699 undi popular manakalan PR 5,623,984.

Pecahan undi popular yang diperolehi oleh tiga buah parti dalam gabungan PR adalah: 2,254,328 untuk PKR; 1,736,267 untuk DAP dan 1,633,389 untuk PAS. Jika dilihat jumlah undi popular untuk PR, kita dapati bahawa PKR memperolehi undi terbanyak dan undi untuk DAP dan PAS  dibezakan sebanyak 102,878 undi yang memihak kepada DAP. Ini menunjukkan bahawa tidak berlaku "tsunami Cina" tetapi "tsunami perbandaran" seperti yang dinyatakan oleh banyak pihak yang berkecuali. 

BN dan UMNO, khususnya, mesti melihat ke dalam dan benar-benar cari kelemahan dan kesilapan yang dilakukan, termasuk memilih Zulkifli Nordin sebagai calon dan secara tidak langsung menyokong Ibrahim Ali selain beberapa faktor lain yang menyumbang kepada pencapaian buruk mereka berbanding dengan PRU-12.

Sementara itu, kedudukan Datuk Seri Mohamad Najib Abdul Razak selaku presiden UMNO dan pengerusi BN agak rapuh kerana beliau gagal memperbaiki pencapaian parti pada PRU-13 berbanding dengan PRU-12. Pencapaian kali ini adalah yang paling buruk selepas 1969.      

Monday, May 06, 2013

Kemenangan BN tidak sehebat mana!

Kita ucap tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kejayaan memenangi pilihan raya umum ke-13 peringkat kerajaan persekutuan dan negeri-negeri kecuali Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Namun begitu, kemenangan gabungan parti-parti politik yang diketuai presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Najib Abdul Razak tidaklah sebegitu hebat berbanding dengan PRU-12 pada 2008. 

Pada 2008 BN memenangi 140 kerusi Dewan Rakyat tetapi kali ini hanya mampu memperolehi 133 kerusi, turun tujuh kerusi. Pakatan Rakyat (DAP, PAS dan PKR) menang di 89 kawasan atau kerusi Dewan Rakyat, bertambah tujuh kerusi berbanding dengan PRU-12. 

Pada PRU-13 ini, kira-kira 80 peratus daripada 12.9 juta pengundi keluar mengundi dan majoriti memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat jika dilihat dari sudut undi popular. BN mmperolehi 5.220  juta undi popular manakala PR 5.489 juta undi popular, iaitu lebih sebanyak 269,130 undi. 

Pada PRU-12 BN mendapat 4.082 juta undi popular manakala PR 3.796 juta undi. 

Jumlah undi popular PRU-13 jika disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan sokongan untuk PR meningkat lebih tinggi daripada sokongan untuk BN. Oleh yang demikian, kemenangan BN tidaklah sebegitu hebat berbanding dengan PRU-12 dan DS Najib perlu sedar bahawa popularitinya, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, juga tidak sehebat mana kerana UMNO pimpinannya semakin ditolak rakyat. 

Kata orang, Najib popular tetapi UMNO tidak. Najib juga tidak boleh bergantung harap kepada MCA dan Gerakan kerana kedua-dua parti itu jelas ditolak oleh rakyat Malaysia keturunan Cina. Najib perlu mencari satu formula baru untuk memulih keyakinan rakyat, khususnya bukan Melayu, kepada BN.

Mampukah Najib berbuat demikian?

Sunday, May 05, 2013

Saya dah undi

Saya dan isteri sudahpun mengundi di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Keramat Satu, Kuala Lumpur. Kami mengundi, tidak membuang undi. Jika undi dibuang, apa guna pergi mengundi? Tetapi, media masih menggunakan ungkapan "membuang undi" dan "pembuangan undi".
Apa kata Dewan Bahasa dan Pustaka? Mengundi atau membuang undi?

Usah tanya siapa dan parti mana yang kami undi. Itu tidak penting. Yang jauh lebih penting ialah kami pergi mengundi. Kami menjalankan tanggungjawab sebagai warga negara Malaysia. Kami guna hak untuk memilih wakil rakyat yang kami suka dan jika diizinkan Allah, turut memilih kerajaan yang bakal mentadbir negara selama lima tahun akan datang.


Semoga calon yang kami undi menang dan yang lebih penting parti yang dia wakili dipilih untuk membentuk pentadbiran/kerajaan di Putrajaya dan Shah Alam.