Saturday, August 26, 2006

ZAM tak puas hati berkenaan penarafan rancangan tv

Menteri Penerangan yang juga mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu Datuk Zainuddin Maidin (Zam) meluahkan rasa kecewa yang amat sangat dan perasaan tidak puas hatinya terhadap sebuah agensi penarafan yang melaksanakan sistem penarafan atau "rating" bagi rancangan-rancangan terbitan/siaran stesen-stesen tv tempatan.

Katanya cara penarafan itu dibuat adalah tidak adil, tidak telus dan pilih kasih.

Zam terus membidas sikap agensi (tidak dinamakan dalam siaran berita Bernama) yang menurutnya memihak kepada pihak tertentu dan tidak mengemukakan kedudukan sebenar dalam mengeluarkan laporan penarafan rancangan-rancangan tv.

Sistem penarafan yang diamalkan oleh agensi berkenaan, tambahnya, tidak memberi gambaran sebenar kerana tidak melibatkan penonton-penonton tv di Sabah, Sarawak dan Singapura yang siaran RTM dapat ditonton.

Zam lalu mencadangkan kepada tiga persatuan pengiklanan utama di Malaysia - Association of Accepted Advertising Agency, Advertising Association dan Media Specialist Association - bergabung menubuhkan sebuah agensi penarafan mereka sendiri.

Penubuhan agensi itu, kononnya, bagi membolehkan sistem penarafan yang lebih telus, mempunyai sekatan dan imbangan dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak.

Zam seterusnya berkata beliau akan memberi bantuan sewajar untuk tujuan itu dan RTM akan menjadi pelanggan pertamanya.

Nampaknya sahabat kita Zam keberatan menerima kenyataan. Beliau mungkin akan berpuas hati dan gembira sekiranya penarafan itu memihak kepada RTM, barulah adil, telus dan tidak pilih kasih.

Zam perlu terima hakikat bahawa walaupun mutu rancangan terbitan RTM telah meningkat sedikit, ia tidak seimbang atau sejajar dengan peningkatan stesen-stesen tv swasta termasuk yang jauh lebih muda daripada RTM. Ini adalah kenyataan yang perlu ditelan dan dihadzami oleh Zam secara ikhlas dan jujur.

Kita sedar bahawa RTM, sebagai sebuah stesen milik kerajaan, mempunyai tanggungjawab kemasyarakatannya dan para petugasnya pula terikat dengan Perintah-Perintah Am, kenaikan pangkat pula bergantung kepada kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam, kebebasan untuk berkarya juga terbatas dan, tidak seperti stesen-stesen lain, mempunyai seorang menteri yang hati dan kehendaknya perlu dijagai dengan rapi. Semua faktor yang saya sebutkan ini mempunyai kesan terhadap kemampuan, kebebasan dan kekuatan RTM untuk bersaing dan mendapatkan penarafan sewajarnya.

Rakyat masih ingat kata-kata Zam suatu masa dahulu yang kurang senang dengan populariti rancangan-rancangan realiti seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Mentor dan sebagainya yang menggunakan, antara lain sistem pengundian SMS yang berjaya menarik minat penonton, akhirnya RTM sendiri menggunakan sistem SMS dalam pertandingan Bintang RTM dan Hits1. RTM juga kini menggunakan populariti bakat-bakat yang dihasilkan oleh tv swasta dalam rancangan-rancangan terbitannya untuk menarik minat penonton. Ini juga satu kenyataan.

Sebagai seorang yang memiliki sedikit pengalaman dalam dunia pemberitaan, saya dapati bahawa mutu dan isi kandungan rancangan berita yang disajikan oleh RTM melalui tvnya juga kebelakang berbanding dengan TV3 dan NTV7. RTM hanya mengatasi Berita Astro dan TV8. Stesen tv swasta lebih sedar dan sensitif terhadap selera penonton dalam sudut penontonan berita kerana sejak adanya stesen tv berbayar, penonton dapat menyaksikan kehebatan penyajian berita oleh stesen-stesen antarabangsa.

Merujuk kepada cadangan Zam kepada tiga agensi pengiklanan untuk bergabung dan menubuhkan sebuah agensi penarafan sendiri, saya tidak begitu yakin yang agensi itu akan mendapat sambutan selain daripada RTM.

Orang ramai dan stesen-stesen swasta boleh mempersoalkan kewibawaan dan kepercayaan terhadap agensi itu kerana ia akan dikatakan tidak adil, tidak telus dan pilih kasih jika penarafannya memihak kepada RTM kerana penubuhannya dibantu oleh Zam dan RTM menjadi pelanggan utamanya - seperti yang dijanjikan oleh Zam. Orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi, kita merasa. Inilah masalahnya, inilah hakikatnya jika sesebuah agensi itu dilihat sebagai tidak adil, tidak telus dan pilih kasih.

Bagi saya, RTM boleh dan dapat jauh lebih maju sekiranya ia di perbadankan dan dilepaskan daripada ikatan seliaan dan kawalan menteri. Bidang tugas dan peranan kemasyarakatan RTM boleh dikekalkan tetapi ia harus dibebaskan untuk merancang, menerbit dan menyajikan rancangan-rancangan yang benar-benar memenuhi selera dan citarasa penonton. Kenaikan pangkat dan imbuhan untuk kakitangan hendaklah dibebaskan daripada JPA dan keutamaan hendaklah diberikan berdasarkan merit yang disokong oleh faktor kekananan. Sekiranya ini dapat dilaksanakan, saya yakin dan percaya bahawa RTM akan muncul sebagai sebuah badan penyiaran yang mempunyai ramai penonton dan penarafan untuk rancangan-rancangannya akan turut meningkat.

3 comments:

Anonymous said...

Betul apa you kata. Orang yang tidak percaya kepada rating adalah orang yang tak ada qualification. Begitu juga pada orang yang tak percaya pada hasil research. Kalau tidak setuju beritahu apa yang tidak kena terhadap methodologi atau sampling, bukan kata tak percaya saja. Zam kena bagi method yang betul secara akademik, bukan cara politik. Memang semua hasil kajian boleh dipersoalkan tapi mesti ada rasional lah....

Unknown said...

Sdr, terima kasih atas pandangan yang bernas.
Sikap yang diperlihatkan oleh Zam merupakan satu "budaya" di kalangan pihak berkuasa di negara kita. Mereka amat sukar nak terima teguran atau pandangan pihak lain yang bertentangan dengan apa yang mereka harapkan.
Sikap sedemikian merupakan satu rintangan untuk memperbaiki atau memperbetulkan kelemahan atau kekurangan yang ada.
Macam mana nak maju? Inilah masalahnya.

Anonymous said...

Zam tu chawkia lah...dia tak nampak educated dan tidak dilihat sebagai seorang yang educated langsung. Apa nak buat...standard kita dah macam tu...